Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan maksud hadith ‘Inni So’im’ – aku berpuasa? Saya biasa dengar ada kawan-kawan saya selalu sebut kalau puasa. Apa maksudnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu hadith yang dimaksudkan tersebut. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ. – مَرَّتَيْنِ – وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ المِسْكِ، يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي الصِّيَامُ لِي، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا.
Maksudnya: “Puasa itu adalah merupakan perisai. Oleh itu, janganlah berkata keji dan jangan juga bertelingkah laku (seperti orang) jahil. Sekiranya ada seseorang membawanya berbunuhan atau mencelanya, maka katakanlah, “Sesungguhnya aku berpuasa.” – sebanyak dua kali. – Demi Dia (Allah) yang jiwaku berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah SWT daripada aroma minyak kasturi. (Firman Allah SWT) Dia meninggalkan makan, minum dan syahwatnya disebabkan oleh puasa kerana Aku. Dan Aku juga akan mengganjarinya, yang mana satu kebaikan (akan dibalas) dengan sepuluh kali (ganda) sepertinya.”
Riwayat al-Bukhari (1894)
Imam al-Nawawi berkata: Nabi SAW bersabda, “Maka hendaklah dia berkata, ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa. Sesungguhnya aku sedang berpuasa,’” sebanyak dua kali untuk penegasan. Para ulama berbeza pendapat mengenai maksudnya; ada yang berpendapat bahawa ungkapan tersebut diucapkan secara terang-terangan agar didengari oleh orang yang mencaci atau hendak berkelahi dengannya, supaya orang tersebut menahan diri.
Ada juga yang berpendapat bahawa ucapan itu tidak perlu dizahirkan, sebaliknya cukup diingatkan dalam diri sendiri untuk menahan diri daripada mencaci atau berkelahi, sekaligus menjaga puasanya daripada perkara yang mengurangkan pahala. Jika kedua-dua cara digabungkan, ia lebih baik.
Ketahuilah bahawa larangan bagi orang yang berpuasa daripada perkataan kotor, kebodohan, pertengkaran, dan caci maki bukanlah khusus untuk mereka yang berpuasa sahaja; bahkan larangan ini juga dikenakan kepada semua orang. Namun, bagi orang yang berpuasa, larangan ini lebih ditekankan. Dan Allah lebih mengetahui. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/29)
Ibn ‘Abd al-Bar berkata: Adapun sabda Nabi: “Jika seseorang mencaci atau menghina, maka hendaklah dia berkata: ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa,'” terdapat dua pendapat tentang perkara ini:
Pendapat pertama: Bahawa dia disarankan untuk berkata kepada orang yang mencacinya atau mengajaknya bertengkar: “Aku sedang berpuasa, dan puasaku ini menahan diriku daripada membalas kata-katamu, kerana aku ingin memelihara puasaku daripada kata-kata yang keji dan dusta. Aku diperintahkan untuk berbuat demikian; jika bukan kerana puasaku, sudah pasti aku akan mempertahankan diriku dengan membalas kata-katamu atau yang seumpamanya.”
Pendapat kedua: Bahawa orang yang berpuasa itu hendaklah mengingatkan dirinya sendiri dengan berkata: “Aku sedang berpuasa, wahai diriku, jadi tidak ada ruang untuk menuruti kemarahanmu dengan bertengkar.” Dia tidak perlu mengucapkan “Aku sedang berpuasa” kepada orang lain kerana bimbang akan timbulnya riak atau niat menunjuk-nunjuk serta mendedahkan amalannya kepada orang lain. Ini kerana puasa adalah amalan yang tersembunyi, dan kerana itu Allah akan memberikan ganjaran kepada orang yang berpuasa tanpa perhitungan.” (Lihat al-Tamhid, 19/55-56)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:Pendapat yang sahih adalah bahawa dia hendaklah mengucapkannya melalui lisannya, seperti yang ditunjukkan dalam hadis; kerana lafaz “ucapan” secara mutlak merujuk kepada sesuatu yang dilafazkan dengan lidah, sementara apa yang berada dalam hati adalah terbatas. Sebagai contoh, seperti dalam hadith lain: ‘عَمَّا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا’ (pada perkara yang dibisikkan oleh hati mereka),” kemudian disebut pula selepas itu: ‘مَا لَمْ تَكَلَّمْ بِهِ أَوْ تعْمَلْ بِهِ’ (selagi mereka tidak melafazkannya atau melaksanakannya).” Maka, kata-kata yang disebut secara mutlak adalah yang dilafazkan dan didengar. Apabila seseorang menyatakan dengan lidahnya, “Aku sedang berpuasa,” dia menjelaskan alasannya untuk menahan diri daripada membalas, dan ini lebih berkesan kepada orang yang memulakan perbuatan zalim tersebut.” (Lihat Minhaj al-Sunnah, 5/197)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”