#7368: Ummu al-Darda’ al-Kubra

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan siapakah Ummu al-Darda’ al-Kubra?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Beliau ialah Khairah binti Abi Hadrad al-Aslamiyyah, yang dikenali sebagai Umm al-Darda’ al-Kubra. Beliau merupakan seorang sahabat wanita yang unggul, termasuk dalam kalangan wanita yang berakhlak mulia, bijaksana, berpendirian teguh, dan penuh dalam beribadah.

Antara Peristiwa Umm al-Darda’ Bersama Rasulullah SAW

Sahl bin Mu’az meriwayatkan daripada bapanya bahawa Umm al-Darda’ berkata: “Rasulullah bertemu denganku ketika aku baru keluar dari tempat mandi (hammam), lalu Baginda bertanya: ‘Dari mana, wahai Umm al-Darda’?’ Aku menjawab: ‘Dari hammam.’ Baginda bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا مِنَ امْرَأَةٍ تَضَعُ ثِيَابَهَا فِي غَيْرِ بَيْتِ أَحَدٍ مِنْ أُمَّهَاتِهَا، إِلَّا وَهِيَ هَاتِكَةٌ كُلَّ سِتْرٍ بَيْنَهَا وَبَيْنَ الرَّحْمَنِ

Maksudnya: ‘Demi jiwaku di tangan-Nya, tiada seorang wanita pun yang menanggalkan pakaiannya di tempat selain rumah keluarganya, melainkan dia telah meruntuhkan semua tabir antaranya dengan Tuhan Yang Maha Pengasih.’”

Riwayat Ahmad (27038). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih.

Keadaan Umm al-Darda’ Bersama Suaminya

‘Aun bin Abi Juhaifah meriwayatkan daripada bapanya bahawa Nabi SAW menjalin persaudaraan antara Salman dan Abu Darda’. Suatu hari, Salman datang menziarahi Abu Darda’ dan mendapati Umm al-Darda’ dalam keadaan yang sangat sederhana. Salman bertanya kepadanya: “Mengapa keadaanmu begini?” Dia menjawab: “Saudaramu Abu Darda’ tidak memiliki keinginan terhadap dunia.”

Kemudian, Abu Darda’ datang dan menyediakan makanan untuk Salman. Salman berkata: “Makanlah.” Abu Darda’ menjawab: “Aku sedang berpuasa.” Salman berkata: “Aku tidak akan makan selagi kamu tidak makan.” Maka Abu Darda’ pun berbuka dan makan. Pada malamnya, Abu Darda’ bangun untuk bersolat malam. Salman berkata kepadanya: “Tidurlah dahulu.” Abu Darda’ pun tidur. Kemudian, Abu Darda’ bangun lagi, tetapi Salman berkata: “Tidurlah.” Hingga ketika waktu hampir menjelang subuh, Salman berkata: “Sekarang bangunlah.” Lalu kedua-duanya bersolat. Selepas solat, Salman berkata kepadanya:

إنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، ولِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، ولِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فأعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ، فأتى النبيَّ ﷺ فَذَكَرَ ذلكَ له، فقالَ النبيُّ ﷺ: صَدَقَ سَلْمانُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak atasmu, dirimu juga mempunyai hak atasmu, dan keluargamu juga mempunyai hak atasmu. Maka tunaikanlah setiap hak kepada yang berhak.” Kemudian, Abu Darda’ menemui Nabi SAW dan menceritakan perkara tersebut kepada Baginda, lalu Baginda bersabda: “Benarlah Salman.”

Riwayat al-Bukhari (6139)

Sebahagian Riwayat Umm Al-Darda’ Daripada Rasulullah SAW

Daripada Umm al-Darda’, Rasulullah bersabda:

مَا مِنْ مَيِّتٍ يُقْرَأُ عِنْدَهُ سُورَةُ يس إِلَّا هُوِّنَ عَلَيْهِ الْمَوْتُ

Maksudnya: “Tiada seorang yang sedang nazak yang dibacakan padanya Surah Yasin, melainkan Allah memudahkan keadaannya.”

Riwayat al-Dailami dalam al-Firdaus (6099). Dinyatakan sebagai maudhu’ dalam al-Silsilsah al-Dha’ifah (5219)

Dan daripada Umm al-Darda’ juga, bahawa Rasulullah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَنْ ثَلاثٍ: عَنِ الْخَطَأِ وَالنِّسْيَانِ وَالاسْتِكْرَاهِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengampunkan tiga perkara untuk umatku: kesalahan yang tidak disengajakan, kelupaan, dan paksaan.”

Riwayat Ibn Majah (2045) dengan perbezaan lafaz

Kematian Umm al-Darda’

Umm al-Darda’ wafat dua tahun lebih awal daripada suaminya, Abu Darda’. Beliau meninggal dunia di Syam pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. Umm al-Darda’ telah meriwayatkan hadis daripada Nabi SAW dan suaminya, Abu Darda’ (‘Uwaimir al-Ansari).[1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Nota hujung:

[1] Islam Story. (2024). أم الدرداء الكبرى [Umm al-Darda’ al-Kubra]. Diarkibkan pada 6 Julai 2024, daripada https://web.archive.org/web/20240706005720/https://islamstory.com/ar/artical/22080/أم_الدرداء_الكبرى