#7422: Perlukah Doa Secara Terperinci?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita berdoa secara spesifik? Sebab saya pernah dengar, kita digalakkan berdoa secara umum, tapi menyeluruh? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya : “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Syeikh al-Sa’di menyatakan : Ini adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, dan kurniaan-Nya yang agung  di mana ALLah SWT menyeru hambaNYA kepada apa yang dapat memberi manfaat bagi agama dan dunia mereka, serta memerintahkan mereka untuk berdoa kepadaNYA baik doa  tersebut adalah doa untuk beribadah mahupun doa permohonan dan Dia menjanjikan untuk mengabulkan doa mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, Hlm.740)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan : Ini adalah dari anugerah-Nya yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Dengan kemurahan-Nya Dia memanggil hamba-hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya dan Dia menjawab doa-doa mereka. Seperti yang dikatakan oleh Sufyan al-Thauri:  orang yang paling dicintai-Nya oleh hamba-hamba-Nya adalah orang yang paling banyak memohon kepada-Nya, dan orang yang paling dibenci-Nya adalah orang yang tidak memohon kepada-Nya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/153)

Berdoa Secara Spesifik atau Terperinci

Sesungguhnya Nabi SAW sering membaca satu doa yang sangat umum tetapi maksudnya tersangat luas. Merangkumi semua jenis kebaikan di dunia dan akhirat. Qatadah bertanya kepada Anas tentang doa apakah yang paling kerap Nabi SAW lakukan. Anas R.A menjawab: Baginda paling kerap berdoa dengan doa:

‏ اللَّهُمَّ آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ‏

Maksudnya: Ya Allah, berikan kepada kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat, dan selamatkan kami daripada azab neraka.

Qatadah berkata: Apabila Anas r.a mahu berdoa, dia akan berdoa dengan doa ini. Apabila dia mahu berdoa dengan doa lain, dia akan membaca jua doa ini.

Riwayat Muslim (2690)

Hal ini menunjukkan Rasulullah SAW suka akan doa yang ringkas yang menyeluruh dan meninggalkan doa yang berlebihan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha. katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنْ الدُّعَاءِ وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ

Maksudnya: Rasulullah SAW suka memilih doa-doa yang ringkas tetapi penuh makna, dan meninggalkan selain daripada itu.

Riwayat Ahmad (27649) dan Abu Dawud (1482). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1842) menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih

Maksud “doa yang ringkas” ialah doa yang mencakupi kebaikan dunia dan akhirat, dengan ungkapan yang ringkas tetapi penuh makna, seperti dalam firman Allah SWT: رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ, dan juga doa meminta ‘afiah di dunia dan akhirat.

Syeikh Syams al-Haq menukilkan bahawa Ali al-Qari menyatakan bahawa “doa yang ringkas” adalah yang mencakupi tujuan-tujuan yang baik atau yang menggabungkan pujian kepada Allah SWT dengan adab yang sopan dalam permintaan. Beliau menukilkan lagi daripada al-Muzhir, katanya: Ia merupakan doa yang lafaznya sedikit tetapi maksudnya luas merangkumi urusan dunia dan akhirat. Ia seperti doa “Ya Allah, aku memohon kepada Mu kesejahteraan dalam urusan agama, dunia, dan akhirat. Begitu jua doa “Ya Allah aku memohon kepada Mu hidayah, ketaqwaan, pemeliharaan daripada maksiat, dan rasa cukup” dan permintaan-permintaan lain untuk kejayaan. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud, 4/249).

Syeikh Abdul Muhsin ‘Abbad menyatakan Al-Jawami’ iaitu lafaz yang ringkas yang luas maknanya. Inilah ia Jawami’ al-Kalim. Begitulah doa-doa Rasulullah SAW, dan begitulah doa-doa dalam al-Quran. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 8/197)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata: Baginda suka kepada doa yang jawami’ (ringkas dan meliputi banyak perkara) dan meninggalkan doa yang lain bermaksud apabila baginda berdoa, baginda memilih doa-doa yang lafaznya merangkumi secara umum segala permintaan, dan meninggalkan perincian dalam doa. Hal ini kerana doa yang umum lebih menyeluruh dan mencakupi segala keperluan daripada perincian yang melampau. Contohnya, jika seseorang ingin memohon kepada Tuhannya agar dimasukkan ke dalam syurga, dia hanya perlu mengatakan, “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga,” tanpa perlu memperincikan, “di dalamnya ada ini dan itu,” kerana mungkin ada perkara yang tidak diketahuinya. Maka, doa yang umum adalah lebih menyeluruh dan indah. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 6/16)

Namun begitu, menjawab persoalan di atas, kita dibolehkan berdoa secara spesifik atau secara terperinci selagi mana ia tidak melampau. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا ” ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ ، قَالَ: اللَّهُ أَكْثَرُ .

