#7401: Berbohong Demi Haji

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum berbohong demi haji? Di mana sesetengah orang berbohong mengenai maklumat yang diminta oleh pihak berkuasa rasmi, mereka memberi maklumat yang tidak benar untuk melakukan perjalanan haji; seperti menyatakan bahawa mereka tidak pernah menunaikan haji sebelum itu. Adakah berbohong dalam kes seperti ini dibenarkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan, syarak telah menetapkan bahawa wajib untuk mentaati pihak berkuasa (pemerintah) dan mematuhi undang-undang yang dikeluarkan oleh mereka, selagi mana undang-undang tersebut tidak mengandungi perkara yang diharamkan secara ijma‘. Allah ‘Azza wa Jalla mewajibkan ketaatan kepada pihak pemerintah melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

(Surah al-Nisa’: 59)

Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.

Justeru itu, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 4/2360).

Tambahan lagi, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “Mendengar dan taat adalah wajib selama mana tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Apabila diperintahkan untuk melakukan maksiat maka tidak ada (kewajipan) lagi untuk mendengar dan taat.

Riwayat al-Bukhari (2955) dan Muslim (1839)

Bahkan Islam juga melarang dari rakyat sesebuah tempat itu keluar menzahirkan penentangannya terhadap pemerintah, selama mana mereka tidak dipaksa untuk melakukan kekufuran secara terbuka. Diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, katanya:

دَعَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعْنَاهُ، فَقَالَ فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا، وَأَنْ لاَ نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ، إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا، عِنْدَكُمْ مِنَ اللهِ فِيهِ بُرْهَانٌ

Maksudnya: “Nabi SAW memanggil kami lalu kami berbai‘ah kepada Baginda, maka Baginda bersabda mengenai apa yang perlu kami penuhi (perjanjian) saat berbai‘ah: Iaitu kami hendaklah berbai‘ah kepada Baginda untuk mendengar dan patuh (dalam segala keadaan) semasa suka dan benci, saat susah dan senang, (sabar) di saat orang lain didahulukan ke atas kami, serta (supaya) kami tidak pula mencabut urusan (kepimpinan) daripada ahlinya melainkan kalian melihat kekufuran yang nyata, dimana kamu ada bukti padanya daripada Allah.”

Riwayat al-Bukhari (7055) dan Muslim (1709)

Syeikh Hasal Abu al-Asybal al-Zuhairi berkata, (بَوَاحًا) bermaksud jelas, tidak ada kebarangkalian dan kesamaran padanya. Yakni pemimpin itu melakukan satu perbuatan kufur yang mengundang kemurkaan Allah SWT dan Rasul-Nya, dan ini jelas berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, seperti yang dimaksudkan oleh Baginda: “Dimana kamu ada bukti padanya daripada Allah.”

Manakala yang dimaksudkan dengan kufur di sini adalah maksiat, kerana kufur itu kadang-kadang merujuk kepada maksiat, dan kadang-kadang merujuk kepada mensyirikkan Allah SWT. Dan maksud (فِيهِ بُرْهَانٌ) pula, kalian mengetahuinya berdasarkan hukum Allah SWT secara yakin. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 20/18)

Demikianlah juga terdapat banyak lagi dalil yang menyokong hal ini, dan telah terjadinya ijma‘ bahawa wajib mentaati pihak berkuasa (ulil amri) daripada kalangan pemerintah dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Pemerintah berhak untuk menggubal undang-undang yang dilihatnya memenuhi kepentingan rakyat, kerana tindakan seorang pemimpin terhadap rakyatnya mestilah berasaskan kepada kemaslahatan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang masyhur:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Manakala kewajipan rakyat pula adalah memberikan ketaatan dan sokongan kepadanya. Sesiapa yang memasuki sesebuah negara, hendaklah dia mematuhi undang-undangnya, dan haram baginya untuk melanggarnya. Kerajaan-kerajaan tersebut tidak menetapkan peraturan dan undang-undang serta melarang perkara-perkara selainnya melainkan kerana maslahat yang mereka anggap penting.

Dari sudut lain, berbohong adalah sesuatu yang telah disepakati keharamannya, dan tiada siapa yang meragui keburukannya. Terdapat banyak dalil syarak yang menegaskan hal ini, antaranya ialah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مِنْ عَلاماتِ المُنافِقِ ثَلاثَةٌ: إِذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وَعَدَ أَخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ

Maksudnya: “Di antara tanda-tanda orang munafik itu ada tiga iaitu: apabila berbicara, dia berbohong; apabila berjanji, dia mengingkari; dan apabila diberi amanah, dia mengkhianati.

Riwayat al-Bukhari (33) dan Muslim (59), serta lafaz hadith oleh Imam Muslim.

