#7443: Makna Hadith “Berlindunglah daripada Api Neraka walaupun dengan Secubit Buah Kurma”

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Apakah kesahihan hadith: “(Wahai Aisyah, berlindunglah daripada api neraka walaupun dengan secubit buah kurma)” dan apakah maknanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hadith yang disebutkan ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam al-Musnad, beliau berkata: “Muhammad bin Abdullah menceritakan kepada kami, Kathir bin Zaid menceritakan kepada kami, daripada al-Mutallib bin Abdullah, daripada Aisyah, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

يَا عَائِشَةُ، اسْتَتِرِي مِنَ النَّارِ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، فَإِنَّهَا تَسُدُّ مِنَ الْجَائِعِ مَسَدَّهَا مِنَ الشَّبْعَانِ

Maksundya: “Wahai Aisyah, berlindunglah daripada api neraka walaupun dengan secubit buah kurma, kerana ia dapat memadai bagi orang yang lapar sebagaimana ia memadai bagi orang yang kenyang.”

Riwayat Ahmad dalam al-Musnad (41/49)

Namun, sanadnya dianggap lemah kerana al-Mutallib bin Abdullah tidak thabit dalam mendengar secara langsung daripada Aisyah R.Anha.

Abu Zur’ah al-Iraqi berkata: “Al-Mutallib bin Abdullah bin Hantab: Abu Hatim berkata: Umumnya riwayatnya adalah mursal (tidak bersambung)…. Beliau juga berkata: Al-Mutallib tidak sempat bertemu Aisyah.

Dan sekali lagi, beliau berkata: Umumnya hadithnya adalah mursal, tidak sempat bertemu mana-mana sahabat kecuali Sahl bin Sa’ad, Anas bin Malik, dan Salamah bin al-Akwa’, serta beberapa orang yang hampir sezaman dengannya…

Al-‘Allai berkata: Al-Bukhari berkata: Aku tidak tahu al-Mutallib bin Hantab mendengar daripada mana-mana sahabat kecuali beliau menyebutkan: ‘Seseorang yang menyaksikan khutbah Nabi SAW menceritakan kepadaku.’ Al-Tirmizi berkata: Aku mendengar Abdullah bin Abdul Rahman iaitu al-Darimi berkata begitu juga…

Abu Zur’ah berkata: Aku berharap dia mendengar daripada Aisyah.

Abu Hatim pula berkata: Dia tidak sempat bertemu Aisyah, dan berkemungkinan dia sempat bertemu Jabir.”  (Lihat Tuhfah al-Tahsil, hlm. 307).

Namun, Imam Ahmad telah meriwayatkan hadis yang hampir serupa dengan sanad yang perawinya thiqat, seperti dalam al-Musnad. Beliau berkata: “Waki’ menceritakan kepada kami, Muhammad bin Sulaim menceritakan kepada kami, daripada Ibn Abi Mulaikah, daripada Aisyah, yang berkata: Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ

Maksudnya: Berlindunglah daripada api neraka walaupun dengan secubit buah kurma.

Riwayat Ahmad dalam al-Musnad (41/505-506). Para pentahqiq kitab “al-Musnad” menilai sanad ini sebagai sahih.

Hadith ini juga diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim daripada Adiy bin Hatim R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ

Maksudnya: “Berlindunglah daripada api neraka walaupun dengan secubit buah kurma.”

Riwayat al-Bukhari (1417)

Dalam lafaz yang lain dalam Sahih Muslim:

مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَسْتَتِرَ مِنَ النَّارِ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya: “Sesiapa yang mampu melindungi dirinya daripada api neraka walaupun dengan secubit buah kurma, maka hendaklah dia lakukan.”

Riwayat Muslim (1016)

Imam al-Nawawi berkata: “Secubit buah kurma ( شق التمرة): dengan membacanya dengan harakat kasrah pada huruf ش, iaitu شِقّ yang bermaksud separuhnya atau bahagiannya. Dalam hadith ini terdapat galakan untuk bersedekah, dan ia tidak patut ditinggalkan walaupun sedikit, kerana yang sedikit itu pun dapat menjadi sebab untuk menyelamatkan diri dari api neraka.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/101).

