#7323  Ziarah Taif Namun Solat Secara Tamam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya ingin bertanya soalan. Saya hendak ke Taif selepas zohor. Bolehkah saya melakukan solat tamam untuk zohor dan asar di Masjidil Haram di Makkah . Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan makalah ini dengan membawakan pedoman Qurani. Allah SWT berfirman:

﴿وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَلَیۡسَ عَلَیۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنۡ خِفۡتُمۡ أَن یَفۡتِنَكُمُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱلۡكَـٰفِرِینَ كَانُوا۟ لَكُمۡ عَدُوࣰّا مُّبِینࣰا﴾

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di atas muka bumi, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan dan dosa sekiranya kamu mengqasarkan iaitu memendekkan solat jika kamu takut diserang oleh golongan kafir. Sesungguhnya orang kafir itu ialah musuh kamu yang amat nyata.”

(Surah al-Nisa’: 101)

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i menafsirkan ayat di atas seraya berkata:

“Mengqasarkan solat adalah dibolehkan menurut persepakatan para ulama. Adapun meninggalkan qasar dan melaksanakan solat secara tamam ketika bermusafir, para ulama berbeza pendapat. Sebahagian sahabat berpendapat wajib ke atas musafir untuk mengqasarkan solat, ini merupakan pendapat Umar, Ali, Ibn Umar, Jabir, Ibn Abbas, juga Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz, Qatadah, Malik bin Anas dan ahli al-Ra’yi. Manakala, al-Syafi’i pula berpendapat mengqasarkan solat bagi musafir hukumnya harus sahaja. Pendapat ini disokong oleh zahir ayat al-Quran. Perkataan “tidaklah menjadi apa-apa kesalahan” digunakan untuk memberi keringanan, bukan mewajibkan.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/274-275)

Berhubung soalan di atas, perlulah diketahui oleh umum bahawa jarak antara kota Makkah al-Mukarramah dengan kota Ta’if adalah hampir kurang lebih 70-80KM, bahkan boleh mencapai 90 KM+.

Manakala, seseorang yang bermusafir boleh mengqasar solatnya apabila dia menjalani perjalanan safar yang jauh, iaitu perjalanan yang mencapai dan melebihi dua marhalah. Para ulama kontemporari berbeza pendapat dalam menentukan kiraan semasa bagi dua marhalah seperti berikut:

  • Al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff mengatakan 2 marhalah bersamaan
  • Syaikh Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan 2 marhalah bersamaan 704KM.
  • Syaikh Dr. Muhammad al-Zuhaili mengatakan 2 marhalah bersamaan

Kita bebas untuk memilih mana-mana sahaja kiraan di atas. Secara zahirnya, apabila perjalanan ke Taif melebihi 80 KM+, maka kita dibenarkan untuk mengqasar dan menjamakkan solat kita.

Namun yang demikian, Ulama mazhab al-Syafi’iyyah berpendapat mengqasarkan solat adalah keharusan, bukan suatu kewajiban. Imam al-Syafi’i menuruti dan menyetujui fatwa Amir al-Mu’minin ‘Uthman bin ‘Affan dan Sa’ad bin Abi Waqqas RAnhum yang mengatakannya harus semata, bukan wajib.

Justeru, terdapat keluasan dalam perkara ini. Kita bebas memilih sama ada kita mahu mengqasar dan menjama’ solat ketika musafir atau tidak. Kedua-duanya diizinkan oleh syara’ dan merupakan amalan Rasulullah SAW.

Umm al-Mu’minin Aisyah binti Abu Bakr R.Anha berkata berkenaan solat musafir Nabi SAW:

كُلُّ ذَلِكَ قَدْ فَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ قَصَرَ الصَّلَاةَ وَأَتَمَّ

Maksudnya: “Kedua-duanya pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW (ketika musafir); sama ada menqasarkan solat mahu pun bersolat secara tamam (sempurna).”

