Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah ada hadis yang menyebut tentang perubahan hajar aswad dari putih menjadi hitam kerana dosa anak-anak Adam? Boleh jelaskan hadith itu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
نَزَلَ الْحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الْجَنَّةِ وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِي آدَمَ
Maksudnya: “Hajar Aswad itu diturunkan dari syurga. Warnanya lebih putih daripada susu. Maka dosa anak-anak Adam yang telah menjadikannya hitam.”
Riwayat al-Tirmizi (877)
Al-Mubarakfuri menjelaskan hadith di atas seperti berikut:
Frasa ‘وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ’ (“dan ia lebih putih daripada susu”) adalah ayat yang menjelaskan situasi, manakala frasa ‘فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِي آدَمَ ’ (“kemudian dosa-dosa anak Adam menghitamkannya”) menjelaskan punca kehitaman itu. Dalam kitab Al-Mirqat, disebut bahawa dosa-dosa anak-anak Adam yang menyentuh Hajar Aswad adalah punca kehitamannya. Tafsiran yang lebih jelas ialah hadis ini perlu difahami secara hakikatnya atau harfiah kerana tiada halangan daripada segi dalil ataupun logik akal.
Sebahagian ulama kami, khususnya dalam mazhab Hanafi, menyatakan bahawa hadis ini mungkin bertujuan memperbesarkan kemuliaan Hajar Aswad dan menggambarkan keburukan dosa-dosa dan kesalahan. Maksudnya, kerana Hajar Aswad memiliki keagungan, kemuliaan, keberkatan, dan kemurnian, ia disamakan dengan permata dari syurga, seolah-olah ia turun darinya. Dosa-dosa anak-anak Adam hampir memberi kesan kepada benda tidak bernyawa seperti batu, sehingga ia yang asalnya putih menjadi hitam. Maka, betapa besarnya kesan dosa-dosa terhadap hati manusia.
Atau kerana ia, dari sudut fungsinya sebagai penghapus dosa dan memadam kesalahan, seolah-olah berasal dari syurga. Oleh kerana terlalu banyak menanggung dosa-dosa keturunan Adam, pada asalnya ia berwarna putih bersih, namun dosa-dosa tersebut menjadikannya hitam. Salah satu bukti yang menyokong pandangan ini adalah bahawa dahulu terdapat titik-titik putih padanya, namun lama-kelamaan warna hitam menutupi keseluruhannya.
Dan dalam hadis disebutkan, apabila seorang hamba berdosa, satu titik hitam akan terpalit di dalam hatinya. Setiap kali dia mengulangi dosanya, titik hitam lain akan terpalit, sehingga hatinya menjadi hitam sepenuhnya dan dia termasuk dalam golongan yang Allah sebutkan dalam firman-Nya, ‘Sekali-kali tidak! Bahkan dosa-dosa mereka telah menutup hati mereka akibat perbuatan yang mereka lakukan.’
Kesimpulannya, hati diumpamakan seperti cermin putih yang sangat bersih, tetapi ia berubah apabila terkena sesuatu yang tidak sesuai, hingga seluruh bahagiannya menjadi gelap. Secara keseluruhannya, pergaulan dan persahabatan mempunyai pengaruh, ini disepakati oleh semua orang bijaksana. Demikianlah kata-kata Al-Qari.
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut bahawa sebahagian golongan mulhid (ateis) membantah hadis ini, dengan mengatakan, ‘Bagaimana mungkin dosa-dosa orang musyrik menghitamkan hati mereka, sedangkan ketaatan orang-orang yang bertauhid tidak memutihkan hati mereka?’ Dijawab dengan kata-kata Ibn Qutaybah: ‘Jika Allah menghendaki, perkara itu boleh berlaku. Namun, Allah menetapkan adat kebiasaan bahawa warna hitam boleh mencemari, sedangkan putih tidak boleh memutihkan secara sebaliknya.'”
Dan berkata al-Muhibb al-Tabari: “Keadaan ia (Hajar Aswad) yang hitam itu adalah sebagai pengajaran bagi mereka yang memiliki keinsafan. Sesungguhnya, jika dosa-dosa boleh meninggalkan kesan pada batu yang keras, maka kesannya pada hati manusia pastinya lebih dahsyat.” Beliau juga berkata: “Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa batu itu dihitamkan agar penduduk dunia tidak dapat melihat keindahan syurga. Jika ini sahih, maka itulah jawapannya.” Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Diriwayatkan oleh al-Humaydi dalam kitab Fadhail Makkah dengan isnad yang lemah,” tamat. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/525)
Bahagian yang berwarna hitam ialah bahagian depan yang disentuh oleh manusia, tetapi bahagian dalamnya yang tertanam di Ka’bah warnanya tidak berubah. (Lihat Fadhl al-Hajar al-Aswad wa Maqam Ibrahim, hlm. 36)
Dapat dibuat pengajaran di sini bahawa dosa-dosa manusia boleh menghitamkan batu yang putih bersih dari syurga, apatah lagi pengaruh dan kesannya terhadap hati manusia. Kita wajib menghindarkan diri daripada melakukan dosa dan maksiat yang menjadikan hati kita hitam oleh dosa-dosa yang dilakukan. (Lihat Makkah al-Mukarramah: Kelebihan dan Sejarah, hlm. 103)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”