#7416: Mengapa Kitab-Kitab Suci Sebelumnya Tidak Dipelihara Sebagaimana al-Quran?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Mengapakah kitab-kitab suci sebelumnya tidak dipelihara sedangkan ia juga berasal dari sumber Ilahi yang sama yang menjamin pemeliharaan nas al-Quran? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa sesungguhnya hikmah Allah menetapkan hal ini, kerana Dia adalah pencipta yang Maha Mengetahui akan keadaan hamba-hamba-Nya, apa yang memberi manfaat kepada mereka, dan apa yang lebih baik untuk mereka:

لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ

Maksudnya: “Dia tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.”

(Surah al-Anbiya’: 23)

Al-Nasafi menjelaskan, Allah SWT tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan kerana Dia adalah Pemilik yang sebenar (hakiki). Sekiranya seorang hamba mengkritik sultannya, itu mungkin terjadi kerana adanya persamaan antara keduanya, kemungkinan berlakunya kesilapan pada pihak sultan, dan ketiadaan pemilikan yang hakiki. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 2/399).

Bahkan, keunggulan nas al-Quran itu sendiri ada kaitannya dari segi hubungannya dengan pemeliharaan Ilahi yang tidak diberikan kepada kitab-kitab sebelumnya. Firman Allah SWT:

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ ۖ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ

Maksudnya: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran.

(Surah al-Ma’idah: 48)

Ayat yang menyatakan keunggulan ini telah merangkumkan semua petunjuk dan bukti yang menunjukkan keagungan al-Quran, kehebatannya, dan hujahnya. Dari sudut keunggulan ini juga, al-Quran memiliki ciri-ciri utama seperti sumber rujukan, sifat sejagat, kemasyarakatan, penguasaan, serta keabadian. Oleh itu, al-Quran menjadi kitab yang mengatasi dan mendominasi kitab-kitab samawi lain selama-lamanya. Maka, adalah jelas bahawa Allah menjadikan nas al-Quran sebagai kitab penutup yang tidak boleh disentuh oleh manusia dengan pengubahan atau penyelewengan. Untuk itu, Allah telah menjamin pemeliharaannya dan mempersiapkan umat dengan petunjuk-Nya agar dapat mengikuti jalan-jalan pemeliharaan dengan izin dan bimbingan-Nya.

Ini memestikan bahawa kitab yang unggul ini mesti bebas dari sebarang penyelewengan, kerana jika ia mengalami penyelewengan, maka ia akan kehilangan keunggulannya terhadap kitab-kitab samawi yang lain dan juga kehilangan penguasaannya terhadap manusia. Akhirnya, ia akan kehilangan sifat rujukan dan kedaulatannya walaupun penyelewengan tersebut terjadi secara umum. Oleh sebab itu, Allah menegaskan pemeliharaan al-Quran daripada sebarang penambahan, pengurangan, penyelewengan, dan perubahan, dan menjamin pemeliharaannya hingga akhir zaman sebagaimana ia sekarang. Umat ini akan menyampaikannya dan menghafalnya generasi demi generasi hingga hari kiamat. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman-Nya:

لَّا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ ۖ تَنزِيلٌ مِّنْ حَكِيمٍ حَمِيدٍ

Maksudnya: “Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.

(Surah Fussilat: 42)

Al-Nasafi ketika mensyarahkan ayat di atas menjelaskan, maksudnya adalah tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan sama ada pengubahan atau percanggahan, dalam apa jua bentuk. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 3/239).

Selain daripada itu, terdapat juga beberapa sebab lain yang berkemungkinan menjadi asbab kepada pemeliharaan kitab suci al-Quran berbanding kitab-kitab samawi yang lain. Di antaranya:

Pertama: Risalah yang bersifat universal

Kitab Taurat dan Injil atau Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru diturunkan kepada kaum tertentu, iaitu Bani Israel, dan mengandungi perintah-perintah yang berbentuk hukum dan nilai-nilai. Namun, risalah Nabi Muhammad SAW adalah “risalah yang universal” dan tidak khusus hanya untuk satu kaum sahaja. Oleh itu, adalah perlu untuk memelihara nas Ilahi yang membawa risalah terakhir untuk seluruh umat manusia ini. Oleh kerana al-Quran adalah kitab mukjizat untuk seluruh umat manusia dan syariatnya bersifat universal, maka ini mewajibkan bahawa mukjizatnya kekal dan dapat diterima secara rasional. Tanpa ini, al-Quran akan kehilangan keabsahan mukjizatnya. Oleh itu, ia perlu dipelihara daripada penyelewengan untuk mengekalkan mukjizatnya.

