Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan berkaitan dengan periwayatan hadith. Mengapa banyak hadith diriwayatkan oleh perawi tertentu seperti Abu Hurairah, Ibn Abbas, dan lain-lain R.Anhum, sedangkan kita tidak menemui banyak hadith daripada sahabat-sahabat yang paling mulia seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, dan Ali R.Anhum? Bukankah mereka adalah orang yang paling banyak bersama Nabi SAW, jadi, mereka pasti mendengar banyak perkara daripada baginda? Adakah maklumat ini benar, dan jika benar, mengapa begitu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Khulafa’ al-Rasyidin R.Anhum tidaklah sedikit, tetapi ia digambarkan sedikit apabila dibandingkan dengan riwayat-riwayat daripada sahabat-sahabat yang banyak meriwayatkan seperti Abu Hurairah R.A.
Sebagai contoh:
- Abu Bakar As-SiddiqA meriwayatkan sebanyak (142) hadith. Imam al-Bukhari dan Muslim bersepakat pada enam daripadanya, Imam al-Bukhari meriwayatkan sebelas lagi secara bersendirian, dan Imam Muslim meriwayatkan satu secara bersendirian. (Lihat Masyariq al-Anwar al-Wahhajah, 3/36).
- Umar bin al-KhattabA meriwayatkan sebanyak 539 hadith, dengan sepuluh disepakati oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Imam al-Bukhari meriwayatkan sembilan hadith secara bersendirian, dan Muslim meriwayatkan lima belas hadith.
- Uthman bin AffanA meriwayatkan sebanyak 146 hadith. Imam al-Bukhari dan Muslim bersepakat pada tiga hadith, Imam al-Bukhari meriwayatkan lapan secara bersendirian, dan Imam Muslim meriwayatkan sebanyak lima hadith.
- Ali bin Abi TalibA meriwayatkan sebanyak 586 hadith. Imam al-Bukhari dan Muslim bersepakat pada dua puluh hadith, Imam al-Bukhari meriwayatkan sembilan secara bersendirian, dan Imam Muslim sebanyak lima belas secara bersendirian. (Lihat Zakhirah al-‘Uqba, 2/203; 2/369; 2/457).
Sebab kurangnya hadith-hadith mereka berbanding dengan para perawi yang banyak meriwayatkan hadith bukanlah disebabkan oleh kurangnya pengetahuan mereka tentang Sunnah Nabi SAW, tetapi ia disebabkan oleh beberapa perkara berikut:
- Wafat lebih awal: Mereka wafat lebih awal. Khalifah terakhir dalam kalangan mereka, iaitu Ali bin Abi Talib R.A, meninggal pada tahun 40 Hijrah. Abu Bakar R.A hanya hidup dua tahun lebih sahaja selepas kewafatan Nabi SAW.
Imam al-Nawawi berkata: “Abu Bakar R.A meriwayatkan sebanyak seratus empat puluh dua hadith daripada Rasulullah SAW. Imam al-Bukhari dan Muslim bersepakat pada enam daripadanya, Imam al-Bukhari meriwayatkan sebelas secara bersendirian, dan Imam Muslim meriwayatkan satu secara bersendirian. Sebab kurangnya riwayat beliau walaupun beliau telah lama bersahabat dan sering bersama Nabi SAW adalah kerana beliau meninggal dunia lebih awal sebelum hadith tersebar luas, dan sebelum para tabiin memberikan perhatian kepada mendengar, mengumpul, dan menghafal hadith.” (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 2/182).
Sebaliknya, antara sahabat yang banyak meriwayatkan hadith ialah mereka yang meninggal dunia pada usia sangat lanjut. Contohnya, Anas bin Malik R.A meninggal dunia pada tahun 93 Hijrah, dan usianya melebihi seratus tahun, jadi generasi tabi’in berpeluang mengambil ilmu daripadanya.