Maka, segala bentuk pembohongan adalah haram kecuali yang dikecualikan oleh syarak. Beberapa situasi yang dikecualikan ini disebutkan dalam beberapa hadith dan tidak dianggap sebagai pembohongan melainkan secara kiasan (majaz). Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan daripada Asma’ binti Yazid R.Anha daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

لا يَصلُحُ الكذِبُ إلّا في ثلاثٍ: كذِبُ الرَّجلِ امرأتَه ليُرْضِيَهَا، أَوْ إِصْلَاحٌ بَيْنَ النَّاسِ، أَوْ كذِبٌ في الحَرْبِ

Maksudnya: “Tidak dibenarkan berbohong kecuali dalam tiga keadaan: pembohongan seorang lelaki kepada isterinya untuk menyenangkan hatinya, atau dalam usaha mendamaikan antara manusia, atau pembohongan dalam peperangan.

Riwayat al-Tirmizi (1939) dan Ahmad (27608), serta lafaz hadith oleh Imam Ahmad. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad (27608) menilai sanadnya sebagai dha‘if.

Dalam satu riwayat, Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ، مَا يَحْمِلُكُمْ عَلَى أَنْ تَتَابَعُوا فِي الْكَذِبِ كَمَا يَتَتَابَعُ الْفَرَاشُ فِي النَّارِ، كُلُّ الْكَذِبِ يَكْتُبُ عَلَى ابْنِ آدَمَ إِلَّا ثَلَاثًا: رَجُلٌ كَذَبَ امْرَأَتَهُ لِيُرْضِيَهَا، وَرَجُلٌ كَذَبَ بَيْنَ اثْنَيْنِ لِيُصْلِحَ بَيْنَهُمَا، وَرَجُلٌ كَذَبَ فِي خَدِيعَةِ حَرْبٍ

Maksudnya: “Wahai manusia, apakah yang mendorong kamu untuk terus-menerus berbohong seperti mana rama-rama yang terus-terusan memasuki api? Setiap pembohongan akan dicatat ke atas anak Adam kecuali dalam tiga keadaan: seseorang yang berbohong kepada isterinya untuk menyenangkan hatinya, seseorang yang berbohong antara dua orang untuk mendamaikan mereka, dan seseorang yang berbohong dalam tipu muslihat peperangan.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (422); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Musykil al-Athar (2914) menilai sanadnya sebagai dha‘if.

Bahkan Ibn Syihab ada menyebutkan:

وَلَمْ أَسْمَعْ يُرَخَّصُ فِى شَىْءٍ مِمَّا يَقُولُ النَّاسُ كَذِبٌ إِلَّا فِى ثَلَاثٍ: الْحَرْبُ، وَالْإِصْلَاحُ بَيْنَ النَّاسِ، وَحَدِيثُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ وَحَدِيثُ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا

Maksudnya: “Aku tidak pernah mendengar sebarang keringanan (rukhsah) dalam perkara yang dianggap sebagai pembohongan oleh manusia, kecuali dalam tiga keadaan: dalam peperangan, dalam usaha mendamaikan antara manusia, dan percakapan seorang lelaki kepada isterinya serta percakapan seorang wanita kepada suaminya.”

Kemudian, al-Qadhi ‘Iyadh ketika mensyarahkan kenyataan Ibn Syihab di atas menyatakan, tidak ada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan keharusan untuk berbohong dalam keadaan itu. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim bi Fawa’id Muslim, 8/77).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami katakan bahawa situasi-situasi yang disebutkan oleh saudara yang bertanya iaitu berbohong demi menunaikan haji, adalah termasuk dalam kategori pembohongan yang diharamkan, dan bukan jenis yang dikecualikan oleh syarak atau dibenarkan untuk berbohong kerana sebab-sebab tertentu.

Demikian juga, berdasarkan apa yang telah dinyatakan tentang kewajipan mematuhi undang-undang dan peraturan yang digubal untuk kemaslahatan, yang tidak bertentangan dengan syariat Islam, serta berdasarkan kepada pengharaman berbohong kecuali dalam keadaan yang dikecualikan oleh syarak, kami katakan juga, adalah haram untuk menipu dan memberikan maklumat palsu yang tidak sesuai dengan kenyataan dan kebenaran kepada pihak berkuasa rasmi; sama ada untuk perjalanan haji atau untuk urusan lain, sama ada di negara asalnya atau negara yang akan dikunjungi. Seseorang itu wajib mematuhi apa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa; kerana pembohongan tersebut menghalang tercapainya tujuan kemaslahatan yang ingin dicapai oleh pemerintah melalui penggubalan undang-undang.

Malah, persoalan seumpama ini turut pernah diajukan kepada Dr. Ali Jum‘ah iaitu berkenaan pembohongan demi menunaikan haji. Lalu beliau menjawab, semua ini adalah haram menurut syarak kerana mengandungi unsur pembohongan, penipuan, atau tipu daya yang dikeji, yang mana semuanya adalah jalan yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya. Walaupun haji pada asalnya adalah suatu ketaatan, ia tidak boleh dicapai melalui perbuatan maksiat.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Nota hujung:

[1] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/13437/الكذبمناجلالحج. Diakses pada 3 November 2024.