Maksudnya: Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara berikut: Akan disegerakan doanya itu, ditangguhkan ke hari Akhirat, atau dijauhkan keburukan semisalnya daripada orang yang berdoa. Para sahabat bertanya: Oleh kerana itu, kami perlu banyak berdoa? Baginda menjawab: Allah, pemberian-Nya lebih banyak.

Riwayat Ahmad (10921) Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad menyatakan bahawa Isnadnya jayyid.

Imam Al-Munawi menukilkan perkataan Imam Al-Munziri: Nabi SAW adakalanya berdoa secara umum, dan adakalanya memperincikannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/277)

Dr. Ahmad Al-Hajji Al-Kurdi pernah ditanya: Bolehkah berdoa agar dikabulkan pada waktu tertentu misalnya berdoa agar dapat tunaikan haji pada tahun hadapan, atau berkahwin pada tarikh sekian sekian? Boleh menyebutkan agar disegerakan dan tidak ditangguhkan dalam setiap doa? Beliau menjawab: Tiada masalah melakukan hal itu. Akan tetapi lebih baik jika menambah: “Jika hal itu baik..”. Allah yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Hendaklah manusia berdoa kemudian redha dengan apa yang Allah pilih dan kehendaki.[1]

Syeikh Sulaiman bin Abdul Majid ditanya: Apakah hukum memperincikan dalam dengan berkata: Ya Allah, kurniakan aku sejuta riyal.. Beliau menjawab: Tiada masalah untuk seseorang itu berdoa kepada Allah dengan sesuatu daripada urusan dunia dengan memperincikan hajat yang dia kehendaki. Ia tidak dikira sebagai melampau-lampau dalam berdoa, namun yang lebih afdhal, dalam urusan yang tidak diketahui menurut syara’ atau pengalaman bahawa ia baik (atau buruk), maka dikembalikan pilihan itu kepada Allah. Manusia tidak tahu apakah yang lebih elok untuk dirinya. Oleh itu, dia menyebut: “Ya Allah, jika jawatan ini baik untuk aku, mudahkanlah ia untukku, jika tidak, palingkanlah ia daripada aku dan mudahkan untuk ku apa yang lebih baik..” dan seumpamanya[2]

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa berdoa secara terperinci dibenarkan dan diharuskan selagi mana ia tidak melampaui batas atau mengandungi perkara yang melampau dan tidak sesuai, seperti doa untuk melakukan dosa atau permintaan yang memutuskan silaturahim atau yang seumpama dengannya. Doa boleh dilakukan secara terperinci jika ia melibatkan perkara-perkara duniawi tertentu, dan dalam situasi ini lebih baik jika seseorang menambah ungkapan seperti “Jika perkara ini baik untukku.” Hal ini mengembalikan ketentuan kepada Allah, yang Maha Mengetahui kebaikan dan keburukan untuk hamba-Nya.

Selain itu, Nabi SAW sangat menyukai doa yang ringkas tetapi mempunyai makna yang meluas dan mengelakkan perincian yang tidak perlu. Ini menunjukkan bahawa doa umum lebih baik kerana dapat mencakupi segala keperluan tanpa terlalu mendalam dalam setiap permintaan. Dalam beberapa riwayat lain, baginda juga kadang-kadang menyebut bahawa doa yang terlalu terperinci dalam aspek yang tidak diketahui kebaikannya lebih afdhal untuk diserahkan kepada kehendak Allah SWT, kerana manusia tidak mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Nota hujung:

[1] https://islamic-fatwa.com/fatwa/58623. Diakses pada 4 November 2024

[2] https://salmajed.com/fatawa/getFatwaById/5443 . Diakses pada 4 November 2024