#7337: Kisah Abu Bakar Memerangi Golongan Yang Tidak Membayar Zakat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami bagaimana Abu Bakar memerangi golongan yang tidak membayar zakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَـعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّ الإِسْلاَمِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ.

Maksudnya: “Aku diperintahkan supaya memerangi manusia (golongan kafir harbi) sehingga mereka bersaksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah utusan Allah, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Apabila mereka melakukan semua itu, terpeliharalah darah dan harta benda mereka daripadaku kecuali dengan hak Islam dan perhitungan mereka terserah kepada Allah.”

Riwayat al-Bukhari (25)

Pada zaman khalifah pertama Abu Bakar, beberapa kabilah Arab memberontak daripada menunaikan zakat dan sebaliknya hanya mahu mengerjakan solat sahaja. Jadi tindakan mereka ini menguatkan kumpulan menjadi murtad dari Islam yang menyokong ketua- ketua mereka yang mendakwa kenabian, seperti Musailamah al-Kazzab (si pendusta) dan kaumnya, Sajah, Tulaihah al-Asadi dan para pengikutnya.

Pendirian khalifah Sayidina Abu Bakar dalam hal ini merupakan suatu pendirian yang luar biasa. Beliau sama sekali tidak menerima pemisahan antara ibadat jasmaniah (solat) dan ibadat harta kekayaan (zakat), serta tidak dapat menerima pengurangan pada sesuatu yang pernah diserahkan kepada Rasulullah SAW, walaupun hanya berupa seekor kambing kecil atau tali ikat unta. Suntikan semangat yang pada para pengaku nabi palsu dan ancaman mereka terhadap Madinah serta keraguan oleh beberapa sahabat tidak melemahkan keazaman Saidina Abu Bakar dan hasratnya untuk memerangi mereka. Ayuh kita menyaksikan sahabat perawi hadis yang utama, Abu Hurairah, mengisahkan sikap Sayidina Abu Bakar yang hebat ini. Daripada Abu Hurairah, katanya:

لَمَّا تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاسْتُخْلِفَ أَبُو بَكْرٍ بَعْدَهُ، وَكَفَرَ مَنْ كَفَرَ مِنَ العَرَبِ. قَالَ عُمَرُ لِأَبِي بَكْرٍ: كَيْفَ تُقَاتِلُ النَّاسَ؟ وَقَدْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَقُولُوا: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، فَمَنْ قَالَ: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ عَصَمَ مِنِّي مَالَهُ وَنَفْسَهُ، إِلَّا بِحَقِّهِ وَحِسَابُهُ عَلَى اللَّهِ». فَقَالَ: وَاللَّهِ، لَأُقَاتِلَنَّ مَنْ فَرَّقَ بَيْنَ الصَّلاَةِ وَالزَّكَاةِ، فَإِنَّ الزَّكَاةَ حَقُّ الـمَالِ. وَاللَّهِ، لَوْ مَنَعُونِي عِقَالًا كَانُوا يُؤَدُّونَهُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَاتَلْتُهُمْ عَلَى مَنْعِهِ. فَقَالَ عُمَرُ: فَوَاللَّهِ، مَا هُوَ إِلَّا أَنْ رَأَيْتُ اللَّهَ قَدْ شَرَحَ صَدْرَ أَبِي بَكْرٍ لِلْقِتَالِ، فَعَرَفْتُ أَنَّهُ الحَقُّ. قَالَ ابْنُ بُكَيْرٍ وَعَبْدُ اللَّهِ عَنِ اللَّيْثِ: عَنَاقًا وَهُوَ أَصَحُّ.

Maksudnya: Tatkala Rasulullah SAW wafat dan Abu Bakar menjadi khalifah sesudahnya, sebahagian orang Arab menjadi kafir. Umar berkata kepada Abu Bakar: Bagaimanakah engkau sanggup memerangi manusia? Sedangkan Rasulullah SAW bersabda: Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan: “لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ” (Tidak ada tuhan yang sebenar-benarnya layak disembah melainkan hanya Allah). Sesiapa yang mengucapkan: “لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ” (Tidak ada tuhan yang sebenar-benarnya layak disembah melainkan hanya Allah), maka harta dan jiwanya telah aku lindungi kecuali jika dia dijatuhkan hukuman dan perhitungannya diserahkan kepada Allah. Beliau berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku akan memerangi sesiapa yang memisahkan antara solat dan zakat kerana sesungguhnya zakat adalah hak yang perlu dikeluarkan daripada harta. Demi Allah, sekiranya mereka enggan membayar kepadaku seutas tali kekang haiwan yang mereka biasa membayarnya kepada Rasulullah SAW, nescaya aku akan memerangi mereka kerana keengganan itu.” Umar berkata: “Demi Allah, tidaklah ia melainkan aku melihat Allah telah melapangkan dada Abu Bakar untuk berperang. Maka aku mengetahui itulah perkara yang benar.” Ibn Bukair dan Abdullah berkata, daripada al-Laith: Lafaz “عَنَاقًا” (iaitu anak kambing betina) dan ini lebih sahih (daripada riwayat dengan lafaz “عِقَالًا” iaitu tali kekang haiwan).

