Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami apakah akibat dan implikasi hukuman yang dikenakan kepada golongan yang tidak bayar zakat di dunia ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Sunnah Nabi tidak hanya mengancam orang yang enggan membayar zakat dengan azab di akhirat, bahkan turut mengancam dengan hukuman di dunia yang menurut undang- undang Islam dan juga Qadr Allah kerana kikir menunaikan orang fakir miskin. Mengenai hukuman Qadr Allah, Nabi SAW bersabda:
مَا مَنَعَ قَوْمٌ الزَّكَاةَ إِلَّا ابْتَلَاهُمُ اللَّهُ بِالسِّنِينَ
Maksudnya: “Tidaklah golongan yang tidak mengeluarkan zakat melainkan ditimpa oleh Allah SWT kelaparan dan kemarau panjang.”
Riwayat al-Tabarani dalam kitab al-Awsat (4577) daripada Buraidah Ibn al-Husaib, dengan sanad yang sahih.
Hadis lain, daripada Ibn Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلاَّ مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنَ السَّمَاءِ وَلَوْلاَ الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا
Maksudnya: “Tiada kaum yang menghalang zakat harta mereka melainkan mereka akan dihalang daripada diturunkan hujan. Jika bukan kerana binatang, tentu mereka tidak diturunkan hujan.”
Riwayat Ibn Majah (4019), al-Hakim (4/582) dan beliau mensahihkannya. Turut dinyatakan sahih dalam Sahih Ibn Majah.
Al-Syaukani berkata: Rasulullah bersabda: ‘وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلاَّ مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنَ السَّمَاءِ ’ (“Dan mereka tidak menahan zakat harta mereka.”) Ini bermaksud, menahan zakat adalah salah satu sebab yang boleh menghalang turunnya hujan daripada langit. Rasulullah bersabda: ‘وَلَوْلاَ الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا’ (“Jika bukan kerana haiwan ternakan, mereka tidak akan diturunkan hujan.“) Ini bermaksud, turunnya hujan meskipun terdapat kemaksiatan adalah rahmat Allah Ta’ala untuk haiwan-haiwan ternakan. (Lihat Nail al-Autar, 4/5)
Hadis lain lagi, daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا خَالَطَتِ الصَّدَقَةُ أَوْ قَالَ الزَّكَاةُ مَالا إِلا أَفْسَدَتْهُ
Maksudnya: “Tidak bercampur harta zakat dengan harta kekayaan melainkan zakat akan membinasakan kekayaan.”
Riwayat al-Bazzar sebagaimana dalam Kasyf al-Astar (881), dan al-Baihaqi yang dapat dilihat dalam al- Zakat (4/268), Al-Humaidi dalam musnadnya (239), al-Haitami dalam Majma’ (4341). Terdapat pada sanadnya Uthman bin Abdul Rahman al-Jumahi. Berkata Abu Hatim, hadis ini ditulis tetapi tidak berhujah dengannya. Dinyatakan sebagai dha’if dalam Silsilah al-Dhaifah (5069).
Menurut Munziri, hadis di atas mengandungi dua pengertian:
- Sekiranya sedekah (zakat) masih belum dikeluarkan dari harta kekayaan akan menyebabkan kekayaan itu binasa. pengertian ini disokong pada hadis lain iaitu:
مَا تَلِفَ مَالٌ في بَرٍّ وَلَا بَحْرٍ إِلّا بِحَبْس الزَّكَاة
Maksudnya: “Tiada harta yang musnah di bumi atau di laut, melainkan apabila zakat tidak dikeluarkan.”
Riwayat al-Tabarani dalam kitab al-Du’a (34), juga dalam musnad al-Syamiyyin, berkata al-Haitami dalam Majma al-Zawa’id, (3/63). Diriwayatkan al-Tabarani dalam kitab al-Awsat, pada sanadnya terdapat Umar bin Harun, dan dia seorang yang dha’if, berkata al-Albani dalam al-Dha’ifah (575), hadis munkar daripada Ubadah Ibn al-Samit.
- Orang kaya yang mengambil zakat sedangkan dia tidak layak lalu memasukkannya ke dalam harta kekayaannya, lalu membinasakannya. Beginilah yang difahami oleh Imam Ahmad. (Lihat al-Targhib wa al-Tarhib, 1/309) (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 50 – 51)
Al-Munawi berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah sedekah, yakni zakat, bercampur dengan harta melainkan ia akan memusnahkannya,” maksudnya akan menghapus dan menghancurkannya. Ini kerana zakat adalah pelindung bagi harta, atau kerana harta itu menjadi tidak bermanfaat apabila tercampur dengan yang haram, yang mana secara syarak harta haram tidak boleh dimanfaatkan. Hal ini disebut dalam sabda Nabi, “harta haram akan memusnahkan harta halal,” sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Tibi. Saya juga mendapati bahawa Ibnu al-Athir menyebut: Imam al-Syafi’i berpendapat bahawa pengkhianatan terhadap sedekah akan merosakkan harta yang bercampur dengannya. Ada juga yang berkata bahawa ia merupakan amaran kepada para pekerja agar tidak melakukan pengkhianatan dalam harta zakat, dan ada yang berpendapat ia adalah galakan untuk segera menunaikan zakat sebelum ia bercampur dengan harta lainnya. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/553)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”