Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah kita digalakkan berdoa secara panjang atau secara ringkas sahaja? Mohon pencerahan
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT :
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya : “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
(Surah al-Ghafir: 60)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)
Syeikh al-Sa’di menyatakan : Ini adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, dan kurniaan-Nya yang agung di mana ALLah SWT menyeru hambaNYA kepada apa yang dapat memberi manfaat bagi agama dan dunia mereka, serta memerintahkan mereka untuk berdoa kepadaNYA baik doa tersebut adalah doa untuk beribadah mahupun doa permohonan dan Dia menjanjikan untuk mengabulkan doa mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, Hlm.740)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan : Ini adalah dari anugerah-Nya yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Dengan kemurahan-Nya Dia memanggil hamba-hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya dan Dia menjawab doa-doa mereka. Seperti yang dikatakan oleh Sufyan al-Thauri: orang yang paling dicintai-Nya oleh hamba-hamba-Nya adalah orang yang paling banyak memohon kepada-Nya, dan orang yang paling dibenci-Nya adalah orang yang tidak memohon kepada-Nya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/153)
Galakan Berdoa yang Padat dan Bermakna
Sesungguhnya Rasulullah SAW suka akan doa yang ringkas yang menyeluruh dan meninggalkan doa yang berlebihan sebagimana yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha. katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنْ الدُّعَاءِ وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ
Maksudnya: Rasulullah SAW suka memilih doa-doa yang ringkas tetapi penuh makna, dan meninggalkan selain daripada itu.
Riwayat Ahmad (27649) dan Abu Dawud (1482). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1842) menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih
Maksud “doa yang ringkas” ialah doa yang mencakupi kebaikan dunia dan akhirat, dengan ungkapan yang ringkas tetapi penuh makna, seperti dalam firman Allah SWT: رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ, dan juga doa meminta ‘afiah di dunia dan akhirat.
Syeikh Syams al-Haq menukilkan bahawa Ali al-Qari menyatakan bahawa “doa yang ringkas” adalah yang mencakupi tujuan-tujuan yang baik atau yang menggabungkan pujian kepada Allah SWT dengan adab yang sopan dalam permintaan. Beliau menukilkan lagi daripada al-Muzhir, katanya: Ia merupakan doa yang lafaznya sedikit tetapi maksudnya luas merangkumi urusan dunia dan akhirat. Ia seperti doa “Ya Allah, aku memohon kepada Mu kesejahteraan dalam urusan agama, dunia, dan akhirat. Begitu jua doa “Ya Allah aku memohon kepada Mu hidayah, ketaqwaan, pemeliharaan daripada maksiat, dan rasa cukup” dan permintaan-permintaan lain untuk kejayaan. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud, 4/249).
Syeikh Abdul Muhsin ‘Abbad menyatakan Al-Jawami’ iaitu lafaz yang ringkas yang luas maknanya. Inilah ia Jawami’ al-Kalim. Begitulah doa-doa Rasulullah SAW, dan begitulah doa-doa dalam al-Quran. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 8/197)
Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata: Baginda suka kepada doa yang jawami’ (ringkas dan meliputi banyak perkara) dan meninggalkan doa yang lain bermaksud apabila baginda berdoa, baginda memilih doa-doa yang lafaznya merangkumi secara umum segala permintaan, dan meninggalkan perincian dalam doa. Hal ini kerana doa yang umum lebih menyeluruh dan mencakupi segala keperluan daripada perincian yang melampau. Contohnya, jika seseorang ingin memohon kepada Tuhannya agar dimasukkan ke dalam syurga, dia hanya perlu mengatakan, “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga,” tanpa perlu memperincikan, “di dalamnya ada ini dan itu,” kerana mungkin ada perkara yang tidak diketahuinya. Maka, doa yang umum adalah lebih menyeluruh dan indah. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 6/16)
Ibnu Sa’d bin Abi Waqqas meriwayatkan bahawa ayahnya mendengar beliau berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَنَعِيمَهَا وَبَهْجَتَهَا وَكَذَا وَكَذَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ النَّارِ وَسَلَاسِلِهَا وَأَغْلَالِهَا وَكَذَا وَكَذَا، فَقَالَ: يَا بُنَيَّ، إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: سَيَكُونُ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الدُّعَاءِ ؛ فَإِيَّاكَ أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ ؛ إِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَ الْجَنَّةَ أُعْطِيتَهَا وَمَا فِيهَا مِنْ الْخَيْرِ، وَإِنْ أُعِذْتَ مِنْ النَّارِ أُعِذْتَ مِنْهَا وَمَا فِيهَا مِنْ الشَّرِّ !!
