#7442: Hukuman Pembaca al-Quran yang tidak Mengamalkan al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Saya mendengar bahawa salah satu sebab azab kubur adalah bagi seseorang yang membaca al-Quran pada waktu malam tetapi tidak mengamalkannya pada waktu siang. Adakah maksud lelaki ini bahawa dia tidak mengamalkan al-Quran langsung, atau dia hanya mengamalkan sebahagian daripadanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Samurah bin Jundab R.A menyampaikan kepada kami, daripada Nabi SAW berkenaan permasalahan mimpi, Baginda bersabda:

أَمَّا الَّذِي ‌يُثْلَغُ ‌رَأْسُهُ بِالْحَجَرِ، فَإِنَّهُ يَأْخُذُ الْقُرْآنَ فَيَرْفُضُهُ، وَيَنَامُ عَنِ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ

Maksudnya:“Adapun (takwil bagi) mimpi seseorang yang dihancurkan kepalanya dengan batu adalah orang yang menghafal (atau mempelajari) al-Quran lalu mengabaikannya (atau melupakan) dan dia tidur (hingga) tidak melaksanakan solat wajib.”

Riwayat al-Bukhari (1143), yang merupakan sebahagian dari hadith panjang dalam Sahih al-Bukhari (7047).

Maksud hadith ini adalah meninggalkan amalan al-Quran. Ibnu Battal berkata: “Ia bermaksud dia meninggalkan hafalan ayatnya dan amalan maknanya. Adapun jika dia meninggalkan hafalan ayatnya tetapi mengamalkan maknanya, maka dia tidaklah menolaknya. Namun, telah disebutkan dalam hadith bahawa dia akan dibangkitkan pada hari kiamat tanpa hujah (alasan),” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 3/135; 9/564).

Al-Tibi berkata: “Perkataan (dan tidur daripadanya) bermaksud dia berpaling daripadanya.

(Daripada) di sini seperti dalam firman Allah SWT: “الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ” bermaksud lalai terhadap solat mereka, iaitu meninggalkan solat atau tidak memperhatikannya, dan inilah perbuatan golongan munafik dan orang fasik. Maksud (tidur daripadanya pada malam): dia tidak membaca al-Quran pada malam dan tidak memikirkan apa yang perlu dilakukan dan dijauhi dari perintah dan larangan, seperti golongan munafik dan fasik. Jika keadaannya begini pada malam hari, dia tidak akan mengamalkannya pada siang hari.

Ini disokong oleh riwayat lain dari al-Bukhari: “Adapun lelaki yang diketuk kepalanya dengan batu, maka dia adalah orang yang mengambil al-Quran lalu meninggalkannya, dan tidur daripada solat fardhu.”Adapun orang yang tertidur tanpa niat mengabaikannya, kerana kelemahan atau ketidakmampuan, maka dia terkeluar dari ancaman ini,” (Lihat Syarh al-Misykat oleh al-Tibi, 9/3009-3010).

Berdasarkan hadith ini, antara sebab seseorang itu diazab adalah kerana dia meninggalkan al-Quran, meninggalkan beramal dengannya, dan juga kurang memperhatikannya. Adapun orang yang meninggalkan sesuatu kerana kelemahan atau ketidakmampuan, dia tidak termasuk dalam ancaman ini.

Justeru, seorang mukmin harus berusaha mengamalkan al-Quran, kerana Allah SWT berfirman:

اتَّبِعُوا ‌مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Ikutilah apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti wali-wali selain-Nya. Sedikit sekali kamu mengambil pelajaran.”

(Surah al-A’raf: 3).

Firman-Nya:

اتَّبِعْ ‌مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Ikutilah apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tiada tuhan selain Dia, dan berpalinglah dari orang musyrik.”

(Surah al-An’am: 106).

Firman-Nya juga:

اتَّبِعْ ‌مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Ikutilah apa yang diwahyukan kepadamu dan bersabarlah hingga Allah memberi keputusan, dan Dia adalah sebaik-baik hakim.”

(Surah Yunus: 109).

