#7300:  Harga Korban Berbeza Menurut Keahlian

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada kemusykilan sedikit. Surau kami ada buat korban. Pengurus surau meletakkan harga korban berbeza dengan orang luar. Ahli Jawatankuasa surau hanya perlu bayar RM 300 sedangkan orang yang tidak ada jawatan dalam pengurusan surau perlu membayar RM 500. Bolehkah begitu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Ibadah Korban merupakan ibadat yang agung di sisi Allah SWT dan merupakan tuntutan dan galakan-Nya di dalam al-Quran al-Karim. Allah SWT berfirman:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

Maksudnya: “Maka solatlah engkau dan sembelihlah korban.”

(Surah al-Kauthar: 2)

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Para Mufassir Salaf semisal ‘Ikrimah maula Ibn ‘Abbas, ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Qatadah bin Di‘amah al-Sadusi menafsirkan ayat ini dengan: Tunaikan Solat Sunat Hari Raya pada pagi 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha) dan kemudian sembelihlah haiwan korbanmu.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/559)

Rasulullah SAW juga begitu menganjurkan amalan Korban dan menyatakannya sebagai amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT sepanjang Zulhijjah. Ummul Mukminin Aisyah R.Anha  meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada suatu pun amalan anak Adam pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) yang lebih dicintai oleh Allah melainkan ibadat menumpahkan darah haiwan ternakan (korban). Semuanya akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya. Darah sembelihan korban itu akan sampai ke  hadrat Allah dahulu sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Bersenang-lenanglah kalian dengan ibadat ini.”

Riwayat al-Tirmizi (1493)

Imam Jalaluddin al-Suyuti mensyarahkan hadith di atas menyatakan: “Imam Ibn al-‘Arabi al-Maliki mengatakan: Ia merupakan amalan paling afdhal pada hari Aidiladha kerana hari tersebut memang dikhususkan untuk melaksanakan korban. Apabila sesuatu amalan itu dikhususkan pada hari tertentu, maka ia merupakan amalan yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari tersebut, selepas ibadat-ibadat fardhu seperti solat lima waktu.” (Lihat Qut al-Mutaghazzi ‘ala Jami‘ al-Tirmizi, 1/390)

Berhubung soalan yang saudara ajukan kepada kami di atas, penetapan harga barang adalah hak milik peniaga dan keredhaan pembeli. Perkara ini berdalilkan hadith Saidina Anas bin Malik R.A bahawa:

السِّعْرَ غَلَا عَلَى عَهْدِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ سَعِّرْ لَنَا فَقَالَ إنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّزَّاقُ وَإِنِّي لَأَرْجُو أَنْ أَلْقَى رَبِّي وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَطْلُبُنِي بِمَظْلِمَةٍ بِدَمٍ وَلَا مَالٍ

Maksudnya: “Harga barang meninggi pada zaman Nabi SAW. Lantas, para sahabat berkata: ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga siling barangan buat kami.’ Maka baginda bersabda: ‘Sesungguhnya, Allah yang menetapkan harga, dan Dia yang Maha Menahan serta Memberi, Dia yang Maha Merezekikan. Sesungguhnya aku berharap agar aku bertemu Tuhanku kelak dalam keadaan aku tidak menzalimi sesiapa pun dan tiada seorang yang menuntutku dalam urusan nyawa dan harta orang lain.’”

Riwayat Abu Daud (3451); al-Tirmizi (1314); Ibn Majah (2200); dinilai sahih menurut tariqah Ahli al-Hadith di sisi Imam Ibn Daqiq al-‘Id dalam al-Ilmam bi Ahadith al-Ahkam (2/512).

Syeikh Muhammad Taqi Uthmani menyebutkan: “Sesungguhnya penetapan harga barang tidak boleh dilaksanakan, melainkan pada keadaan-keadaan yang luar biasa, apabila orang ramai berada dalam keadaan terdesak akibat harga yang terlalu tinggi pada barang-barang yang orang ramai berhajat padanya seperti makanan, minuman dan pakaian. Jika tidak berlaku keadaan sedemikian, maka hukum asalnya adalah hendaklah dibiarkan para peniaga dan pembeli untuk berniaga berdasarkan harga yang mereka suka.” (Lihat Fiqh al-Buyu’, 2/1002)

Adapun menurut hukum asal, penetapan harga sesuatu barang diserahkan kepada keadaan pasaran semasa. Tiada pihak yang boleh terlibat dalam penetapan harga barang termasuk pihak pemerintah (ulil amri) menurut muktamad mazhab al-Syafi‘iyyah dan mazhab al-Hanabilah. Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari. Begitu juga muktamad mazhab al-Hanbali sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Qudamah al-Maqdisi. (Lihat Asna al-Matalib, 2/38; al-Mughni, 44/1374)

Pihak peniaga bebas menetapkan harga barang, sesuai dengan kehendak mereka. Manakala pembeli mempunyai hak untuk memilih barangan menurut harga yang mereka mampu.

Oleh yang demikian, sekiranya pihak peniaga menetapkan harga yang berbeza kepada mana-mana pihak atau individu yang dia kehendaki, maka perbuatan ini adalah diharuskan dan dibolehkan. Potongan harga atau diskaun (al-takhfidh) tersebut dilakukan atas dasar  al-tabarru‘ (pemberian sukarela).