Malik bin Nabi telah menunjukkan satu pandangan yang bernilai dalam kitabnya al-Zahirah al-Qur’aniyyah (hlm. 211) di mana beliau mengatakan: “Namun, al-Quran ini tidak bergantung kepada perkara-perkara luar biasa kerana ia ditujukan kepada seluruh umat manusia. Oleh itu, mukjizatnya berupa sebuah kitab yang kekal dan menjalankan peranannya dalam merawat jiwa manusia. Ia memindahkan mukjizatnya dari aspek luar biasa alam kepada pendekatan yang menangani sifat manusia yang kekal. Maka, al-Quran ini perlu memberikan kesan pada sifat manusia tersebut untuk mempersiapkannya bagi keimanan. Di sinilah terdapat dua unsur dalam al-Quran: unsur yang berkaitan dengan nas dan unsur yang berkaitan dengan penyampaian. Sekiranya al-Quran diturunkan sekali gus, ia akan segera berubah menjadi sebuah kata-kata suci yang kaku, sebuah idea yang mati, dan sekadar dokumen agama semata-mata, bukan sebagai sumber yang menghidupkan peradaban yang baru lahir.”

Malah, al-Quran akan menghadapi kematian jika ia diturunkan secara sekali gus sebagaimana kitab-kitab terdahulu, dan bukannya secara beransur-ansur mengikut kejadian atau peristiwa bagi menangani isu-isu yang timbul dan berinteraksi dengan masyarakat atau penerima bagi menjelaskan kehendak Ilahi. Oleh itu, kitab-kitab terdahulu berubah menjadi kata-kata suci yang mati dan tidak memperoleh pemeliharaan yang layak dengannya seiring berlalunya waktu, kerana hilangnya keajaiban yang dihasilkan oleh turunnya sekali gus.

Kedua: Kitab yang mengandungi mukjizat

Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya tidak mengandungi tanda mukjizat dalam dirinya untuk membuktikan kebenaran nabi yang diutus, kerana mukjizat para nabi terdahulu adalah bersifat fizikal yang dapat disaksikan oleh mata. Berbeza dengan nas al-Quran, ia sendiri merupakan mukjizat yang kekal dan satu-satunya mukjizat aqliyyah yang tiada tandingannya. Ditambah lagi, mukjizat aqliyyah ini adalah tidak terbatas pada zaman atau tempat. Manakala kitab-kitab lain tidak mempunyai sifat ini. Walaupun al-Quran mengakui kitab-kitab samawi terdahulu, dan menghormati isi kandungannya kerana ia juga berasal dari langit, namun kitab-kitab itu tidak dianggap sebagai mukjizat atau dilihat sebagai demikian.

Firman Allah SWT:

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.’

(Surah al-Isra’: 88)

Ayat ini menunjukkan bahawa al-Quran adalah mukjizat yang unik dan tiada tandingannya, menandakan kehebatannya yang tidak mampu ditiru oleh mana-mana pihak. Ini kerana meskipun manusia dan jin berkumpul untuk mendatangkan seumpama al-Quran ini dari segi kefasihan dan balaghahnya, mereka tidak akan dapat mendatangkan seumpamanya walaupun mereka saling bantu-membantu. (Lihat Tafsir al-Jalalain,hlm. 376).

Ketiga: Penyelewengan Bani Israel terhadap Taurat

Sejarah Bani Israel penuh dengan krisis dan masalah, yang menunjukkan bahawa mereka tidak memberi perhatian atau mungkin tidak berpeluang untuk memelihara apa yang diturunkan kepada mereka. Hanya sebilangan kecil para rahib yang cuba mengumpul apa yang diamanahkan kepada mereka, daripada apa yang diturunkan kepada Nabi Musa A.S selepas jangka masa yang panjang atau ketika mereka diminta berbuat demikian ketika turunnya wahyu tersebut. Allah SWT telah menceritakan tentang mereka menerusi firman-Nya:

إِنَّا أَنزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ ۚ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِن كِتَابِ اللَّهِ وَكَانُوا عَلَيْهِ شُهَدَاءَ ۚ فَلَا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا ۚ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.”

