Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah wajib dikeluarkan zakat perhiasaan yang melebihi kadar kebiasaan dan uruf?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima di mana ia wajib ditunaikan oleh setiap orang beragama Islam yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antara tujuan pensyariatan zakat ini adalah untuk membersihkan hati dan harta disamping melahirkan masyarakat Islam yang pemurah dan prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara mereka. Allah SWT berfirman:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”
(Surah al-Taubah: 103)
Syeikh al-Maraghi menyebutkan, sedekah (zakat) itu dapat membersihkan mereka daripada sifat bakhil, tamak dan sifat yang kasar kepada golongan fakir yang hidup melarat. Di samping itu, kamu juga dapat menyucikan jiwa mereka dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2888).
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata: Perhiasan yang sampai kepada kadar berlebih-lebihan dan melampaui kadar kebiasaan wajib dikeluarkan zakat. Hal ini disebabkan alasan Syariat menggugurkan kewajipan zakat daripada perhiasan (sedangkan ia adalah unsur emas dan perak) ialah kerana Syariat mengharuskan penggunaannya sebagai perhiasan wanita. Oleh itu kedudukannya samalah seperti pakaian dan perkakas rumah (dari sudut pengecualian zakat).
Namun, jika kadarnya melampaui batas yang dibenarkan maka perkara ini menjadi haram atau makruh kerana pemakaian yang sedemikian tidak dibenarkan oleh syarak. Oleh itu, Al- Nawawi menyebutkan: kata ulama mazhab kami (mazhab Syafie): setiap barang perhiasan yang diharuskan bagi wanita kekal harus selagi mana kadarnya tidak berlebihan secara nyata. Jika perhiasan tersebut seperti seutas gelang yang dipakai di kaki yang mempunyai berat 200 dinar, maka pandangan yang sahih adalah hukumnya menjadi haram menurut pandangan sebahagian besar ulama Iraq. (Lihat al-Majmu’, 4/40)
Kata Ibn Hamid berkenaan perhiasan: ia diharuskan jika tidak mencapai 1000 mithqal. Jika melebihi daripada kadar itu, maka hukumnya haram dan wajib dikeluarkan zakat, perkara ini berdasarkan kepada riwayat dari Abu ‘Ubaid dan al-Athram daripada ‘Amru bin Dinar, katanya: Apabila di tanya kepada Jabir “adakah perhiasan wajib dikeluarkan zakat?” Beliau menjawab: Tidak! Apabila ditanya: Jika seribu dinar? Beliau menjawab: jumlah itu sangat banyak. Perkara ini akan membawa kepada berlebih yang boleh mendatangkan kesombongan. Selain itu, keperluan bagi tujuan perhiasan tidak memerlukan kepada berat sedemikian. (Lihat al-Mughni, 3/11; al-Amwal, hlm. 442; al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi, 4/138)
Ini merupakan pendalilan yang kuat. Walau bagaimanapun pengarang al-Mughni (Ibn Qudamah) menegaskan bahawa syarak membenarkan perhiasan secara mutlak tanpa ada taqyid (batasan). Maka tidak boleh menetapkan taqyid (batasan) berdasarkan kepada pandangan atau keputusan fikiran sendiri. (Lihat al-Mughni, 3/11)
Namun, Syeikh Ibn Qudamah lupa tentang pemakaian perhiasan yang diharuskan oleh syarak dibataskan oleh dua pengikat: iaitu tanpa berlebih-lebihan dan tanpa kesombongan. Sebagaimana sabda Nabi SAW:
كُلُوا وَاشْرَبُوا وَالْبَسُوا فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلَا مَخِيْلَةٍ.
Maksudnya: “Makanlah dan minumlah dan berpakaianlah tanpa berlebih-lebihan dan tidak pula dengan sombong.”
Riwayat al-Nasa’ie (2559). Dinyatakan isnadnya sebagai hasan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut.
