Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apakah hikmah di sebalik penetapan syarat milik sempurna?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً
Maksudnya: “Pungutlah zakat dari kekayaan mereka.”
(Surah al-Taubah: 103)
Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut: Memiliki harta adalah kurniaan yang besar dari Allah SWT. Ia merupakan manifestasi sifat khusus kebebasan dan kemanusiaan untuk insan kerana haiwan secara relatifnya tidak memiliki. Hanya manusia yang mampu memiliki sesuai dengan keperluan nalurinya. Hak pemilikan membolehkan manusia merasa dirinya berkuasa dan mempunyai kekuatan ditambah pula dengan keupayaan untuk memenuhi tuntutan naluri dan fitrah dirinya yang cintakan kepemilikan. Kesempurnaan milik membolehkan manusia mengambil manfaat harta yang dimiliki lalu mengembangkan dan melaburkan harta mereka dengan sendiri atau menerusi wakil yang dilantiknya.
Nikmat pemilikan ini mewajibkan manusia bersyukur kepada Allah SWT. Justeru, tidaklah pelik Islam mewajibkan pemiliknya berzakat dan mengeluarkan hak harta terhadap orang lain daripada harta yang dimiliki.
Dalil Penetapan Syarat Harta Milik Sempurna
Dalil penetapan syarat harta milik sempurna ada dua:
- Kata majmuk amwal (harta) sentiasa disandarkan kepada pemiliknya sama ada di dalam al-Quran ataupun di dalam hadis, misalnya firman Allah dalam surah al-Tawbah:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari “harta mereka.”
(Surah al-Taubah: 103)
Dalam surah al-Ma’arij:
وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَّعْلُومٌ
Maksudnya: “Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak.”
(Surah al-Ma’arij: 24)
Dan daripada Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّ اللهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ زَكَاةً فِي أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: “Allah mewajibkan zakat dari “harta kekayaan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (7372) dan Muslim (19)
Dan diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
هَاتُوا رُبْعَ عُشْرِ أَمْوَالِكُمْ
Maksudnya: “Keluarkanlah suku persepuluh (2.5%) dari “harta kekayaan kamu semua.”
Riwayat Ahmad (1097) dan ulama yang mentakhrijnya mengatakan hadis ini sahih lighairihi, Ibn Majah dalam al-Zakah (1790), al-Albani menghukumnya hasan dalam Sahih Ibn Majah (1447) daripada Ali dengan lafaz: ‘ وَلَكِنْ هَاتُوا رُبُعَ الْعُشُورِ، مِنْ كُلِّ أَرْبَعِينَ دِرْهَمًا دِرْهَمًا’
Sandaran kalimah ini mengandungi maksud pemilikan, oleh kerana “harta mereka” memberi maksud harta kekayaan yang mereka miliki secara khusus, disandarkan kepada mereka dan mereka mempunyai kelebihan dalam mengambil manfaat daripadanya berbanding orang lain.
- Zakat mengandungi maksud memberi pemilikan kepada golongan yang berhak terdiri daripada fakir miskin dan kategori asnaf yang lain. Aspek pemberian milik adalah salah satu cabang dari maksud pemilikan kerana, bagaimana mungkin seseorang memberikan pemilikan kepada orang lain apabila dirinya sendiri bukanlah pemiliknya. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 1/109-110)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”