(Surah al-Ma’idah: 44)

Namun, mereka tidak memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Al-Syanqiti dalam kitabnya Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Qur’an bi al-Qur’an (6/133) menjelaskan bahawa Allah telah mentaklifkan para pendeta dan rahib untuk memelihara kitab-Nya, tetapi mereka tidak menjaga apa yang diamanahkan kepada mereka. Bahkan sebaliknya, mereka menyelewengkannya dan mengubahkannya secara sengaja.

Ibn ‘Asyur dalam kitabnya ada membawakan satu kisah yang menarik yang disebut oleh al-Qadhi Isma‘il bin Ishaq bin Hammad ialah apa yang diriwayatkan oleh ‘Iyadh dalam al-Madarik daripada Abu al-Hasan bin al-Muntab. Beliau berkata: “Pada suatu hari, aku berada di sisi Isma‘il, lalu beliau ditanya: ‘Mengapa pengubahan/penyelewengan dibolehkan berlaku kepada ahli Taurat, tetapi tidak dibolehkan kepada ahli al-Quran?’ Maka beliau menjawab: ‘Kerana Allah SWT berfirman mengenai ahli Taurat, ‘بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِن كِتَابِ اللَّهِ’ [sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu]. Maka Allah menyerahkan penjagaannya kepada mereka. Sedangkan mengenai al-Quran, Allah berfirman, ‘إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحافِظُونَ’ (Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya) (Surah al-Hijr: 9). Jadi, Allah SWT telah berjanji untuk memeliharanya, maka tidak dibenarkan berlakunya pengubahan/penyelewengan bagi ahli al-Quran.’ Beliau berkata: “Aku menceritakan hal tersebut kepada al-Muhamili, lalu beliau berkata: ‘Tiada kata-kata yang lebih baik daripada ini.’” (Lihat Tahrir wa al-Tanwir, 6/209).

Keempat: Sifat penerima kitab-kitab terdahulu

Di antara sebab yang perlu diambil kira dalam hal ini adalah bahawa penerima atau umat yang diturunkan kitab-kitab terdahulu kepada mereka tidak bersedia untuk memikul amanah dari langit, kerana adanya gangguan yang jelas dalam sikap mereka, atau seperti yang digambarkan oleh al-Razi dengan katanya:

كَانُوا فِي نِهَايَةِ الْجَهْلِ وَغَايَةِ الْخِلَافِ

Maksudnya: “Mereka berada pada tahap kejahilan yang amat sangat dan perselisihan yang sangat ketara.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 14/349)

Ini terlihat apabila kita mengetahui bahawa mereka adalah kaum yang menyaksikan laut terbelah dan berubah menjadi daratan, melihat tongkat berubah menjadi ular yang bergerak, menyaksikan gunung terangkat di atas mereka dengan cara yang menakjubkan yang melanggar kebiasaan, dan mereka mati lalu dihidupkan kembali oleh Allah, serta melihat mukjizat-mukjizat lain dengan mata kepala mereka. Mereka merasakan sebahagian daripada kesan mukjizat tersebut, dan sebelum semua itu, mereka melihat kebinasaan sang penindas yang telah menzalimi dan merendahkan mereka iaitu Firaun yang mengaku sebagai tuhan, menolak risalah dari langit, dan menghina kehormatan manusia, menjadikan mereka hamba kepada selain daripada Pencipta. Firman Allah SWT:

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتَوْا عَلَىٰ قَوْمٍ يَعْكُفُونَ عَلَىٰ أَصْنَامٍ لَّهُمْ ۚ قَالُوا يَا مُوسَى اجْعَل لَّنَا إِلَٰهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ ۚ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ

Maksudnya: “Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israel) berkata: ‘Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan.’ Nabi Musa menjawab: ‘Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.’

