Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, sejauh manakah perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar dalam Islam? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya: “Telah nyata kerosakan dan malapetaka di daratan dan lautan disebabkan apa yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia kerana Allah hendak mereka dapat merasai sebahagian daripada apa yang telah mereka lakukan supaya mereka kembali insaf.”
(Surah al-Rum: 41)
Ibn Juzai menyatakan bahawa: Maka zahirnya kerosakan di darat adalah dengan kemarau, huru-hara, dan hal-hal seumpamanya; dan zahirnya kerosakan di laut dengan tenggelamnya kapal-kapal, berkurangnya hasil tangkapan ikan, kemerosotan perdagangan, serta hal-hal seumpamanya. Semua itu disebabkan oleh perbuatan manusia yang terdiri daripada kekufuran dan kederhakaan mereka. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/134)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa islam amat memberikan perhatian terhadap penjagaan alam sekitar dengan menetapkan pelbagai peraturan dan undang-undang yang memastikan keselamatan, keseimbangan, dan kestabilannya serta melindungi semua elemen alam, termasuk air, udara, tanah, haiwan, tumbuhan, dan sebagainya. Islam menggalakkan umatnya untuk memakmurkan dan memperbaiki bumi dengan menjaga sumber-sumber ini serta memastikan kelestarian alam sekitar. Ajaran ini menunjukkan bahawa setiap unsur alam mempunyai nilai tersendiri yang perlu dihormati dan dipelihara demi kebaikan seluruh makhluk serta kesejahteraan generasi yang akan datang. Allah SWT berfirman:
هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا
Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.”
(Surah Hud:61)
Ayat ini juga menunjukkan bahawa, Allah SWT memerintahkan manusia untuk memakmurkan bumi, yang bermaksud menjaga, memanfaatkan, dan mengurus sumber-sumber alam dengan bijaksana. Tugas ini meliputi tanggungjawab untuk menjaga kelestarian alam serta dan mencegah kerosakan.
Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Dia telah menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi ini dan menganugerahkan kepada kamu pelbagai nikmat yang zahir dan batin, serta memberikan kamu kekuasaan di bumi; kamu boleh membina, menanam, bercucuk tanam, dan mengusahakan apa sahaja yang kamu kehendaki. Kamu dapat mengambil manfaat daripada segala kebaikan yang ada padanya serta memanfaatkan kemaslahatannya. Maka, sebagaimana tiada sekutu bagi-Nya dalam semua itu, janganlah kamu sekutukan Dia dalam ibadah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.384 )
Antara perlindungan dan penjagaan alam sekitar sebagaimana yang digariskan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah adalah sebagaimana berikut:[1]
Pertama: Perlindungan air
Air diberikan perhatian yang sangat tinggi dalam Islam. Al-Quran menyebutnya di banyak tempat, menunjukkan bahawa ia adalah asas kehidupan yang perlu dipelihara. Air adalah sumber bagi setiap makhluk hidup, dan tanpanya, tiada kehidupan bagi manusia, haiwan, atau tumbuhan. Allah berfirman:
وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”
(Surah al-Anbiya’: 30)
Al-Baghawi menyatakan: “Kami telah menghidupkan segala sesuatu yang hidup dengan air yang turun dari langit, iaitu dari makhluk hidup, dan termasuk di dalamnya tumbuhan dan pokok-pokok. Ini bermakna bahawa air itu menjadi sebab bagi kehidupan segala sesuatu. Para pentafsir mengatakan: Ini bermakna bahawa setiap makhluk yang hidup itu diciptakan daripada air.” (Lihat Ma ‘alim al-Tanzil, 5/316 )
Kerana kepentingan ini, Islam menggesa umatnya untuk menjaga air, dan melarang pembaziran dalam penggunaannya, walaupun untuk ibadah seperti wuduk atau mandi. Islam juga melarang pencemaran air, kerana apabila air tercemar, ia boleh menyebabkan mudarat kepada manusia dan haiwan, seperti penularan penyakit dan wabak, selain kesan buruk terhadap ekonomi, seperti memberi kesan kepada sumber ikan, dan lain-lain. Rasulullah SAW bersabda:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.”
