#7350: Masalah Akhlak Zaman Jahiliyyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sejauh mana teruknya masalah akhlak pada zaman Jahiliyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah telah menjelaskan dalam al-Quran bahawa kaum musyrikin Arab menyembah patung-patung yang mereka dakwa sebagai tuhan, kononnya untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah sedekat-dekatnya dan memperoleh syafaat di sisi-Nya. Allah berfirman:

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَٰؤُلَاءِ شُفَعَاؤُنَا عِندَ اللَّهِ

Maksudnya: “Dan mereka menyembah selain Allah apa yang tidak dapat mendatangkan bahaya kepada mereka, dan tidak pula memberi manfaat. Mereka berkata: ‘Mereka itu pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah.'”

(Surah Yunus: 18)

Walaupun mereka mengenal Allah, mereka tetap meminta syafaat melalui berhala-berhala yang mereka anggap sebagai tuhan. Allah berfirman:

أَئِنَّكُمْ لَتَشْهَدُونَ أَنَّ مَعَ اللَّهِ آلِهَةً أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Adakah kamu benar-benar mengakui bahawa ada tuhan-tuhan selain Allah?”

(Surah al-An’am: 19)

Mereka menyembah berhala dengan kepercayaan bahawa berhala-berhala itu adalah tempat turunnya roh-roh, sebagaimana yang dinyatakan oleh para sejarawan. Interaksi mereka dengan kepercayaan paganisme ini disertai dengan adat istiadat dan amalan-amalan yang diwarisi daripada generasi sebelumnya. Setiap generasi mewarisi kepercayaan ini daripada nenek moyang mereka, sehingga ia mendarah daging dan mereka sangat memuliakan nenek moyang mereka. Allah berfirman:

إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَىٰ آثَارِهِم مُّهْتَدُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami mendapati nenek moyang kami menganut suatu agama, dan kami hanya mengikut jejak mereka.”

(Surah al-Zukhruf: 22)

Akibat daripada taqlid buta ini, mereka tidak mampu untuk mempertimbangkan kepercayaan yang diwarisi dengan akal yang waras atau berdasarkan bukti yang sahih.

Penyelewengan dalam akidah pada zaman Jahiliyyah diikuti dengan penyelewengan dalam ibadah, tingkah laku, syiar, serta hukum-hukum. Amalan haji mereka telah terjejas oleh ajaran penyembahan berhala. Berhala-berhala ditempatkan di sekitar Ka’bah. Mereka bertawaf di sekelilingnya, dan kadangkala melakukannya dalam keadaan telanjang.

Malah, kaum Quraisy akhirnya mengubah amalan wukuf di Arafah; mereka tidak lagi melakukannya di sana, tetapi memilih untuk melakukannya di Muzdalifah, yang jelas berbeza daripada amalan orang lain. Mereka mewajibkan setiap orang Arab tanpa terkecuali untuk menanggalkan segala kelengkapan selepas ihram ketika memasuki Tanah Haram. Selain itu, mereka juga harus meninggalkan pakaian tahallul dan menggantikannya dengan pakaian ihram. Pilihan diberikan sama ada pakaian tersebut dijual, dipinjamkan, atau dihadiahkan. Jika perkara ini tidak dapat dilakukan, mereka terpaksa bertawaf mengelilingi Ka’bah dalam keadaan telanjang.

Kaum Quraisy turut mengenakan peraturan yang sama ke atas wanita Arab. Namun, wanita-wanita itu bertawaf di tempat tertentu yang dikhaskan di bahagian belakang. Demikianlah, mereka telah mencipta peraturan yang sama sekali tidak diizinkan oleh Allah, walaupun mereka mendakwa bahawa mereka mengikuti syariat bapa mereka, Ibrahim! (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah, hlm. 63)

Kata beliau lagi: Pada zaman Arab Jahiliah, bertelanjang bukanlah dianggap sebagai satu aib. Mereka melakukan tawaf di Ka’bah dalam keadaan bertelanjang kecuali kabilah Quraisy (Al-Humus). Amalan tawaf tanpa pakaian ini berlanjutan sehingga Rasulullah melarangnya melalui perintah yang disampaikan oleh Abu Bakar al-Siddiq ketika menunaikan ibadah haji pada tahun ke-9 Hijrah. Beliau mengumumkan: “Mulai tahun ini, tiada lagi musyrik yang dibenarkan menunaikan haji, dan tidak lagi dibenarkan tawaf dalam keadaan bertelanjang.” Sehubungan itu, Ibnu Hajar memberi ulasan mengenai hadis ini dengan berkata: “Hadis ini membuktikan bahawa Rasulullah sentiasa dilindungi daripada melakukan perbuatan yang dianggap buruk, sama ada sebelum atau selepas baginda diangkat sebagai Nabi.” (Lihat Fath al-Bari, 1/475; seperti dalam al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah, hlm. 95)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Keadaan sosial masyarakat Arab adalah dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Hubungan lelaki Arab dengan wanita di peringkat golongan bangsawan berada dalam keadaan yang sangat memuaskan dan wanita memiliki kebebasan memilih dan membuat keputusan. Wanita bangsawan dihormati dan dipelihara. Jikalau tidak, peperangan dan pertumpahan darah boleh berlaku. Orang lelaki Arab, sekiranya dia ingin memuji tentang pandangan masyarakat Arab berkenaan sifat-sifat hormat dan berani, pada kebanyakan waktu dia akan memuji dengan mengaitkannya dengan peranan wanita. Wanita Arab pula, jikalau dia mahukan kedamaian antara kabilah-kabilah yang bertelingkah, dia boleh menjadi pendamai. Jikalau dia mahu menyalakan api peperangan dan pertengkaran, dia juga boleh berbuat demikian. Namun begitu, tidak dipertikaikan lagi bahawa lelaki menjadi ketua keluarga dan bertindak memutuskan sesuatu keputusan. Berkenaan akad nikah dan perkahwinan, para wanita terikat dengan keputusan penjaga dan ibu bapa mereka. Para wanita tidak berhak membuat keputusan sendiri.

