#7447: Rawatan Sihir dengan Berbekam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah rawatan sihir boleh dilakukan dengan berbekam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَىٰ

Maksudnya: Dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja ia datang”.

(Surah Taha: 69)

Ibn Kathir berkata: Sesungguhnya para penyihir itu tidak akan pernah menang, meskipun mereka membawa pelbagai bentuk sihir. Sebab, semua perbuatan mereka dilandaskan di atas kebatilan. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/542)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Sesungguhnya sihir yang mereka ciptakan itu hanyalah tipu muslihat yang sudah diatur dan tipu daya sihir yang tidak nyata. Dan penyihir itu tidak akan menang di mana pun dia berada dan datang. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 429)

Firman Allah SWT:

‏ وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ ‎﴿٤﴾‏ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Maksudnya: “Dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul, dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki.”

(Surah al-Falaq: 4-5)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Yakni, aku memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan para tukang sihir yang merosakkan manusia melalui sihir mereka. Lafaz ‘النَّفَّاثَاتِ’ ialah bentuk jamak daripada perkataan ‘النَّفَّاثَة’ yang merujuk kepada tiupan lembut. Perkataan ‘الْعُقَدِ’ pula ialah bentuk jamak daripada ‘العُقْدَة’ iaitu sesuatu yang diikat menggunakan tali atau seumpamanya sehingga simpul itu dapat dileraikan. Allah memerintahkan Jibril untuk membantu Rasulullah SAW. Lalu, Jibril berkata, “Dengan menyebut nama Allah, aku membantu engkau daripada segala sesuatu yang menyakitkanmu, iaitu daripada para pendengki dan pengintai. Allah akan menyembuhkanmu.” Maka, berkuranglah pengaruh sihir tersebut terhadap Nabi SAW yang hanya berkaitan dengan urusan dunia (tidak melibatkan wahyu), ketika Baginda berada dalam keadaan sedikit uzur. Peristiwa ini menggambarkan keadaan tersebut, yang berlaku ketika Baginda bermimpi.(Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 833)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan seperti berikut:

Daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَفْضَلَ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kalian gunakan adalah berbekam”

Riwayat Muslim (1577)

Al-Mulla ‘Ali al-Qari berkata: “Sebahagian ulama telah menjelaskan dengan terperinci dan baik tentang hal ini. Mereka berkata: Sesungguhnya Nabi SAW telah secara konsisten melakukan hijamah (bekam), menggalakkannya, serta menjelaskan kelebihannya. Baginda tidak melakukan atau mengarahkan al-fasd (membuang darah melalui pembuluh vena), meskipun al-fasd merupakan amalan yang penting dalam menjaga kesihatan yang ada dan mengembalikan kesihatan yang hilang. Ini kerana iklim negara Baginda memerlukan hal tersebut, memandangkan negara-negara yang beriklim panas cenderung untuk mengubah keadaan tubuh dengan cara yang unik, seperti negara Zinj (Afrika Timur) dan Habsyah (Ethiopia). Negara-negara tersebut sangat panas, yang menyebabkan tubuh menjadi panas, kering, dan lapisan luar badan seolah-olah terbakar. (Lihat Jam’ al-Wasa’il, 2/219)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Harari berkata: Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya sebaik-baik perubatan yang kamu gunakan ialah berbekam.” Ucapan ini ditujukan kepada mereka yang mengalami kelebihan darah, maka mengeluarkannya melalui berbekam adalah lebih utama dan lebih selamat daripada mengeluarkannya dengan memotong urat dan melakukan flebotomi (al-fasdu) (الفصد).

Dan mungkin juga bahawa orang-orang yang Baginda sampaikan ucapan ini kepada mereka adalah mereka yang dominan dalam tubuh mereka kelebihan darah, maka Baginda membimbing mereka untuk mengeluarkannya secara umum melalui berbekam kerana keselamatan yang telah kami sebutkan. Inilah juga yang disebut dalam kitab al-Mufhim. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 17/260)

Amalan berbekam atau ‘hijamah’ dalam bahasa Arabnya adalah salah satu sunnah Rasulullah dalam perubatan untuk mengeluarkan darah kotor daripada badan. Malahan bekam juga diamalkan oleh Rasulullah untuk menghilangkan kesakitan di tempat yang sakit akibat sihir.

Ibn Qayyim Al-Jauziyyah telah menjelaskan dalam kitabnya Zad al-Ma’ad (4/65) bahawa Abu Ubaid menyatakan dalam kitabnya Gharib Al-Hadith daripada Abdul Rahman bin Abi Laila:

احتَجَم النَّبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ عَلَى رَأْسِهِ بقَرْنٍ حِينَ طُبَّ

Maksudnya: “Nabi pernah melakukan bekam pada bahagian kepalanya dengan menggunakan tanduk ketika Baginda diserang “Tubb’ (yakni disihir).”

Riwayat Abu ‘Ubaid dalam Gharib al-Hadith (2/43) dan disebut juga oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (10/239) dan beliau menyatakannya sebagai mursal.

Abu ‘Ubaid berkata: Dalam hadis Nabi SAW bahawa Baginda berbekam di kepalanya menggunakan tanduk ketika Baginda terkena tubb (طُبَّ). Tanduk di sini bukanlah tempat yang dimaksudkan, tetapi ia menyerupai alat bekam. Mengenai tubb (طُبَّ), Abu ‘Ubaid menjelaskan: Maksudnya ialah Baginda telah disihir; dikatakan tentang seseorang: lelaki yang matbub (مَطْبُوب) (terkena sihir). (Lihat Gharib al-Hadith, 2/44)

Nas ini dengan jelas menunjukkan, salah satu daripada cara rawatan sihir dengan cara berbekam.

Kami akhiri dengan firman Allah SWT:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ‎﴿١﴾‏ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ‎﴿٢﴾‏ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ‎﴿٣﴾‏ وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ ‎﴿٤﴾‏ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ

Maksudnya: Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh, dari kejahatan makhluk-Nya, dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita, dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul, dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki”.

(Surah al-Falaq: 1-5)