- Kesibukan dengan tugas sebagai khalifah: Selain kewafatan lebih awal, mereka juga sibuk dengan tanggungjawab pemerintahan yang menghalang mereka daripada duduk khusus untuk meriwayatkan dan mengajar hadith.
Berbeza dengan sahabat-sahabat lain yang banyak meriwayatkan hadith kerana mereka mempunyai masa khusus untuk tugas ini – seperti Abu Hurairah R.A. Sebagaimana disebut dalam satu hadith daripada ‘Urwah bin Zubair daripada Aisyah R.Anha bahawa beliau berkata:
أَلاَ يُعْجِبُكَ أَبُو فُلاَنٍ، جَاءَ فَجَلَسَ إِلَى جَانِبِ حُجْرَتِي، يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يُسْمِعُنِي ذَلِكَ وَكُنْتُ أُسَبِّحُ، فَقَامَ قَبْلَ أَنْ أَقْضِيَ سُبْحَتِي، وَلَوْ أَدْرَكْتُهُ لَرَدَدْتُ عَلَيْهِ، إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ يَسْرُدُ الحَدِيثَ كَسَرْدِكُمْ
Maksudnya: “Apakah engkau tidak berasa pelik terhadap Abu Fulan, dia datang dan duduk di tepi kamarku, kemudian menyampaikan (hadith) daripada Rasulullah SAW, memperdengarkannya kepadaku dalam keadaan aku sedang solat sunat. Namun dia berdiri (beransur) sebelum solat sunatku selesai. Sekiranya aku sempat menemuinya, nescaya aku akan membantahnya. Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah menyampaikan hadith secara berturut-turut (laju), seperti cara kamu menyampaikannya”
Riwayat al-Bukhari (3568) dan Muslim (2493). Dalam riwayat Muslim disebutkan: “أَلَا يُعْجِبُكَ أَبُو هُرَيْرَةَ …” “Apakah tidak mengagumkan kamu akan Abu Hurairah…”.
Maka, para khalifah R.Anhum meriwayatkan hadith dalam jumlah yang sedikit kerana mereka sibuk dengan tanggungjawab pemerintahan dan tidak mempunyai masa yang banyak untuk meriwayatkan hadith. Sebaliknya, mereka lebih banyak meriwayatkan perkara yang berkaitan dengan fatwa dan kehakiman disebabkan peranan mereka dalam pemerintahan.
Ibn al-Qayyim berkata: “Para sahabat yang diketahui memberi fatwa daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW adalah seramai seratus tiga puluh orang lebih, terdiri daripada lelaki dan wanita. Antara yang banyak memberi fatwa adalah tujuh orang: Umar bin al-Khattab, Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Mas’ud, Aisyah Ummul Mukminin, Zaid bin Thabit, Abdullah bin Abbas, dan Abdullah bin Umar.
Abu Muhammad bin Hazm berkata: Adalah mungkin untuk mengumpulkan fatwa setiap seorang daripada mereka dalam sebuah kitab yang besar…
Abu Muhammad berkata lagi: Antara yang sederhana dalam periwayatan fatwa ialah Abu Bakar al-Siddiq, Ummu Salamah, Anas bin Malik, Abu Sa’id al-Khudri, Abu Hurairah, dan Uthman bin Affan…” (Lihat I‘lam al-Muwaqqi’in, 2/18-19).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kurangnya jumlah hadith yang diriwayatkan oleh Khulafa’ al-Rasyidin seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, dan Ali R.Anhum berbanding sahabat lain seperti Abu Hurairah bukan disebabkan oleh kekurangan pengetahuan mereka, tetapi lebih kepada faktor-faktor seperti mereka wafat lebih awal sebelum hadith tersebar luas, kesibukan mereka dengan tanggungjawab pemerintahan, dan fokus mereka pada fatwa serta kehakiman. Selain itu, sahabat yang lebih lama hidup dan mempunyai masa khusus untuk meriwayatkan hadith, seperti Abu Hurairah, lebih banyak meriwayatkan hadith kepada generasi selepas mereka.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”