(Surah al-A‘raf: 138)

Justeru, kaum seperti ini tidak layak diamanahkan untuk menjaga kitab Ilahi yang Allah kurniakan kepada mereka, kerana mereka tidak menghargainya dengan nilai yang sewajarnya.

Kelima: Keterbatasan Lingkup Kitab-Kitab Terdahulu

Kitab-kitab samawi terdahulu mempunyai kesan yang terbatas pada zaman ia diturunkan. Maksudnya, sifat melangkaui masa dan tempat serta kemampuan untuk terus relevan dengan segala perubahan bukanlah ciri-ciri yang ada pada kitab-kitab samawi selain al-Quran. Kitab-kitab tersebut diturunkan untuk kaum tertentu pada waktu yang khusus. Ini termasuklah Suhuf Ibrahim, Zabur Daud, dan kitab-kitab samawi lain. Mengapa kitab-kitab ini dikhususkan? Itu adalah hikmah Ilahi yang lebih mengetahui ciptaan-Nya, kerana Dia Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Apabila al-Quran diturunkan sebagai kitab yang kekal, sebagai penutup bagi semua kitab terdahulu, dan sebagai kitab yang mengesahkan kitab-kitab samawi sebelumnya, maka kita memahami bahawa al-Quran adalah teks yang dimaksudkan untuk kekal, bukan hanya terbatas pada masa-masa tertentu. Sebaliknya ia boleh difahami dan ditafsirkan semula pada setiap masa, sesuai dengan persoalan dan cabaran yang muncul dalam setiap zaman dan tempat.

Keenam: Penutup Kenabian

Salah satu sebab yang paling penting dan paling utama adalah kerana kitab al-Quran merupakan kitab yang diturunkan ke atas penutup segala kenabian iaitu Nabi Muhammad SAW, yang salah satu implikasinya adalah penutupan kitab samawi yang diturunkan. Sama ada Allah memelihara kitab-Nya yang dipilih sebagai kitab yang kekal untuk umat manusia, atau jika tidak, akan ada keperluan mendesak untuk seorang nabi baharu yang akan datang dengan kitab lain atau memperbaiki kitab yang sebelumnya untuk menegakkan hujah kepada makhluk. Firman Allah SWT:

مَّنِ اهْتَدَىٰ فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۗ وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا

Maksudnya: “Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

(Surah al-Isra’: 15)

Penutup kenabian berkait rapat dengan sunnah Ilahi yang bersifat semula jadi, iaitu sunnah “berperingkat.” Jika kita menganggap bahawa umat manusia telah melalui proses berperingkat, mereka telah melalui peringkat “kanak-kanak,” kemudian “remaja” pada zaman Bani Israel, dan akhirnya umat manusia memasuki peringkat “dewasa” dan kematangan dalam pengetahuan dan psikologi, untuk bersedia menerima kalimat Allah yang kekal untuk umat manusia dan dipertanggungjawabkan ke atasnya.

Tambahan lagi, konsep “penutupan kenabian” juga menunjukkan bahawa umat manusia telah mencapai tahap kedewasaan dan tidak lagi memerlukan nabi-nabi untuk memimpin mereka seperti Bani Israel. Mereka sudah cukup dengan kenabian Muhammad dan al-Quran yang agung. Firman Allah SWT:

أَوَلَمْ يَكْفِهِمْ أَنَّا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَرَحْمَةً وَذِكْرَىٰ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “(Patutkah mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.”

(Surah al-‘Ankabut: 51)

Oleh yang demikian, inilah sedikit sebanyak jawapan yang dapat kami kemukakan berkenaan kemungkinan hikmah pemeliharaan kitab suci al-Quran berbanding kitab-kitab samawi lain, dan sudah pasti ada hikmah lain serta pelbagai sebab yang diketahui oleh mereka yang tahu dan diabaikan oleh mereka yang tidak tahu. Namun, apa yang pastinya, al-Quran terus terpelihara kepada kita sehingga hari ini adalah kerana janji Allah SWT itu sendiri, sebagaimana firman-Nya:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

(Surah Hijr: 9)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini menyatakan, al-Zikr ialah al-Quran. Menurut beliau lagi, maksudnya adalah Allah SWT memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun daripada sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat  Jami‘ al-Bayan, 17/68).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”