[Riwayat al-Bukhari, no. 7284 dan Muslim, no. 20]

Antara mereka ada yang meriwayatkannya dengan iqal seutas tali bukan ‘anaq seekor anak kambing.[1] Umar berpegang pada zahir hadis tanpa melihat ke hujung hadis dan ketentuan-ketentuan lainnya. Beliau berpendapat bahawa masuk Islam sudah cukup untuk menjamin darah dan harta kekayaan seseorang untuk memperoleh perlindungan sesuai dengan maksud umum hadis. Tetapi Sayidina Abu Bakar berhujah dengan dua perkara:

  1. Lafaz hadis yang mengaitkan perlindungan dengan satu syarat kecuali dengannya, dan zakat merupakan hak bagi harta. Hujah ini tidak disanggah oleh Umar dan yang lain.
  2. Beliau mengkiaskan zakat dengan solat kerana zakat dan solat sentiasa digandingkan dalam al-Quran dan Sunah.

Yang jelas daripada hujah antara Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar ini, para sahabat bersepakat untuk memerangi orang yang enggan mendirikan solat, maka beliau mengembalikan perkara yang diselisihkan kepada perkara yang dipersetujui. Apabila Umar ra yakin akan pandangan Abu Bakar, beliau bersetuju untuk memerangi mereka. Inilah yang difahami dari katanya. “Demi Allah, hati Sayidina Abu Bakar benar telah diterangi oleh Allah untuk membuat keputusan memerangi mereka itu, dan saya sedar bahawa dia adalah benar.” Beliau maksudkan hujah yang telah dikemukakan oleh Abu Bakar dan bukti yang dinyatakannya secara logik. Inilah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khattabi. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 2/165)

Begitulah tindakan yang dilakukan oleh khalifah pertama terhadap golongan yang ingkar dan enggan membayar zakat. Tindak ini diperakui oleh para sahabat yang terutama, kemudiannya telah bersetuju dan bersepakat bersamanya untuk memerangi mereka termasuk mereka (sahabat) yang keliru pada peringkat awal. Dengan ini, memerangi golongan yang tidak mahu membayar zakat merupakan kesepakatan ulama (ijmak) dalam hukum Islam. Imam Nawawi berkata, “Apabila seseorang atau sekelompok manusia mengingkari kewajipan membayar zakat hatta dengan cara kekerasan, maka pihak pemerintah wajib memerangi mereka. Hal ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, yang terdapat di dalam kedua-dua kitab sahih, bahawa para sahabat pada mulanya tidak sepakat untuk memerangi golongan yang enggan membayar zakat. Tetapi Sayidina Abu Bakar berpendapat bahawa golongan ini wajib diperangi dan beliau mengemukakan hujahnya. Para sahabat akhirnya bersetuju dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh Sayidina Abu Bakar. Akhirnya keputusan memerangi golongan yang enggan membayar zakat itu disepakati oleh semua para sahabat. (Lihat al-Majmu’, 5/334) (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 53-56)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

NOTA HUJUNG:

[1] Lihat Nail al-Autar (4/119). Perkataan ‘العناق ’ bermaksud: Anak kambing betina, manakala ‘العقال’ bermaksud: Tali yang diguna untuk mengikat unta. Dan dikatakan pula ‘العقال’ bermaksud: Zakat yang umum dan ia ada sokongan dari segi bahasa. Tetapi sebahagian ulama membantah dan mengatakan bahawa la akan menyalahi percakapan orang Arab jika demikian kerana kata-kata tersebut keluar ketika dalam keadaan tegas, kesempitan dan hiperbola. Maka ia memberi maksud “kurangnya tali yang diguna untuk mengikat unta. Jika kita katakan bahawa maksudnya ialah zakat yang umum maka tidak tercapailah maksud yang hendak dikatakan ini.