Maka hadith berkenaan wanita Yaman (yang datang kepada Nabi, dan pada tangan anak perempuannya ada dua gelang emas yang berat, dan Nabi menyatakan hukumnya) boleh difahami bahawa kadar perhiasan tersebut melebihi kadar kebiasaan, yang merupakan satu pembaziran bagi anak perempuannya. Oleh sebab itulah dua gelang tersebut disifatkan dengan ‘berat. Terdapat ulama yang mentakwilkan hadith ini dengan makna tersebut, dan menyebutkan bahawa zakat hanya dikenakan pada harta yang berlebihan daripada keperluan. (Lihat Nasb al-Rayah, 2/372)
Berkemungkinan hujah ini yang menyebabkan ‘Abdullah bin ‘Amru mengeluarkan zakat dari perhiasan anak-anak perempuannya. Juga telah diriwayatkan bahawa beliau memberikan perhiasan yang bernilai 6000 dinar kepada ketiga-tiga anak perempuannya.
Perhiasan yang mempunyai nilai sebegini dikategorikan sebagai mempunyai nilai yang besar yang melebihi daripada kadar kebiasaan. Namun persoalannya ialah, berapakah kadar yang wajib dikeluarkan zakat atasnya? Adakah keseluruhan perhiasan atau perhiasan yang melebihi dari kadar kebiasaan sahaja? Berdasarkan makna zahir hadis-hadis di atas, ia menunjukkan bahawa yang wajib dikeluarkan zakat pada ketika itu adalah seluruh perhiasan. la seolah-olah kaffarah kerana berlebih-lebihan dalam menggunakan sesuatu yang diharuskan. Wallahu a’lam.
Pendapat yang mengharuskan secara mutlak tanpa ada kewajipan zakat secara mutlak membuatkan kekayaan umat terkumpul dalam bentuk harta benda berharga yang berupa perhiasan. Barangan ini mungkin disimpan oleh pemiliknya dalam tempoh yang lama (bertahun lamanya) dan tidak dipakai lagi untuk perhiasan diri sehingga mendorong pemiliknya untuk menyimpan perhiasan di tempat penyimpanan khusus seperti bank kerana bimbang akan berlaku kecurian.
Namun, apakah kadar berlebih-lebihan tersebut? Kadarnya menurut pandangan penulis berbeza-beza iaitu sesuai dengan perbezaan keperibadian seseorang individu, keadaan kehidupannya dan status kedudukannya. Perhiasan yang bernilai seribu dinar boleh jadi sesuai dengan seorang perempuan atau isteri kepada suami yang kaya di negara kaya seperti Amerika Syarikat. Perhiasan yang mempunyai nilai separuh atau 1/4 dari itu boleh jadi merupakan suatu hal yang berlebih-lebihan di sebuah negara miskin dan membangun. Maka keharusan batas pemakaian perhiasan tersebut perlu mengambil kira aspek kekayaan seseorang dan kekayaan umat yang hidup bersama-samanya. Hukumnya di sini adalah hukum berdasarkan adat atau kebiasaan.
Jika ia tidak haram atau makruh pun, maka jumlah yang melampaui kadar kebiasaan itu menunjukkan bahawa ia tidak dimiliki dengan tujuan berhias, sebaliknya hanya dikumpul dan disimpan.
Antara contoh yang menjelaskan perkara ini pada zaman ini ialah terdapat segolongan manusia yang memiliki perhiasan dan batu permata sebagai medium penyeludupan wang.
Hukum yang sama perlu dikenakan bagi mutiara, berlian, batu-batu bernilai yang dimiliki sebagai perhiasan dan tidak mencapai jumlah yang berlebihan, iaitu tidak diwajibkan zakat padanya. Dan apa yang melebihi had secara jelas, maka ia adalah sikap berlebihan yang diharamkan dan tidak layak mendapat pengecualian daripada zakat. Begitu juga yang disimpan dan dikumpul, ini juga patut dikenakan zakat, kerana menyimpannya ketika itu merupakan helah untuk mengelak daripada menunaikan hak mereka yang memerlukan, yang ada pada bahagian harta mereka. Maka di sini, niat adalah kata pemutus, dan indikatornya ialah apabila ia melebihi kadar kebiasaan.
