#7308: Zikir dalam Solat Selain dari Bacaan yang Dipelajari di Sekolah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya membaca zikir dalam solat ikut buku Perisai Muslim menggantikan bacaan yang dipelajari di sekolah rendah. Persoalannya, manakah zikir yang lebih afdhal?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَتَطۡمَىِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَىِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka apabila mengingati Allah; sesungguhnya dengan mengingati Allah jualah hati-hati akan berasa tenang.”

(Surah al-Ra‘d: 28)

Allah SWT menjanjikan bahawa orang-orang yang sentiasa mengingati Allah serta berzikir kepada-Nya pasti dikurniakan ketenangan dan keyakinan yang ampuh dan teguh. Syeikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur berkata, kalimah al-Itmi’nan (الِاطْمِئْنانُ) bererti ketenangan, dan ia merupakan kata kiasan untuk menzahirkan suatu rasa keyakinan dan tiada keraguan. Adapun kata kiasan bagi syak dan keraguan adalah al-Idtirab (الِاضْطِرابُ) yang bererti kegoyahan.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 13/137)

Bagi menjawab persoalan di atas, perlu diketahui terlebih dahulu bahawa bacaan dan silibus di peringkat sekolah itu disusun bertujuan untuk mengajar anak-anak yang masih di peringkat usia yang muda. Berkemungkinan, sebahagian kita yang telah meningkat dewasa merasakan zikir-zikir yang dipelajari dahulu agak ringkas dan masih terdapat zikir tambahan lain yang dipelajari pada peringkat tinggi. Maka tidak menjadi sebarang masalah untuk kita mengamalkan zikir dari kitab lain, seperti buku Perisai Muslim yang saudara sebutkan.

Meskipun begitu, kami tegaskan bahawa zikir yang lebih afdhal adalah zikir-zikir ma’thur iaitu himpunan doa dan zikir yang diajarkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selagimana bacaan zikir tersebut sahih dan thabit daripada Rasulullah SAW, maka itulah yang paling afdhal dan paling utama. Hal yang demikian kerana, pedoman dan petunjuk Rasulullah SAW adalah petunjuk dan hadyu yang terbaik dan terunggul. Allah SWT berfirman:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْـَٔاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Kita dituntut untuk menuruti kata-kata Rasulullah, terutamanya dalam perkara ibadah. Imam Ibn Kathir menegaskan anjuran seraya berkata, ayat ini merupakan dalil keutamaan mengikuti Rasulullah SAW dalam segenap perkataan Baginda, perbuatan Baginda dan hal-ehwal baginda. Oleh yang demikian, manusia diarahkan untuk mengikuti petunjuk dan contoh tauladan Baginda.” (Lihat Tafsir Quran al-‘Azim, 6/391)

Memahami tuntutan ini, sekiranya saudara mendapati buku Perisai Muslim itu lebih menekankan aspek periwayatan hadith dan menentukan kesahihan suatu amalan zikir, maka ia lebih baik serta afdhal untuk diamalkan. Meskipun begitu, hal ini tidak menafikan bahawa buku-buku yang diajarkan di peringkat sekolah juga pasti sudah melalui proses kaji selidik dan perbincangan bersama ilmuwan agama di Malaysia sebelum dijadikan silibus pembelajaran anak-anak. Oleh itu, ia juga sesuai untuk diamalkan dan mudah untuk dipraktikkan dalam ibadah, tanpa kegusaran tergelincir ke dalam pengamalan bidaah atau zikir rekaan.

Noktah penting di sebalik perbincangan ini adalah, ketegasan kita dalam pegangan bahawa sebaik-baik petunjuk dan pedoman adalah apa yang dibawakan oleh junjungan Nabi Muhammad SAW. Jabir bin Abdillah R.A meriwayatkan bahawa Baginda SAW bersabda:

فَإنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللهِ، وَخَيْرَ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ، وَشَرَّ الْأُمُورِ مُحْدَثاتُهَا، وَكُلَّ بدْعَةٍ ضَلالَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkhabaran terbaik adalah al-Quran, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad SAW. Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang buruk yang direka-reka, dan setiap bidaah itu adalah suatu kesesatan.”

Riwayat Muslim (867)

Kesimpulan

Natijahnya, kami katakan bahawa sebarang zikir dan doa yang menepati ajaran al-Quran dan al-Sunnah adalah dibolehkan untuk diamalkan. Adapun berkenaan afdhaliyyah, maka sebaik-baik zikir adalah zikir-zikir yang diajarkan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Dalam isu ini, bacaan solat yang paling afdhal adalah bacaan solat yang menepati ajaran dan tatacara solat Nabi Muhammad SAW.

Oleh yang demikian, sekiranya zikir-zikir solat dalam buku Perisai Muslim itu  menepati zikir-zikir dan doa sunnah ketika solat, maka tidak menjadi masalah bagi saudara untuk mengamalkannya. Begitu juga buku yang dipelajari di peringkat sekolah, selagimana bacaan-bacaan solat yang diajarkan tersebut bertepatan dengan nas-nas syara‘, maka dianjurkan juga untuk kita beramal dengannya, dalam pada yang sama mengharapkan agar mengalirnya pahala kebaikan buat para guru yang mendidik kita dahulu.

Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat, kefahaman yang baik dan kekuatan untuk beramal soleh. Sesungguhnya Dialah penjaga dan pelindung kita, dan Dialah sebaik-baik pelindung orang-orang yang soleh. Kami akhiri dengan doa:

الَّلهُمَّ ارْزُقْنَا مُتَابَعَةَ النَّبِيِّ مُحَمَّدٍ ﷺ  أَوَّلًا وَآخِرًا وَظَاهِرًا وَبَاطِنًا وَقَوْلًا وَفِعْلًا

Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah rezeki untuk mengikuti Nabi Muhammad SAW; awal dan akhir, zahir dan batin, dari sudut perkataan mahupun perbuatan baginda.”

Wallahu a‘lam.