Apa yang disebutkan sebentar tadi adalah keadaan masyarakat pada peringkat atasan. Dalam kelas masyarakat yang lain terdapat percampuran bebas antara lelaki dan perempuan atau kita boleh sebut bahawa aktiviti yang berlaku pada peringkat ini adalah pelacuran, meminum arak, dan penzinaan.

Abu Daud merekodkan sebuah hadith daripada Aisyah yang menyatakan bahawa pernikahan pada zaman Jahiliyah terbahagi kepada empat jenis.

  • Jenis yang pertama adalah seperti pernikahan manusia pada hari ini, iaitu pihak keluarga lelaki akan meminang keluarga pihak perempuan, membayar mas kahwin dan berkahwin.
  • Jenis yang kedua adalah seseorang lelaki itu berkata kepada perempuan yang suci daripada persetubuhan dengannya bahawa isterinya itu perlu menemui lelaki yang lain dan dia perlu berkahwin dengannya. Lelaki pertama tadi perlu menjauhi daripada isterinya itu dan tidak boleh menyentuhnya sama sekali sehingga wanita itu hamil hasil perhubungan lelaki yang baru itu yang berkahwin dengannya. Apabila wanita itu hamil, suami asalnya itu boleh menikmati semula perhubungan dengan isterinya itu jikalau dia suka. Perbuatan ini dilakukan dengan sangkaan ia boleh menghasilkan anak yang cerdas atau menghasilkan keturunan yang baik. Pernikahan ini dinamakan sebagai nikah Al-Istibdha’.
  • Jenis yang ketiga pula adalah berkahwin dengan tiga hingga sembilan wanita dan seseorang lelaki itu boleh menggauli semua isteri menurut kemahuannya. Apabila ada isterinya yang hamil, kemudian dia melahirkan anak dan selepas beberapa malam berlalu, wanita itu dihantar kepada segolongan lelaki. Mereka akan berhimpun di sisi wanita itu dan wanita itu berkata, “Kamu semua sudah mengetahui bahawa aku melahirkan anak dan ini adalah anakmu wahai si fulan.” Wanita itu akan menyebut nama lelaki yang disukainya. Lelaki yang disebut namanya itu akan mengambil anak yang dilahirkan itu.
  • Jenis yang keempat adalah lelaki-lelaki yang berhimpun di suatu tempat dan mencari mana-mana perempuan yang tidak malu untuk menawarkan diri mereka. Mereka adalah pelacur. Golongan pelacur ini akan meletakkan tanda di depan rumahnya untuk menarik lelaki- lelaki yang mahu menggauli mereka. Jikalau perempuan itu hamil dan melahirkan kandungannya, segolongan lelaki akan berhimpun dan menentukan siapakah bapa kepada anak yang dilahirkan yang dirasakan sesuai untuk diberikan kepada bapanya yang akan dipilih. Lelaki yang dipilih tidak boleh menolaknya. Ketika Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW, baginda menghapuskan pernikahan Arab Jahiliyah ini semua kecuali pernikahan yang dibenarkan oleh Islam pada hari ini.

Dalam peperangan antara kabilah, terdapat perhimpunan khusus antara lelaki dan perempuan. Kabilah yang menang dalam pertempuran akan menawan dan menjadikan wanita yang dikalahkan untuk digauli. Anak-anak yang lahir daripada wanita tadi akan mendapat malu sepanjang hayatnya.

Antara perkara yang sudah diketahui dalam masyarakat Arab Jahiliyah adalah mereka mengamalkan poligami tanpa had. Mereka juga menghimpunkan atau berkahwin dengan dua perempuan yang merupakan adik-beradik. Selain itu, mereka berkahwin dengan isteri-isteri kepada bapa-bapa mereka apabila ditalakkan ataupun meninggal dunia. Manakala kuasa talak yang dipegang oleh lelaki tidak ada had bilangannya.

