#7356: Ijtihad Mengenai Zakat Saham

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berrkenaan ijtihad terkini berkenaan zakat saham?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)

Definisi Saham

Saham adalah unit ekuiti atau pemilikan dalam sesebuah syarikat yang membolehkan pemiliknya, atau pemegang saham, menuntut sebahagian aset dan pendapatan syarikat tersebut. Pemegang saham berhak menerima keuntungan dalam bentuk dividen dan berpotensi mendapat pulangan melalui kenaikan harga saham di pasaran. Di samping itu, pemilikan saham juga biasanya memberikan hak mengundi dalam mesyuarat agung syarikat, yang membolehkan pemegang saham menyumbang kepada keputusan perniagaan tertentu. (Lihat Fundamentals of Investing oleh Gitman, L. J., & Joehnk, M. D, hlm. 10-11).

Ijtihad Mengenai Saham

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut: Apa yang telah saya nukilkan pada halaman-halaman sebelum ini mengenai zakat saham adalah pandangan dan ijtihad saya yang lalu. Tetapi, seorang faqih mengubah pandangan dan ijtihadnya kerana pelbagai sebab, sebagaimana juga ijtihad imam besar iaitu Muhammad bin Idris al-Syafie yang berubah ketika beliau menetap di Mesir sehingga pendapat serta ijtihadnya di sana berselisih dengan ijtihadnya yang lalu.

Tidaklah mengejutkan apabila pengikut mazhab al-Syafie dan mereka yang mempelajari mazhab ini mengetahui bahawa Imam al-Syafie mempunyai dua pandangan iaitu qaul qadim (pendapatnya yang lama) dan qaul jadid (pendapat yang baru). Disebutkan di dalam buku-buku mazhab ini: ‘pendapat al-Syafie yang lama’ dan ‘pendapat beliau yang baru.

Tambahan pula, tidaklah asing bagi seorang ilmuwan yang mengubah pendapatnya setelah dia menemui dalil-dalil dan pertimbangan syarak yang membuatnya melakukan tarjih pada pendapatnya yang baru berbanding pendapat yang lama. Ini adalah pembuka kata bagi pendapat yang saya pegang dan yang telah saya laksanakan tarjih sejak beberapa tahun, iaitu perkara yang berkaitan dengan saham yang digunakan untuk tujuan pelaburan dan bukan untuk diniagakan. Apa yang saya maksudkan dengan pelaburan adalah pelaburan yang mendatangkan keuntungan dan faedah secara berkala.

Pada pendapat saya, kita perlu menguruskan saham ini seperti yang dilakukan terhadap tanah pertanian, dan kita uruskan keuntungannya sebagaimana yang dilakukan terhadap hasil pertanian yang keluar daripada tanah iaitu 10% daripada untung bersih, yang mana ia menyerupai hasil tanah yang disirami dengan air hujan dan ia adalah hasil bersih tanpa kos penyiraman dengan alat atau haiwan dan sebagainya. Ini kerana zakat itu dikeluarkan sebaik sahaja ia diterima berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-An’am:

وَآتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ

Maksudnya: “Dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.”

(Surah al-An’am: 141)

Ijtihad saya yang terkini ini lebih baik daripada menganggap saham itu seperti barang- barang perniagaan (‘arudh al-tijarah) yang mana zakatnya dikeluarkan daripada modal dan keuntungan (dengan mengecualikan aset-aset tetap) sebagaimana zakat perniagaan, iaitu 2.5% daripada jumlah keseluruhan bagi modal dan keuntungan. Inilah yang diaplikasikan oleh bank-bank Islam secara umum. Akan tetapi, dalam beberapa tahun lalu Bank Islam Qatar dan Bank Islam Antarabangsa Qatar yang mana saya mempengerusikan Jawatankuasa Penasihat Syariahnya telah menggunakan fatwa saya yang terkini.

Pendapat baru ini mempunyai pelbagai faedah. Antara faedahnya adalah syarikat dan institusi-institusi yang baru ditubuhkan dan tidak memperoleh sebarang keuntungan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat kerana zakat dalam keadaan ini diambil daripada modal pokok (capital) dan bukan daripada hasil yang berkembang.

Shareholding Company (al-Syarikat al-Musahimah) yang ditimpa kerugian pada sebahagian tahun seperti yang berlaku pada Pusat Kewangan Islam di Switzerland, Bank Islam Faisal di Mesir dan selainnya, selepas krisis Bank of Credit and Commerce International (BCCI), tidak diwajibkan zakat kerana tiada keuntungan yang diperoleh.

Syarikat yang memperoleh untung yang sangat besar pada beberapa tahun, maka zakat dikeluarkan selari dengan kadar keuntungan, dan ini adalah tindakan yang adil.

Cara Ini lebih mudah untuk mengetahui kadar kewajipan zakat bagi setiap pemegang saham berbanding cara lain kerana setiap daripada mereka mengetahui keuntungannya dengan jelas. Misalnya, apabila seseorang memperoleh untung sebanyak 100, maka dia perlu berzakat sebanyak 10, dan apabila dia memperoleh 1000, maka dia perlu berzakat sebanyak 100.

Perkara yang wajib dititik beratkan di sini adalah: Zakat wajib dikeluarkan daripada keuntungan yang diunjurkan, walaupun ia belum diterima, seolah-olah keuntungan telah diserah terima kepada para pemegang saham. Begitu juga sekiranya keuntungan itu dalam bentuk saham yang ditambah ke dalam hak para pemegang saham, maka setiap pemegang saham itu perlu mengeluarkan zakat nilai saham tersebut dengan nilai yang dibayar oleh bank atau syarikat kepadanya.

Kebiasaannya syarikat atau bank menetapkan pembayaran separuh daripada nilai saham kepada setiap pemegang saham, misalnya kepada sesiapa yang mempunyai 1000 saham (yang bernilai 10,000 riyal) akan memperoleh 5000 riyal dan kadangkala mereka tidak membayar dengan nilai wang tunai, tetapi mereka memberikan dalam bentuk saham, iaitu bagi setiap 1000 saham akan menerima 500 saham, maka di sini perlu dikeluarkan zakat mengikut harga nominal (500 x 10 = 1500), dan perkara ini sangat jelas, mudah difahami dan diaplikasi. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 1/472-474)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”