Selain itu, pihak Surau juga dibenarkan untuk mengenakan harga lain yang lebih rendah kepada AJK (Ahli Jawatankuasa) Surau sebagai suatu upah atau elaun (ujrah) atas khidmat mereka kepada institusi. Ia mestilah dilakukan dengan menuruti prosedur dan persetujuan semua AJK.

Potongan diskaun ini terhasil apabila Surau membayar sebahagian daripada harga bahagian korban menyebabkan harga tersebut turun bagi suatu pihak yang khusus, sebagai ganjaran/upah atas khidmat mereka kepada pihak Surau. Konsep al-Ujrah wujud di dalam firman Allah SWT dalam al-Quran, firman-Nya:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Maksudnya: “Dan sekiranya mereka (isteri-isteri kalian, atau ibu-ibu susuan) menyusukan anak-anak kalian maka berikanlah kepada mereka semua ganjaran upah buat mereka (atas khidmat susuan tersebut).”

(Surah al-Talaq: 6)

Imam al-Khatib al-Syirbini rahimahullah menjelaskan berkenaan pensyariatan memberi upah dan gaji atau elaun/insentif kepada golongan yang berkhidmat berdasarkan ayat di atas, beliau berkata: “Sudut pendalilan daripada ayat di atas adalah khidmat penyusuan tanpa sebarang akad (upah atau penggajian) adalah suatu bentuk tabarru‘ (kerja amal sukarela dan sumbangan) yang tidak mewajibkan sebarang pemberian upah, namun yang mewajibkannya adalah zahir akad maka wajiblah melaksanakannya. Hadith di dalam al-Sahihain menyatakan:

أَنَّهُ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – احْتَجَمَ وَأَعْطَى الْحَجَّامَ أُجْرَتَهُ

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW pernah berbekam dan baginda memberikan kepada tukang bekam itu upahnya (atas khidmat bekaman tersebut).”

Begitu juga hadith riwayat al-Bukhari:

أَنَّهُ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَالصِّدِّيقُ – رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ – اسْتَأْجَرَا رَجُلًا مِنْ بَنِي الدِّيلِ يُقَالُ لَهُ: عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْأُرَيْقِطِ

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi SAW dan Abu Bakr al-Siddiq RA pernah mengupah seorang lelaki daripada Bani al-Dil yang bernama Abdullah bin al-Urayqit.”

Begitu juga hadith riwayat Muslim:

أَنَّهُ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – نَهَى عَنْ الْمُزَارَعَةِ وَأَمَرَ بِالْمُؤَاجَرَةِ

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW melarang al-Muzara‘ah dan mengarahkan al-Mu’ajarah.”

Begitu juga hadith Ibn Majah dan al-Baihaqi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَعْطُوا الْأَجِيرَ أُجْرَتَهُ قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ

Maksudnya: “Berilah pekerja itu upah gajinya sebelum peluh keringatnya mengering.”

Dan diriwayatkan juga bahawa Saidina Ali pernah berkhidmat untuk seorang Yahudi dengan kerja menyiram tanamannya. Gajinya adalah: setiap satu bekas siraman akan dibayar dengan satu biji kurma. Saidina Ali menyiram sehingga 40+ bekas siraman. Hal ini kerana, ia memang suatu keperluan (menggaji pekerja), bukan semua orang ada kenderaan, rumah dan pembantu. Maka, akad Ujrah ini dibolehkan sepertimana dibenarkan juga jual-beli al-A‘yar.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/439)

Tuntasnya, Islam menegaskan keadilan dan kesaksamaan. Namun, dalam masa yang sama, Islam juga turut membuka ruang dan memberi kebebasan kepada para peniaga dalam penetapan harga, pemberian harga yang lebih rendah kepada sesuatu kelompok yang berkeperluan misalnya atau apa jua sebab adalah dibolehkan.

Dalam hal di atas, pengenaan harga yang berbeza yang sedikit rendah kepada AJK Surau adalah dibolehkan dan diharuskan.  Hal ini diharuskan apabila Ketua Penganjur boleh mengeluarkan beberapa jumlah daripada dana surau atau hartanya sendiri/atau mana-mana sumber kewangan dalam kalangan pemberi hadiah untuk membayarkan sedikit daripada jumlah harga Korban tersebut dan menyebabkan potongan harga/diskaun bagi para AJK atas niat memberikan upah atau membalas jasa dan khidmat mereka kepada Surau/Masjid.

Namun, kami mencadangkan agar pihak masjid menetapkan harga korban yang sama untuk semua pihak, termasuk AJK surau/masjid dan mereka yang tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan ibadah korban. Sebarang pemberian upah kepada AJK atau individu yang menguruskan ibadah tersebut sebaiknya diberikan secara berasingan. Langkah ini penting bagi mengelakkan sebarang konflik atau perselisihan di kalangan ahli qaryah dan memastikan keadilan serta keselarasan dalam pelaksanaan ibadah korban.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Dia jualah yang melindungi orang-orang soleh. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik pelindung dan penjamin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah (amal ibadat dan amal soleh yang telah) kami (laksanakan), sesungguhnya Engkau Maha Mendengar (segala doa permohonan kami) lagi Maha Mengetahui (isi hati dan niat kami).”

(Surah al-Baqarah: 127)

Wallahu a‘lam.