Sekiranya kewajipan zakat bergantung pada kadar yang melebihi kebiasaan, maka kadar yang tidak melampauinya dikecualikan daripada zakat. Namun jika dikeluarkan zakat daripada jumlah keseluruhan, ianya lebih baik dan selamat serta bertepatan dengan zahir hadith yang telah kami sebutkan.
Kesimpulan – Berdasarkan kepada perbahasan dan penerangan di atas, dapat kita simpulkan sepertimana berikut:
- Sesiapa yang memiliki perhiasan emas dan perak di lihat situasinya terlebih dahulu. Jika ia dijadikan sebagai simpanan maka hukumnya wajib mengeluarkan zakatnya. Alasan kepada hukum ini ialah kerana simpanan adalah bertujuan untuk pengembangan harta yang kedudukannya sama seperti emas dan perak bukan perhiasan seperti jongkong dan wang.
- Jika ia digunakan untuk manfaat peribadi, maka perlu dilihat apakah hukum bentuk penggunaan tersebut; jika penggunaannya diharamkan seperti bejana, karya seni dan patung emas dan perak, serta rantai, gelang atau cincin emas dan yang seumpamanya bagi lelaki, maka ia dikenakan zakat. Hal ini kerana ia telah terpesong daripada penggunaan asal kepada penggunaan yang tidak dibenarkan, maka gugurlah pengecualian dan kekallah hukum asal (wajib zakat).
- Antara bentuk penggunaan yang diharamkan ialah pemilikan barang perhiasan dengan kadar yang jelas berlebihan bagi wanita. Indikatornya ialah melebihi kebiasaan dengan merujuk kepada persekitarannya, zamannya dan kekayaan masyarakat sekelilingnya.
- Sekiranya barang perhiasan itu dimiliki dengan tujuan penggunaan yang dibenarkan seperti perhiasan bagi wanita (dengan kadar yang tidak berlebihan), dan cincin perak bagi lelaki, maka ia tidak dikenakan zakat kerana ia merupakan harta yang tidak berkembang dan kerana ia sebahagian daripada keperluan dan perhiasan manusia seperti pakaian, perabot dan aksesori yang disediakan untuk penggunaan yang dibenarkan. Maka tidak dikenakan zakat padanya seperti haiwan-haiwan yang dipelihara untuk bekerja.
- Ketetapan ini tidak membezakan barang perhiasan yang dibenarkan tersebut sama ada ia milik wanita yang dipakainya atau dipinjamkannya kepada yang lain, ataupun perhiasan tersebut dimiliki lelaki dan dia memperhias ahli keluarganya dengannya, meminjamkannya atau menyediakannya untuk tujuan tersebut.
- Barang perhiasan, bekas dan karya seni yang diwajibkan zakat hendaklah ditunaikan seperti zakat emas dan perak, iaitu dengan mengeluarkan 2.5% setiap kali cukup haul. Ia boleh dibayar berasingan atau bersama harta-hartanya yang lain, jika ia mempunyainya.
- Kewajipan tersebut beserta syarat, iaitu mencukupi nisab secara tersendiri atau bersama dengan hartanya yang lain, iaitulah 85g emas. Kadar yang diambil kira di sini ialah nilai (85 gram emas) bukannya timbangannya kerana proses pembuatan dan pembentukannya memberi kesan dalam meningkatkan nilainya. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 1/279 – 282)
Walaupun begitu, sebahagian negeri yang lain menganggap bahawa pemakaian lebih daripada 85 gram dengan kadar yang ditetapkan. Kami berpendapat, isu seperti ini lebih kepada ijtihad dan kefahaman berkenaan dengan maksud yang perlu dibayar zakat. Semoga Allah merahmati semua ulama’ sekalipun berselisih pandangan mereka.
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”