#7438: Bolehkah Iddah di Rumah Keluarga di Kampung

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seorang wanita menjalani tempoh iddah di rumah keluarganya di kampung?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isterinya hendaklah mereka (isteri-isteri) menunggu empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

Dapat difahami melalui firman Allah SWT di atas, ‘iddah bagi perempuan yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari. Imam Ibn Kathir menukilkan sebuah riwayat daripada Qatadah, katanya: “Aku bertanya kepada Sa‘id bin al-Musayyib: ‘Ada apa dengan tambahan 10 hari itu?’, Lalu dia menjawab: ‘Kerana ketika itulah ditiupkan roh’.”

Diriwayatkan juga daripada al-Rabi‘ bin Anas, katanya: “Aku bertanya kepada Abu al-‘Aliyyah: ‘Mengapa dijadikan 10 hari itu bersama dengan 4 bulan?’, jawab beliau: ‘Kerana ketika itu ditiupkan roh’.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/481)

Secara umumnya, wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah selepas kematian suaminya diwajibkan tinggal di rumah yang didiaminya semasa kematian suaminya, kerana Nabi Muhammad SAW telah memerintahkan demikian. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh para penulis kitab Sunan, Nabi SAW telah berkata kepada Furai’ah binti Malik:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ الَّذِي جَاءَ فِيهِ نَعْىُ زَوْجِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ‏.‏ قَالَتْ فَاعْتَدَدْتُ فِيهِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Tetaplah di rumahmu tempat kau menerima berita kematian suamimu sehingga selesai tempoh yang ditentukan.” Furai’ah berkata: “Maka aku ber’iddah di rumah itu selama empat bulan sepuluh hari.”

Riwayat Abu Daud (2300), al-Tirmizi (1204), al-Nasa’i (200) dan Ibn Majah (2031). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah.

Berdasarkan hadith ini, maka jumhur ulama berpendapat bahawa wanita wajib tinggal di rumah yang sama. Namun, mereka memberikan kelonggaran sekiranya wanita tersebut khuatir akan keselamatannya, atau jika tiada sesiapa untuk menguruskan keperluannya dan dia sendiri tidak mampu melakukannya, maka dibolehkan baginya untuk ber’iddah di rumah lain.

Ibn Qudamah berkata: Antara mereka yang mewajibkan wanita dalam ‘iddah kematian suami untuk tinggal di rumahnya adalah Umar dan Uthman R.Anhuma. Pandangan ini juga diriwayatkan daripada Ibn Umar, Ibn Mas’ud, dan Ummu Salamah. Pandangan yang sama turut dipegang oleh Imam Malik, al-Thauri, al-Awza’i, Abu Hanifah, al-Syafi’i, dan Ishaq.”

Ibn Qudamah menambah: “Jika wanita tersebut takut pada bahaya seperti runtuhan, banjir, atau ancaman musuh; atau jika pemilik rumah menyuruhnya keluar kerana tempoh sewanya tamat; atau tidak mampu membayar sewa, maka dibenarkan baginya berpindah kerana itu adalah keadaan darurat… Jika tidak ada pilihan, kewajipan untuk tinggal di rumah tersebut gugur, dan dia boleh tinggal di mana sahaja yang dia inginkan.” (Lihat al-Mughni, 8/127).

Para ulama dalam Lajnah al-Da’imah (Jawatankuasa Tetap Fatwa) telah ditanya mengenai wanita yang kehilangan suami dan tiada sesiapa di bandar mereka yang dapat menguruskan keperluannya. Mereka menjawab: “Jika situasinya adalah seperti yang disebutkan – bahawa tiada sesiapa di bandar tempat suaminya meninggal yang boleh menguruskan keperluannya, dan dia sendiri tidak mampu mengurus dirinya sendiri, maka dibolehkan baginya untuk berpindah ke bandar lain di mana dia merasa aman dan ada orang yang dapat membantunya.” (Lihat Fatawa Lajnah Daimah, 20/463).

Dalam fatwa yang sama (20/473), disebutkan: “Jika perpindahan saudaramu yang kehilangan suami dari rumah perkahwinan ke rumah lain semasa ‘iddah adalah kerana darurat, seperti khuatir akan keselamatannya jika tinggal seorang diri, maka tidak mengapa dia berpindah, dan dia boleh melengkapkan tempoh ‘iddah di rumah yang baru.” Berdasarkan hal ini, jika wanita tersebut merasa takut tinggal seorang diri atau tidak mampu membayar sewa rumah, tidak ada masalah untuknya berpindah ke rumah keluarganya dan melengkapkan tempoh ‘iddah di sana.

Justeru, dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan, hukumnya adalah dibolehkan.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”