Riwayat al-Syafi’i di dalam al-Musnad (1/182)

Walau bagaimanapun, sebelum mengambil rukhsah, perlu dipastikan terlebih dahulu sama ada syarat-syarat untuk jamak dan qasar ketika musafir telah dipenuhi. Jika syarat-syarat tersebut dipenuhi, maka rukhsah tersebut boleh diambil. Sebaliknya, jika tidak dipenuhi, maka ia tidak dibenarkan.

Antara syarat-syarat dibenarkan untuk mengambil rukhsah adalah sebagaimana yang telah dinyatakan dalam  al-Fiqh al-Manhaji (1/186) :

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Namun begitu, syarak memberi kelonggaran kepada mereka yang menghadapi masyaqqah (kesukaran) untuk melakukan solat jamak di tempat bermukim. Tetapi, solat tersebut hendaklah dilakukan secara tamam (sempurna) tanpa mengqasarkan bilangan rakaat.

Syeikh Soleh al-Uthaimin mennyatakan bahawa: Solat jamak tidak ada kaitan dengan qasar,  akan tetapi ia berkaitan dengan keperluan. Jadi, apabila seseorang memerlukan untuk menjamakkan solat, sama ada di dalam keadaan berada di tempat tinggal atau dalam perjalanan, maka dia boleh melakukan hal tersebut. Oleh yang demikian, orang ramai boleh menjamakkan solat apabila hujan turun yang menyulitkan mereka untuk pergi ke masjid. Mereka juga boleh melakukan hal yang demikian ketika  angin sejuk yang melampau semasa musim sejuk dan sukar bagi mereka untuk keluar ke masjid. Begitu juga sekiranya ditakuti berlakunya kerugian harta benda mereka atau keadaan yang seumpama dengannya. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasail al-Uthaimin, 15/266)

Syeikh Abdul al-Rahman Nasir al-Barrak yang merupakan salah seorang daripada Lajnah Hai’ah Kibar Ulama Arab Saudi mengeluarkan fatwanya dengan menyatakan: Dibenarkan untuk menjamakkan solat ketika ada keperluan atau keuzuran, tetapi tidak dibolehkan menqasarkan solat. Bagi situasi yang tidak ada sebarang keuzuran, maka tidak dibolehkan baginya menjamakkan solat tersebut.  Jika dia boleh menjamak solat seperti orang yang melakukan perjalanan dalam kenderaan. Dalam hal ini, tidak ada alasan untuk melakukan jamak solat ketika berada di tempat tinggal, dan dia harus menunaikan solat  pada waktunya. Tetapi dalam situasi seperti yang telah disebutkan yang melibatkan kesulitan, saya katakan dibolehkan untuk menjamakkan  solat.[1]

Justeru kami katakan bahawa, mereka yang ingin menziarahi ke Taif dan telah bermuqim selama 3 hari atau lebih tidak dibenarkan melakukan solat jamak secara tamam di Masjidil Haram, kerana tidak memenuhi syarat-syarat rukhsah untuk jamak dan qasar iaitu tidak melepasi sempadan mukim. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat masyaqqah (kesulitan) yang dihadapi, seperti hujan lebat sepanjang perjalanan atau seorang ibu yang menjaga anak kecil yang sakit, syarak memberi kelonggaran untuk melakukan solat jamak di tempat bermukim. Dalam keadaan tersebut, solat jamak dibenarkan, tetapi hendaklah dilakukan secara tamam (sempurna) tanpa qasar. Allah SWT berfirman:

 وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَأَبْشِرُوا، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah sama sekali seseorang yang tasyaddud dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya, oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam. (Dan dalam lafaz yang lain pula): Hendaklah kamu bersikap sederhana, hendaklah kamu bersikap sederhana, niscaya kamu akan sampai (kepada tujuan yang selamat).”

Riwayat al-Bukhari (39)

Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan kefaqihan (kefahaman yang baik dan kekuatan beramal soleh) dalam beragama. Sesungguhnya Dialah penjaga dan pelindung kita, dan Dialah sebaik-baik pelindung orang-orang yang soleh. Kami akhiri dengan doa:

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim:40)

Wallahu a‘lam.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://sh-albarrak.com/article/3873 Diakses pada 25 Oktober 2024