Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. benarkah apabila zakat diberikan oleh orang kaya, akan menambahkan lagi keperibadian dan kemuliaannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
…مَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ
Maksudnya: Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu…
(Surah al-Hasyr: 7)
Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut: Iaitu, kami menjadikan perbelanjaan bagi harta al-Fai’ (الفَيْءُ) ini (harta yang diambil daripada orang kafir harbi tanpa peperangan) supaya ia tidak dimakan dan dibelanjakan oleh orang-orang kaya sahaja dengan syahwat dan kehendak mereka sehingga mereka tidak memberikan langsung kepada orang-orang faqir.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 8/67)
Imam al-Tabari menyebut: Allah SWT menyebutkan: dan kami telah menjadikan harta-harta yang Allah kurniakan keatas Rasulnya daripada penduduk negeri ini untuk para asnaf ini (bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir), supaya harta tersebut tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu dan di antara mereka sehingga mereka membelanjakan sekali untuk keperluan diri mereka. Hal ini merupakan pintu-pintu kebaikan dan jalan-jalan kebajikan. Maka mereka menjadikan ianya sebagaimana mereka kehendaki, tetapi kami menetapkan padanya jalan yang tidak boleh ditukar dan tidak boleh digantikan. (Lihat Tafsir al-Tabari, 22/520)
Pengarang Tafsir al-Wasit menyebutkan: Al-Dulah : Apa yang berlalu di tangan, kadang-kadang berada di tangan orang ini dan kadang-kadang berada di tangan orang lain ini, Iaitu: ia beredar dalam kalangan orang-orang kaya sehingga tidak dapat dirasai oleh orang-orang Faqir. (Lihat Tafsir al-Wasit, 10/353)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut: Antara tujuan penyucian jiwa yang direalisasikan oleh zakat, ialah tumbuh dan berkembangnya keperibadian beserta jati diri orang kaya. Sesungguhnya orang yang melakukan kebaikan dan makruf serta mencurahkan tenaga dan hartanya untuk membantu saudara seagama, sesama manusia dan menegakkan hak Allah SWT pada orang itu, maka dengan itu akan meluaskan jiwanya serta memberi perasaan sepertimana perasaan orang yang menang dalam suatu peperangan. Orang itu benar-benar telah menang ke atas kelemahannya, individualistik, kejahatan sifat kikir dan hawa nafsunya. Inilah makna pengembangan jiwa dan penyucian secara maknawi dan semoga inilah kefahaman yang diperoleh daripada firman Allah SWT:
تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Maksudnya: “Supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).”
(Surah al-Taubah: 103)
Menyambungkan perkataan penyucian (tazkiah) kepada pembersihan (tathir), memberikan faedah makna yang telah kami terangkan tadi kerana setiap kalimat dalam al-Quran memberi makna dan petunjuk tersendiri. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/353 – 354)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”