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu syurga, kenikmatannya, kebahagiaannya, dan juga (segala kebaikan) yang lain, dan aku berlindung dengan-Mu daripada api neraka, rantai-rantainya, belenggu-belenggunya, dan juga (segala keburukan) yang lain.” Lalu beliau (ayahnya) berkata: “Wahai anakku, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Akan ada suatu kaum yang melampaui batas dalam berdoa, maka janganlah engkau menjadi salah seorang daripada mereka. Sesungguhnya jika engkau diberi syurga, engkau telah diberi segala kebaikan yang ada di dalamnya. Dan jika engkau dilindungi daripada neraka, engkau telah dilindungi daripada segala keburukan yang ada di dalamnya.”
Riwayat Ahmad (1486) dan Abu Dawud (1480). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan Sahih Abu Dawud (1480)
Antara doa yang diamalkan oleh Nabi SAW ialah baginda berdoa:
اللَّهُمَّ أَنْتَ الْأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الْآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنْ الْفَقْرِ
Maksudnya: “Ya Allah, Engkaulah Yang Pertama, tiada sesuatu pun sebelum-Mu; Engkaulah Yang Akhir, tiada sesuatu pun selepas-Mu; Engkaulah Yang Zahir, tiada sesuatu pun di atas-Mu; Engkaulah Yang Batin, tiada sesuatu pun di bawah-Mu. Lunaskanlah hutang kami dan kayakanlah kami dari kefakiran.”
Riwayat Muslim (2713)
Diriwayatkan juga daripada Saidina Ali R.A bahawa seorang hamba datang kepadanya mengadu bahawa beliau tidak mampu menyelesaikan hutangnya, lalu Ali berkata, “Mahukah aku ajarkan kamu beberapa kalimat yang diajarkan kepadaku oleh Rasulullah SAW, jika engkau mempunyai hutang sebesar Gunung Sair sekalipun, Allah pasti akan melunaskannya untukmu? Katakanlah:
اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezeki halal-Mu agar tidak mengharapkan yang haram, dan kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu agar tidak bergantung kepada selain-Mu.”
Riwayat al-Tirmizi (3563). Hadith ini dinilai hasan sebagaimana dalam Sahih al-Tirmizi
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kita dianjurkan untuk berdoa dengan ungkapan yang ringkas tetapi menyeluruh. Ini berdasarkan amalan Rasulullah SAW yang gemar memilih doa yang padat maknanya, meliputi kebaikan dunia dan akhirat, tanpa terlalu terperinci sebagaimana yang kami sebutkan di atas.
Doa yang ringkas ini diibaratkan sebagai “jawami’ al-kalim,” iaitu kata-kata yang singkat tetapi penuh dengan makna luas. Dengan cara ini, doa menjadi lebih indah, menyeluruh, dan beradab. Tambahan pula, doa yang ringkas ini menghindarkan kita daripada melampaui batas dalam berdoa, sebagaimana yang telah diingatkan oleh Rasulullah SAW.
Semoga penjelasan ini menjadi panduan bagi kita dalam menyusun doa yang lebih berkesan dan bermakna dalam kehidupan harian kita. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”