#7382:  Kadar Zakat Bagi Peniaga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya merupakan seorang peniaga kedai runcit, berapakah jumlah hasil perniagaan yang perlu ada untuk dikeluarkan zakat perniagaan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka

Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Abbab R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW ketika mengutusakan Mua’z Bin Jabal ke Yaman Baginda bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: “Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1496)

Bagi menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa individu yang menjalankan perniagaan diwajibkan mengeluarkan zakat daripada hasil perniagaan mereka  setelah mencukupi syarat haul (genap tempoh setahun) dan nisab (kadar yang diwajibkan dikeluarkan zakat). Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat).”

(Surah al-Baqarah: 267)

Al-Alusi menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan (ما كَسَبْتُم) iaitu apa yang kamu perolehi atau hasil usaha kamu, yakni harta yang diperoleh daripada wang tunai, barang dagangan, dan ternakan. (Lihat Ruh al-Ma‘anni, 2/38)

Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa wajib menilai barangan perniagaan untuk tujuan pengeluaran zakat, dengan syarat-syaratnya dipenuhi, iaitu mencapai nisab dan genap setahun (haul). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/171)

Kadar Yang Perlu Dikeluarkan Zakat

Diriwayat daripada Ibn Umar dan Aisyah R.Anhum tentang zakat dinar emas:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْخُذُ مِنْ كُلِّ عِشْرِينَ دِينَارًا فَصَاعِدًا نِصْفَ دِينَارٍ، وَمِنْ الْأَرْبَعِينَ دِينَارًا دِينَارًا

Maksudnya: “Nabi SAW biasanya mengambil setiap dua puluh dinar atau lebih, sebanyak setengah dinar, dan mengambil daripada empat puluh dinar sebanyak satu dinar.”

 Riwayat Ibnu Majah (1791)

Nisbah setengah dinar untuk setiap dua puluh dinar adalah seperempat daripada sepersepuluh iaitu 2.5%. Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW bersabda:

إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا ، فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ وليس في مالٍ زكاةٌ حتى يحولَ عليه الحولُ

Maksudnya: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.”

Riwayat Abu Daud (1572)

Begitu juga hadith dengan sanad yang jayyid (baik), riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, katanya:

لَيْسَ فِي أَقَلَّ مِنْ عِشْرِينَ دِينَارًا شَيْءٌ ، وَفِي عِشْرِينَ دِينَارًا نِصْفُ دِينَارٍ، وَفِي أَرْبَعِينَ دِينَارًا دِينَارٌ، فَمَا زَادَ فَبِالْحِسَابِ

Maksudnya: “Tidak dikenakan zakat bagi jumlah yang kurang dari 20 dinar, kadar zakat yang dikenakan bagi 20 dinar adalah sebanyak setengah dinar, kadar zakat yang dikenakan bagi 40 dinar pula adalah sebanyak satu dinar, dan sebarang jumlah tambahan akan dikira dengan cara yang sama (gandaannya).”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (9966)

Hadith – hadith di atas menunjukkan bahawa kadar zakat emas dan perak adalah sebanyak 2.5 % dan perkara ini adalah ijma‘ ulama. (Lihat Irwa’ al-Ghalil, 3/291).

Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (21/29-30), para fuqaha bersepakat bahawa nisab emas yang menjadikannya wajib dikeluarkan zakat adalah 20 dinar, jika genap 20 dinar maka zakatnya adalah 2.5%.  Dalam ukuran berat pula nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal adalah  (85 gram), manakala bagi  perak (595 gram).

Sebagai contoh pengiraannya bagi zakat perniagaan mengikut kaedah untung rugi iaitu semua hasil, jualan, atau perolehan sepanjang tahun perlu diambil kira, dengan menolak segala kos dan perbelanjaan tahunan yang ditanggung. Baki keuntungan bersih selepas ditolak perbelanjaan tersebut akan dikenakan zakat pada kadar 2.5%, sekiranya mencapai atau melebihi paras nisab.

  Perkara RM
A Hasil/jualan/Perolehan RM500 sehari x 5 hari berniaga

= RM2500 seminggu (RM2500 x 4 minggu)

= RM10 000 sebulan (RM10 000 x 12)

= RM 120 000

B Tolak: Belanja/Kos Setahun = RM25 000
C Keuntungan Bersih Setahun [A – B]

(Melebihi / Menyamai Paras Nisab (Harga 85 gram emas)

RM120 000 – RM25 000

= RM95 000

D Kadar Zakat 2.5%
E Zakat Perniagaan [C × D] Rm95 000 x 2.5%

=RM2375

Justeru, sekiranya hasil jualan tahunan setelah ditolak perbelanjaan masih melebihi kadar nisab, zakat hendaklah dikeluarkan daripada jumlah bersih tersebut pada kadar 2.5%. Zakat ini bertujuan memastikan hasil perniagaan disucikan dan digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan, selari dengan tuntutan syariat Islam.

Perlu diingat bahawa kadar nisab boleh berbeza mengikut ketetapan setiap negeri, yang mungkin mengambil kira faktor kos hidup, harga emas semasa, dan situasi ekonomi setempat. Oleh itu, para peniaga disarankan untuk merujuk kepada pusat zakat negeri masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini dan memastikan taksiran zakat dilakukan dengan tepat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Wallahu‘alam