Al-Hafiz Ibn Hajar pula berkata: “Dalam riwayat Ahmad daripada hadith Ibn Mas’ud dengan sanad yang sahih, diriwayatkan secara marfu’ (yakni disandarkan kepada Nabi SAW) dengan lafaz: (Hendaklah seseorang daripada kamu melindungi wajahnya dari api neraka walaupun dengan secubit buah kurma). Riwayat serupa juga terdapat dalam hadith Aisyah dengan sanad yang hasan: (Wahai Aisyah, berlindunglah daripada api neraka walaupun dengan secubit buah kurma kerana ia memadai bagi orang yang lapar seperti mana ia memadai bagi orang yang kenyang). Abu Ya’la meriwayatkan hadith yang serupa daripada Abu Bakar as-Siddiq dengan lafaz yang lebih lengkap: (Sebahagian buah kurma itu akan memenuhi orang yang lapar seperti mana ia memenuhi orang yang kenyang), dan yang menghimpunkan antara kedua-duanya itu adalah kemanisan kurma tersebut. Hadis ini menggalakkan bersedekah baik dalam jumlah yang sedikit mahupun banyak dan menunjukkan bahawa sedekah yang kecil sekalipun tidak patut dipandang remeh kerana sedekah yang sedikit itu boleh melindungi pendermanya daripada api neraka.” (Lihat Fath al-Bari, 3/284).

Abu Zur’ah al-Iraqi berkata: “Ini adalah tanda kemurahan Allah SWT yang membolehkan manusia meraih syurga dan menyelamatkan diri dari neraka dengan amal yang ringan. Sebagaimana yang disebut dalam hadith Adiy bin Hatim dalam Sahih: (Berlindunglah dari api neraka walaupun dengan secubit buah kurma) dan sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadith lain: “ لَا تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا”, (Jangan memandang rendah kebaikan walaupun sedikit).” (Lihat Tuhfah al-Tathrib, 7/68).

Hadith ini, sebagaimana yang disebut oleh para ulama, menunjukkan keutamaan bersedekah dan galakan untuk bersedekah, serta larangan untuk memandang remeh kepada kebaikan yang kecil kerana ia tetap memberi manfaat kepada penerimanya walaupun sedikit. Yang sedikit jika dikumpulkan menjadi banyak. Selain itu, ia juga memberi manfaat kepada si pemberi sedekah pada hari kiamat; mudah-mudahan Allah menerimanya dan melipatgandakannya seperti gunung.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَصَدَّقَ بِعَدْلِ تَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ، وَلاَ يَصْعَدُ إِلَى اللَّهِ إِلَّا الطَّيِّبُ، فَإِنَّ اللَّهَ يَتَقَبَّلُهَا بِيَمِينِهِ، ثُمَّ يُرَبِّيهَا لِصَاحِبِهِ، كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ فُلُوَّهُ، حَتَّى تَكُونَ مِثْلَ الجَبَلِ

Maksudnya: “Sesiapa bersedekah dengan sesuatu yang setara dengan sebiji kurma daripada rezeki yang halal, dan sesungguhnya Allah tidak menerima kecuali yang baik, maka Allah akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, kemudian Dia akan memeliharanya untuk orang tersebut sebagaimana seseorang kamu memelihara anak kudanya[1], sehingga sedekah tersebut menjadi sebesar gunung.”

Riwayat al-Bukhari (7430) dan Muslim (1014).

Wazir Ibn Hubairah berkata: “Dan sabda Rasulullah: (daripada rezeki yang baik); kerana Allah SWT hanya membalas hamba atas harta yang dia infaqkan daripada hartanya sendiri, dan jika dia infaqkan harta yang dicuri atau diperoleh secara haram, maka ia bukan daripada hartanya tetapi daripada harta orang lain. Maka ia bukan daripada orang yang benar-benar menginfaqkan hartanya sendiri sebagaimana firman Allah SWT: ‘(Orang yang menginfaqkan hartanya)’ maka jika ia daripada hartanya sendiri, Allah SWT akan membalasnya dengan pahala, dan itu adalah rezeki yang baik, iaitu yang diperoleh secara halal, maka ia patut menjaga supaya tidak meremehkan sedekah yang sedikit kerana ia akan dikembangkan dalam gandaan yang banyak lebih dari apa yang diharapkan oleh orang yang bersedekah. (Lihat al-Ifsah, 6/257).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith yang menyebutkan “berlindunglah daripada api neraka walaupun dengan secubit buah kurma” menggalakkan umat Islam untuk bersedekah walaupun dengan sedikit, kerana sedekah yang kecil sekalipun boleh memberi manfaat yang besar di akhirat. Hadith ini menunjukkan bahawa walaupun sedekah yang dianggap kecil, seperti sebiji kurma, ia boleh menyelamatkan seseorang daripada api neraka, dan ia adalah tanda kemurahan Allah yang menerima amal baik walaupun sedikit. Bahkan ditekankan bahawa pentingnya untuk tidak meremehkan kebaikan kecil, kerana ia boleh memberi ganjaran besar di sisi Allah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota hujung:

[1] * Anak kuda: anak yang sudah bercerai susu, dikatakan: (فلوته عن أمه); bermaksud memisahkannya daripada ibunya. Dan “الفصيل” bermaksud anak unta yang sudah dipisahkan daripada ibunya, dan asalnya daripada “قطع” (memisah).”