Perbuatan zina berleluasa dalam setiap peringkat masyarakat. Kita tidak dapat mengkhususkan perbuatan ini untuk peringkat atau kelas masyarakat tertentu. Segelintir individu dalam kalangan lelaki mahupun wanita yang mempunyai kehormatan diri sahaja yang menolak amalan buruk ini. Bagi wanita-wanita yang bebas, keadaan mereka lebih baik daripada wanita hamba. Keadaan wanita hamba begitu dasyat. Kebanyakan masyarakat Arab Jahiliyah tidak merasakan malu jikalau mereka dikaitkan dengan perbuatan zina ini.

Abu Daud merekodkan daripada Amr bin Syu’aib daripada bapanya melalui datuknya berkata: Seorang lelaki bangun dan berkata, “Wahai Utusan Allah sesungguhnya si fulan ini adalah anakku. Aku melakukan zina dengan ibunya semasa zaman Jahiliyah.” Maka Nabi Muhammad s.a.w. pun membalas, “Tidak boleh mendakwa anak atau keturunan dalam Islam. Zaman Jahiliyah sudah berlalu. Anak yang sah adalah untuk lelaki yang berkahwin dengan cara yang benar. Penzina tidak berhak untuk mendakwa anaknya.” Kisah pertelingkahan antara Saad bin Abi Waqqas dan Abd bin Zam’ah dalam menentukan anak kepada hamba wanita Zam’ah, iaitu Abdul Rahman bin Zam’ah sangat terkenal.

Hubungan bapa dengan anak-anaknya dan cara mereka dilayani semasa era Jahiliyah boleh dibahagikan kepada beberapa keadaan. Ada antara mereka yang mengatakan dalam rangkap puisi:

Sesungguhnya anak-anak kami yang hidup bersama kami,

Adalah permata hati kami yang bertebaran di muka bumi ini.

Ada antara mereka yang menanam anak-anak perempuan mereka kerana malu dan tidak mahu memberikan nafkah. Manakala anak-anak lelaki pula dibunuh kerana takutkan kefakiran dan kemiskinan. Walau bagaimanapun, kami tidak boleh mengatakan perbuatan ini sangat berleluasa dalam masyarakat Arab. Mereka juga memerlukan anak-anak lelaki untuk mengawal keselamatan daripada serangan musuh.

Hubungan seseorang lelaki dengan adik-beradik kandungnya dan anak-anak saudaranya serta keluarganya adalah hubungan yang begitu erat. Mereka hidup berpaksikan kepada sikap taksub kepada kabilah masing-masing dan sanggup mati demi mempertahankan kabilah mereka. Semangat kemasyarakatan berleluasa dalam sesebuah kabilah dan semangat itu yang menggandakan lagi sikap fanatik kabilah. Asas sistem sosial masyarakat Arab adalah sikap fanatik terhadap hubungan kekeluargaan. Mereka berpegang pada slogan yang utama ini, “Bantulah saudaramu sama ada dia seorang yang zalim mahupun seorang yang dizalimi.” Ia bermaksud membantu saudara yang zalim dan dizalimi dalam maksud yang sebenarnya. Islam mengubah konsep ini dan menyatakan bahawa maksud membantu orang yang zalim adalah menasihati seseorang untuk meninggalkan kezaliman dan bukan membantu kezalimannya. Persaingan dalam merebut kedudukan dan kepimpinan banyak menyebabkan peperangan antara kabilah-kabilah yang berasal daripada bapa atau keturunan yang sama. Ini seperti yang kita lihat pertelingkahan antara Kabilah Aus dan Khazraj, Kabilah Abs dan Zubyan, Kabilah Bakar dan Taghlib, serta kabilah yang lain.

Hubungan antara sesama kabilah sangat berpecah belah dan kekuatan mereka merosot selepas peperangan berlaku. Namun, perasan takut dan rendah diri yang tersemat dalam sebahagian adat dan tradisi yang bercampur baur juga dengan agama dan khurafat mengurangkan sikap degil dan keras. Dalam sesetengah keadaan terdapat juga kesepakatan dan budi bicara antara kabilah yang berbeza. Bulan-bulan yang diharamkan berperang menjadi rahmat dan membantu mereka untuk meneruskan kehidupan dan mencari rezeki.

Kesimpulannya, situasi kemasyarakatan dalam kehidupan masyarakat Arab dahulu berada dalam keadaan yang begitu lemah. Kejahilan mencengkam kehidupan mereka. Khurafat bermaharajalela dalam kehidupan manusia. Manusia hidup seperti binatang ternakan. Kaum wanita dijual dan dibeli serta dilayan seperti objek yang tidak bernilai. Hubungan antara tuan dan hamba wanita begitu teruk dan lemah. Matlamat utama pemimpin- pemimpin kerajaan pada masa itu hanya bagi memenuhkan kekayaan mereka dengan menindas dan mengerah keringat rakyat ataupun melancarkan peperangan kepada pihak musuh. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, pts, hlm. 60-65)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”