Dalam hadith yang ditiwayatkan daripada ‌al-Nawwas bin Sam’an al-Kilabi, dia berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

يُؤْتَى بِالْقُرْآنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَهْلِهِ الَّذِينَ كَانُوا ‌يَعْمَلُونَ ‌بِهِ تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ وَضَرَبَ لَهُمَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةَ أَمْثَالٍ مَا نَسِيتُهُنَّ بَعْدُ قَالَ: كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ ظُلَّتَانِ سَوْدَاوَانِ بَيْنَهُمَا شَرْقٌ، أَوْ كَأَنَّهُمَا حِزْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ صَاحِبِهِمَا

Maksudnya:Akan didatangkan al-Quran pada hari kiamat bersama orang-orang yang mengamalkannya, didahului oleh Surah al-Baqarah dan Ali Imran. Rasulullah SAW memberikan tiga perumpamaan bagi kedua-duanya yang aku tidak pernah lupakan. Baginda bersabda: ‘Seakan-akan keduanya adalah dua awan, atau dua naungan hitam di antara keduanya ada cahaya, atau seolah-olah dua kumpulan burung yang mengembangkan sayapnya, membela orang yang mengamalkannya.'”

Riwayat Muslim (805)

Ibnu Umar R.Anhuma berkata:

لَقَدْ عِشْنَا بُرْهَةً مِنْ دَهْرِنَا وَإِنَّ أَحْدَثَنَا يُؤْتَى الْإِيمَانَ قَبْلَ الْقُرْآنِ، وَتَنْزِلُ السُّورَةُ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَتَعَلَّمُ حَلَالَهَا وَحَرَامَهَا، وَمَا يَنْبَغِي أَنْ يُوقَفَ عِنْدَهُ فِيهَا كَمَا تَعْلَمُونَ أَنْتُمُ الْقُرْآنَ» ، ثُمَّ قَالَ: «لَقَدْ رَأَيْتُ رِجَالًا يُؤْتَى أَحَدُهُمُ الْقُرْآنَ فَيَقْرَأُ مَا بَيْنَ فَاتِحَتِهِ إِلَى خَاتِمَتِهِ مَا يَدْرِي مَا ‌أَمْرُهُ ‌وَلَا ‌زَاجِرُهُ، وَلَا مَا يَنْبَغِي أَنْ يُوقَفَ عِنْدَهُ مِنْهُ يَنْثُرُهُ نَثْرَ الدَّقَلِ

Maksudnya: “Kami dahulu hidup dalam satu tempoh masa, di mana yang termuda dari kami menerima iman sebelum menerima al-Quran, dan diturunkan surah kepada Muhammad SAW, lalu mereka belajar halal dan haramnya, serta apa yang perlu diberi perhatian dalamnya sebagaimana kamu mempelajari al-Quran. Kemudian beliau berkata: Aku telah melihat orang yang salah seorang darinya mempelajari al-Quran dari awal hingga akhirnya, namun dia tidak tahu apa yang diperintahkannya atau dilarangnya, atau apa yang perlu diberi perhatian dalamnya, dia membacanya seperti biji tamar yang berhamburan.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak ala al-Sahihain (1/91), (101).

Al-Khatib al-Baghdadi menukilkan bahawa al-Fudhail berkata: “Sesungguhnya al-Quran diturunkan untuk diamalkan, tetapi manusia menjadikan bacaannya sahaja sebagai amalan. Maka ditanya, bagaimana amalan dengannya? Dia menjawab: Iaitu untuk menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, mengikuti perintah-perintahnya, menjauhi larangannya, dan berhenti pada keajaibannya,” (Lihat Iqtidha’ al-Ilm al-Amal, hlm. 76)

Ibnu Qayyim berkata: “Oleh sebab itulah, orang yang termasuk dalam kalangan ahli al-Quran adalah mereka yang mengetahui dan mengamalkan isinya, walaupun mereka tidak menghafalnya sepenuhnya. Adapun orang yang menghafalnya tetapi tidak memahaminya dan tidak mengamalkannya, dia bukan dari kalangan ahlinya, walaupun dia mengucapkan huruf-hurufnya dengan tepat,”(Lihat Zad al-Ma’ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad, 1/402).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa azab itu boleh terjadi kepada mereka yang membaca atau menghafal al-Quran tetapi tidak mengamalkannya. Perbuatan membaca al-Quran tanpa memahami atau mengamalkan ajarannya boleh manjadi dosa, kerana tujuan utama al-Quran adalah untuk diamalkan. Hal ini kerana ahli al-Quran yang sebenar adalah mereka yang memahami dan mengamalkan isi kandungannya, bukan sekadar membacanya. Namun begitu, seseorang yang tidak dapat mengamalkan al-Quran kerana kelemahan atau ketidakmampuan adalah dikecualikan daripada ancaman ini.

Semoga Allah SWT menjadikan kita sebagai orang yang beramal dengan ajaran al-Quran. Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”