Riwayat Ibn Majah (2341)
Kedua: Perlindungan udara
Islam menganggap bahawa menjaga udara agar kekal bersih adalah sebahagian yang tidak terpisah daripada usaha menjaga kehidupan itu sendiri, yang merupakan salah satu matlamat utama dalam syariah. Udara adalah unsur yang sama pentingnya dengan air, kerana ia tidak boleh diabaikan dan diperlukan oleh semua makhluk hidup, sama ada manusia, haiwan, atau tumbuhan. Oleh itu, Islam menggalakkan penanaman dan penghijauan bumi serta melarang penebangan pokok tanpa keperluan, kerana peranannya dalam menyeimbangkan gas-gas di atmosfera. Yang demikian sebagaimana yang diriwayat daripada Anas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ما مِن مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا، أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا، فَيَأْكُلُ منه طَيْرٌ أَوْ إِنْسانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ؛ إِلّا كانَ له به صَدَقَةٌ.
Maksudnya: “Maksudnya: “Tiada seorang Muslim yang menanam pokok atau menghidupkan tanah dengan tanaman, lalu burung, manusia atau binatang makan daripada hasil tanamannya, melainkan ia dikira sebagai sedekah.”
Riwayat al-Bukhari (2320) dan Muslim (1553)
Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa: “Dalam hadith, terdapat keutamaan menanam pokok dan tanaman serta dorongan untuk memakmurkan bumi.” (Lihat Fath al-Bari, 5/4)
Yang demikian kerana menanam pokok dan tanaman mempunyai kepentingan besar terhadap kualiti udara. Pokok dan tumbuhan menyerap karbon dioksida dan melepaskan oksigen, membantu menyeimbangkan gas dalam atmosfera. Ini bukan sahaja membersihkan udara, tetapi juga mengurangkan kesan rumah hijau dan pencemaran udara. Selain itu, tumbuhan membantu mengawal suhu, memberikan teduhan, dan menyokong ekosistem dengan menyediakan habitat untuk pelbagai jenis hidupan. Oleh itu, menanam pokok dan tanaman adalah salah satu usaha penting untuk memelihara kualiti udara dan keseimbangan alam sekitar.
Ketiga: Perlindungan bumi
Islam menekankan kepentingan menjaga bumi, memulihkannya, dan melarang perbuatan merosakkannya. Ia disebutkan di banyak tempat dalam Al-Quran antaranya ialah Allah SWT berfirman:
وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya”
(Surah al- ‘Araf:56)
Allah Ta‘ala melarang perbuatan merosakkan bumi setelah ia diislahkan! Sesungguhnya apabila segala urusan berjalan dengan baik, lalu berlakulah kerosakan selepas itu, ia akan menjadi lebih mudarat bagi hamba-hamba Allah. Maka Allah Ta‘ala melarang perbuatan tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/429)
Antara cara Islam memelihara bumi adalah dengan melarang membuang sampah dan kotoran di jalan-jalan dan tempat orang ramai duduk. Ini kerana ia bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malah ia boleh menyakiti orang yang melalui jalan tersebut dan boleh mendatangkan mudarat kepada mereka.
Justeru, jelas kepada kita bahawa menjaga dan melindungi komponen alam sekitar adalah suatu tuntutan syar‘i yang diserukan oleh Islam. Ini ditekankan dalam perundangan dan hukum-hukumnya bagi menjamin keselamatan, keseimbangan, dan kestabilan alam serta pemeliharaan semua unsur kehidupan di dalamnya. Islam mengajarkan bahawa manusia bertanggungjawab sebagai khalifah di bumi, yang bermaksud kita harus menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang dan memastikan kelestariannya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahaua‘lam
Nota hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/20178/%D8%A8%D8%B9% Diakses pada 4 November 2024