#7420: Bacaan Al-Quran Ketika Tawaf dan Sa’ie

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah boleh seseroang itu membaca al-qurqan ketika tawaf dan sa’ie?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Haj: 29)

Al-Syaukani menyatakan bahawa tawaf yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tawaf ifadhah. Kaabah disebut sebagai “الْعَتِيقِ” kerana Allah SWT telah membebaskannya daripada kekuasaan orang yang zalim. Terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya ialah mulia. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 437)

Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa‘i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang mengerjakan amalan kebajikan secara sukarela, maka ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Menghargai amalan hamba-Nya, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 158)

Imam al-Baghawi berkata, ayat ini diturunkan kerana Safa dan Marwah itu dahulunya terdapat dua berhala; Asaf dan Na’ilah. Dikatakan bahawa Asaf ini berada di Safa, manakala Na’ilah berada di Marwah. Orang Jahiliyyah dahulu tawaf di antara Safa dan Marwah bagi mengagungkan dua berhala tersebut sambil menyentuhnya. Apabila Islam datang, berhala-berhala tersebut dihapuskan kerana orang Islam kurang berkenan untuk melakukan sa‘i antara Safa dan Marwah. Lalu, Allah SWT mengizinkan umat Islam melakukan sa‘i dan mengkhabarkan kepada mereka bahawa Safa dan Marwah itu adalah syi‘ar-Nya. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/173)

Syi‘ar itu adalah sesuatu yang dijadikan sebagai simbolik penunaian salah satu rukun dari rukun-rukun haji dan umrah. Secara khususnya, syi‘ar ini merujuk kepada beberapa tempat yang dimuliakan seperti Kaabah, Maqam Ibrahim, Safa, Marwah, ‘Arafah, Muzdalifah, Mina dan juga tempat melontar jamrah. Apa yang dimaksudkan dengan Safa dan Marwah ini menjadi salah satu dari syi‘ar Allah SWT adalah, Allah menjadikan keduanya sebagai simbolik untuk tempat beribadah, dan ini secara jelas menyatakan bahawa sa‘i di antara keduanya itu adalah satu-satunya ibadah khusus yang ditetapkan padanya. Kedua-dua bukit ini pula disandarkan kepada Allah kerana ia menjadi tanda penyembahan terhadap-Nya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/61)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya:Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (960)

Al-Amir al-San‘ani menyatakan bahawa penyerupaan tawaf dengan solat adalah pada pahala dan syarat suci baginya. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa diharuskan bagi seseorang itu untuk berbicara dengan orang lain ketika menunaikan ibadah tawaf. Adapun perkataan berupa zikir-zikir ketika tawaf, maka hukumnya adalah sunat. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 7/183).

Para ulama berkata: Jika harus bercakap dengan makhluk ketika tawaf dan saie, maka min bab aula,membaca al-Quran dan kalamullah adalah lebih utama. Sejarah menunjukkan terdapat salafussoleh yang membaca al-Quran ketika tawaf dan ada yang khatam al-Quran.

Imam al-Syafi’i dalam al-Umm, dari jalan Ibn Juraij daripada Ata’, berpendapat makruh seseorang bercakap ketika tawaf kecuali sedikit sahaja, tetapi gantilah dengan zikrullah dan bacaan al-Quran. Kata Imam al-Syafi’i: “Telah sampai kepada kami bahawa Mujahid membaca al-Quran ketika tawaf.” Dan kata Imam al-Syafi’i: “Aku suka membaca al-Quran ketika tawaf kerana telah sampai kepada kami bahawa Rasulullah SAW pernah bercakap pada masa tawaf.” Kata Imam al-Syafi’i: “Zikir Allah ketika itu lebih baik daripada kita bercakap.”

Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Hajjaj, katanya: “Aku bertanya Ata’ tentang bacaan al-Quran ketika tawaf, lantas beliau berpendapat tidak mengapa.”

Diriwayatkan daripada Uthman bin Aswad, katanya: “Aku dapati ramai sahabat kami membaca al-Quran kepada Mujahid sebagai seorang guru ketika sedang tawaf.”

Dalam riwayat al-Fakihi, dalam Akhbar Makkah, daripada Uthman bin al-Aswad, katanya: “Mujahid selalu dibacakan kepadanya al-Quran semasa tawaf.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”