#7434: Menipu Melihat Rasulullah SAW Dalam Mimpi 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seseorang itu menipu bahawa dia melihat Nabi SAW dalam mimpinya? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, seseorang itu tidak boleh menjadikan mimpinya sebagai sandaran untuk dijadikan panduan dalam hukum syara’, walaupun dia bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Hal ini kerana hukum syara’ telah ditetapkan dan tidak boleh diubah atau ditambah berdasarkan mimpi, kerana hukum syara’ hanya boleh diambil daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang sahih. Mimpi tidak boleh dijadikan sebagai sumber hukum, kerana ia adalah bentuk ilham atau petunjuk peribadi yang tidak menjamin kesahihan atau kesesuaian dengan prinsip-prinsip syariah yang telah ditetapkan.

Abu al-Walid ibn Rusyd berkata: “Berkenaan hukum yang mana dua saksi yang adil telah memberikan kesaksian di hadapannya, maka tidak halal baginya untuk meninggalkan keputusan berdasarkan kesaksian tersebut hanya kerana apa yang dilihatnya dalam mimpi, bahawa Nabi SAW berkata kepadanya: “Jangan kamu memutuskan dengan kesaksian ini, kerana ia adalah palsu.” Hal ini kerana membatalkan hukum-hukum syariah berdasarkan mimpi adalah tidak sah dan tidak boleh dipercayai serta tidak boleh diperkatakan; sesungguhnya yang mengetahui perkara ghaib dari sudut ini hanyalah para nabi A.S yang mana bagi mereka ia adalah wahyu daripada Allah. Adapun selain mereka, mimpi mereka hanyalah sebahagian daripada empat puluh enam bahagian kenabian..” (Lihat Masail Ibn Rusyd, 1/533)

Menjawab persoalan di atas, seorang Muslim yang mengaku melihat Nabi Muhammad SAW hendaklah merujukkan mimpinya kepada ahli ilmu dan ahli agama yang dikenali dengan kejujuran dan ketakwaan mereka, supaya mereka dapat memberitahu sama ada mimpi tersebut benar atau ia datang dari syaitan. Hal ini bagi mengelakkan terjadinya pendustaan terhadap Nabi SAW.

Imam al-Qurtubi berkata ketika mentafsirkan firman Allah SWT: قَالَ يَا بُنَيَّ لاَ تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَى إِخْوَتِكَ “Wahai anakku, janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu.” (Yusuf: 5): “Ayat ini menjadi dalil bahawa seseorang tidak seharusnya menceritakan mimpi kepada orang yang tidak mempunyai belas kasihan, tidak jujur, atau yang tidak pandai menafsirkan mimpi.” (Lihat Jami’ li Ahkam al-Quran, 9/216)

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Daripada Hammad bin Zaid berkata: Muhammad bin Sirin, apabila seseorang memberitahunya bahawa dia melihat Nabi SAW dalam mimpi, beliau akan meminta orang itu menggambarkan Nabi yang dilihatnya. Jika sifat yang digambarkan itu tidak dikenali, beliau akan berkata, ‘Engkau tidak melihat baginda,’ dan sanadnya sahih.” Imam al-Hakim juga meriwayatkan melalui jalan ‘Asim bin Kulaib: “Ayahku berkata: Aku berkata kepada Ibn Abbas: Aku melihat Nabi SAW dalam mimpiku.’ Ibn Abbas bertanya: ‘Gambarkan baginda kepadaku.’ Maka aku menggambarkan bahawa al-Hasan bin Ali hampir menyerupai baginda SAW, lalu Ibn Abbas berkata: ‘Engkau benar-benar melihatnya,’ dan sanadnya baik.” (Lihat Fath al-Bari, 12/384)

Jika seseorang mendakwa melihat Nabi SAW dalam mimpi dan baginda menyuruhnya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka arahan itu tidak boleh diikuti. Ini menunjukkan bahawa apa yang dilihat dalam mimpinya itu bukan Nabi SAW. Walaupun melihat Nabi SAW dalam mimpi adalah satu khabar gembira bagi Muslim yang bermimpi, ia bukan wahyu, tetapi ia hanyalah petanda yang baik.

Imam Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menyebut daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa tidak boleh membatalkan satu sunnah yang sabit kerana mimpi, atau menetapkan satu sunnah yang belum sabit, dan ini adalah ijma’ ulama. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/115)

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz juga berkata, “…Tidak boleh menjadikan mimpi melihat Nabi SAW sebagai sandaran dalam sesuatu yang bertentangan dengan syariat. Apa-apa yang didengari atau dilihat oleh orang yang bermimpi hendaklah dirujuk kepada Al-Quran dan Sunnah yang sahih. Jika selaras, ia boleh diterima, jika bercanggah, maka ia ditolak. Ini kerana Allah SWT telah menyempurnakan agama ini dan menamatkan nikmat ke atas umat ini sebelum kewafatan Nabi SAW. Maka tidak dibenarkan menerima sesuatu yang bertentangan dengan syariat walaupun datang daripada mimpi atau cara lain, dan ini adalah ijma’ ulama.” (Lihat Majmu’ Fatawa, 2/385)

Imam Abu Ishaq al-Syatibi berkata: “Kadang-kadang seseorang berkata, ‘Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi dan baginda menyuruhku melakukan sesuatu,’ lalu dia melakukannya dan mengabaikan batasan syariat. Ini adalah kesilapan, kerana mimpi selain dari Nabi tidak boleh dijadikan hujah syar’i kecuali ia selaras dengan hukum-hukum syariat. Jika mimpi itu selari, ia boleh diamalkan, jika tidak, ia mesti ditinggalkan. Kegunaan mimpi hanyalah sebagai khabar gembira atau amaran, tetapi bukan untuk mengambil hukum.” (Lihat al-I’tisam, 2/93)

Kesimpulan

Justeru, kami katakan, walaupun mimpi tidak boleh dijadikan hujjah dalam syara’ dan juga agama ini, tetapi tidak boleh bagi seseorang itu untuk menipu bahawa dia melihat Nabi SAW dalam mimpinya kerana dikhuatiri akan terjebak dalam kalangan mereka yang berdusta atas nama Nabi SAW. Hukum menipu dengan mendakwa melihat Nabi Muhammad SAW dalam mimpi adalah haram, bahkan ia boleh juga membuka peluang untuk orang lain berdusta bahawa mereka juga melihat Nabi SAW dalam mimpi.

Perlu diingatkan bahawa berbohong atas nama Nabi SAW, yang merupakan perbuatan yang sangat dikecam dalam Islam. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah memberikan ancaman memalui hadith mutawatir yang diriwayatkan daripada ramai para sahabat, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291), Muslim di dalam Muqaddimah Sahih Muslim (4) dan Ahmad (18202)

Mendakwa sesuatu yang tidak benar tentang Nabi SAW, termasuk mengaku melihat baginda dalam mimpi sedangkan ia tidak berlaku, adalah satu bentuk pembohongan yang boleh mengelirukan orang lain dan mencemarkan kesucian agama. Pembohongan seperti ini juga berpotensi untuk membawa kepada penyelewengan agama jika orang yang mendakwa itu menyatakan sesuatu yang kononnya diperintahkan oleh Nabi SAW dalam mimpinya, yang mungkin bercanggah dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah, bahkan ia langsung tidak boleh dijadikan hujjah dalam agama.

Selain itu, Rasulullah SAW mengingatkan kita semua berkenaan dengan hukum menipu sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101)

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT: “فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ” “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).” (Surah Ibrahim: 36). Justeru, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya pebuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”