#7414: Ucapan ‘Tuhanku Mengadabkanku

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu dengar ulama’ menyebut: Tuhanku mengadabku dan Dia sebaik-baik yang mengadabkannya. Adakah itu hadis Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Surah al-Ahzab (21)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420).

Begitu juga Ibn Kathir menyatakan bahawa ayat yang mulia ini adalah asas yang agung berkaitan mencontohi Rasulullah SAW dalam pelbagai aspek sama ada ucapan, perbuatan mahupun perilakunya. Allah memerintahkan umat manusia meneladani Nabi SAW pada hari Ahzab dalam sifat kesabaran, thabat, keberanian, perjuangan, begitu juga sabar menanti pertolongan dari Rabbnya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/391).

Manakala al-Maraghi pula berkata: “Rasulullah SAW memiliki contoh dan teladan yang tinggi yang berada di hadapan kamu untuk kamu ikuti. Oleh itu, hendaklah kamu mencontohi setiap amal perbuatan Rasulullah SAW, dengan mengikut petunjuk yang diberikannya, jika kamu mahukan pahala daripada Allah SWT serta takutkan azabnya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 21/146).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu lafaz hadith tersebut: Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَدَّبَنِي رَبِّي فَأَحْسَنَ تَأْدِيبِي

Maksudnya:  ““Tuhanku telah mendidikku, maka Dia memperelokkan didikanku.”

Berkenaan hadith di atas, ia diriwayatkan dalam beberapa riwayat yang disebut oleh al-Askari dalam kitabnya al-Amthal, oleh al-Saraqusti dalam kitabnya al-Dala’il, oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir, oleh Ibn al-Sam‘ani dalam Adab al-Imla’, dan oleh Abu Nu‘aim al-Asfahani dalam Tarikh Asbahan.

Daripada himpunan riwayat ini, antara yang diriwayatkan adalah bahawa Umar bin al-Khattab R.A berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَالَكَ أَفْصَحُنَا وَلَمْ تَخْرُجْ مِنْ بَيْنِ أَظْهُرِنَا؟ قَالَ: «كَانَتْ لُغَةُ إِسْمَاعِيلَ قَدْ دَرَسَتْ، خَفِيَتْ آثارها ـ فحفَّظنيها جبريل، فَلِذَا كُنْتُ أَفْصَح الْعَرَب

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kamu lebih fasih daripada kami sedangkan kamu dibesarkan di kalangan kami?” Baginda menjawab: “Bahasa Ismail telah pudar – kesan-kesannya menjadi samar – lalu Jibril mengajarkannya kepadaku, sebab itulah aku menjadi orang yang paling fasih dalam kalangan bangsa Arab.”

Dan Ali bin Abi Talib R.A berkata kepada Baginda:

يَا نَبي الله نَحْنُ بَنُو أَبٍ وَاحدٍ، وَنَشَأنَا فِي بَلدٍ وَاحِدٍ، وَإنَّكَ لَتُكَلِّمُ الْعَرَبَ بِلِسَانٍ مَا نَفْهَمُ أَكْثَرَهُ، فَقَالَ: إِنَّ الله – عز وجل – أَدَّبَنِي فَأَحْسَنَ أَدَبِي، وَنَشَأتُ فِي بَنِي سَعْدِ بْنِ بَكْرٍ

Maksudnya: “Wahai Nabi Allah, kita berasal daripada satu bapa dan dibesarkan di satu tempat yang sama, namun engkau berbicara dengan bahasa Arab yang sebahagian besarnya tidak kami fahami.” Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah, ‘azza wa jalla, telah mendidikku, maka Dia memperelokkan pendidikanku.” Aku dibesarkan dalam kalangan Bani Sa‘d bin Bakr.”

Dan Abu Bakar R.A pernah bertanya hal yang sama, dan Baginda menjawab dengan jawapan yang serupa.

Riwayat-riwayat ini menunjukkan bahawa didikan Allah kepada Nabi-Nya adalah didikan yang menyeluruh, meliputi akhlak dan bahasa, dan ini merupakan kebenaran yang tidak diragukan. Huraian tentang hal ini panjang, dan terdapat kitab-kitab khusus yang mengupasnya. Namun, meskipun makna hadith ini benar, ia dalam bentuk sebegini tidak diriwayatkan secara sahih daripada Nabi SAW menurut kebanyakan ulama hadith.

Riwayat Abu Nu‘aim daripada Umar sanadnya lemah, riwayat al-Askari daripada Ali sanadnya sangat lemah seperti yang disebut oleh al-Sakhawi, dan riwayat al-Saraqusti daripada Abu Bakar sanadnya sangat lemah.

Al-Munawi dalam Faidh al-Qadir – syarahnya terhadap al-Jami‘ al-Saghir oleh al-Suyuti – menyatakan bahawa Ibn Hajar menghukumnya sebagai gharib dalam beberapa fatwanya. Ibn Taymiyyah berkata: “Tidak diketahui baginya sanad yang thabit.” Kesemuanya dijelaskan oleh al-Qastallani dalam al-Mawahib al-Ladunniyyah dan syarahnya oleh al-Zarqani ketika membincangkan kefasihan Nabi SAW.

Jadi, makna hadith ini benar, tetapi sanadnya lemah, walaupun disahkan oleh Abu al-Fadl Ibn Nasir. Perlu kita sedari perbezaan antara kebenaran sesuatu makna itu sendiri dan kesahihan nisbahnya kepada Nabi SAW.

Kita beriman bahawa Allah telah mendidik Baginda dengan sebaik-baik didikan, tetapi kita tidak yakin (لا نَثِقُ) bahawa kata-kata ini datang daripada Baginda. Baginda telah memberi amaran kepada kita agar tidak menyandarkan sesuatu kepadanya, sama ada kata-kata, perbuatan, atau sifat, dengan bersabda:

مَن كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Sesiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya di neraka.”

Riwayat al-Bukhari (6197) dan Muslim (2134) secara ringkas.

Larangan berbohong ke atas Baginda adalah sama, sama ada dengan niat baik atau sebaliknya.[1]

Justeru, berdasarkan kenyataan di atas, jelas bahawa status hadith ini diperselisihkan. Secara ringkasnya, pandangan ulama’ adalah seperti berikut:

  • Ibn Taimiyyah telah berkata: Maknanya adalah sahih, namun tidak diketahui sanad yang thabit
  • Ibn al-Jauzi telah berkata: Tidak sahih.
  • Abu al-Fadhl bin Nasir pula menghukumnya sahih.
  • Al-Albani dalam al-Silsilah al-Dha’ifah (82) menyatakannya sebagai dha’if

Inilah pendapat sebahagian ulama’ berkenaan kenyataan tersebut. Semoga Allah sentiasa memberi cahaya dan sinar hidayah kepada kita sehingga menzahirkan kebenaran itu sebagai kebenaran. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

[1] Islam Online. (n.d.). حديث “أدبني ربي”. Diakses pada 4 November 2024, daripada https://islamonline.net/%D8%AD%D8%AF%D9%8A%D8%AB-%D8%A3%D8%AF%D8%A8%D9%86%D9%8A-%D8%B1%D8%A8%D9%8A/