#7449: Status Jamak Qasar: Setelah Sampai ke Destinasi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ke kita solat jamak taqdim atau takhir (ikut keadaan yang sempat) setelah sampai di destinasi yang mana kita duduk di situ lebih 3 hari. Bermaksud bukan dalam perjalanan dah. Saya akan ke Sandakan, Sabah pada hari Jumaat bersama ibu saya yang sedikit uzur menaiki kerusi roda. Jadual flight pada jam 11 pagi dan sampai di Sabah sudah habis waktu solat Jumaat. Saya tinggal di Sandakan lebih 3 hari. Soalan saya, saya boleh solat jamak di airport Sandakan kerana saya masih dalam perjalanan. Namun atas keadaan ibu saya yang mungkin perlu tukar pampers dahulu dan sebagainya atau pun keadaan surau di airport Sandakan agak menyukarkan ketika itu, adakah boleh dia atau kami semua solat jamak di destinasi..andai kata sempat waktu zuhur maka solat tamam macam biasa. Tetapi kalau delayed dan sebagainya yang memerlukan takhir. Adakah perlu solat di airport juga kerana masih dalam perjalanan atau diharuskan di destinasi atas keuzuran.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya anda menetap di situ tidak melebihi 4 hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka boleh untuk anda melakukan jamak qasar dalam perjalanan dan setelah sampai ke destinasi. Perlu kita fahami yang dimaksudkan tidak boleh jamak di destinasi itu ialah destinasi tempat kita bermukim. Maka, dalam isu anda, ia dibolehkan kerana destinasi tersebut ialah destinasi tempat anda bermusafir dan bukan tempat anda bermukim.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)