#7451: Tawaf Wada‘ Bagi Perempuan Hamil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum meninggalkan tawaf wada‘ bagi wanita hamil? Isteri saya menunaikan haji bersama saya, dan sebelum kami melakukan tawaf wada‘, dia mengalami pening yang teruk sehingga pengsan; kerana dia hamil enam bulan. Apabila dia sedar semula, dia cuba melakukan tawaf tetapi tidak berjaya, dan kami pulang tanpa melakukan tawaf wada‘. Adakah terdapat sebarang hukuman/denda ke atasnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, tawaf wada‘ adalah tawaf yang dilakukan oleh jemaah haji dari luar Makkah setelah menyelesaikan semua manasik haji mereka dan berhasrat untuk meninggalkan kota Makkah. Tawaf ini juga dikenali dengan beberapa nama lain, antaranya “Tawaf al-Sadr,” kerana ia dilakukan oleh orang yang mengerjakan manasik sebelum meninggalkan Baitullah dan kembali, dan “Tawaf al-‘Ahd,” kerana jemaah yang mengerjakan manasik mengucapkan selamat tinggal kepada Baitullah, dan tawaf adalah ibadah terakhirnya di sana. Tawaf ini dilaksanakan sejurus sebelum jemaah yang berasal dari luar kawasan Tanah Haram Makkah meninggalkan kawasan Haram untuk pulang ke negara asal mereka. (Lihat al-Hidayah oleh al-Marghinani al-Hanafi, 1/148; Mawahib al-Jalil oleh al-Hattab, 3/137; Raudhah al-Talibin, 3/90; Syarh Muntaha al-Iradat oleh al-Buhuti, 1/591).

Kewajipan tawaf wada‘ hanya dikenakan kepada jemaah haji dari luar Makkah yang bukan penduduk tempatan dan juga bukan penduduk kawasan Haram. Penduduk Makkah tidak diwajibkan melakukan tawaf wada‘ kerana ia bertujuan sebagai ucapan selamat tinggal kepada Baitullah, yang mana syarat ini tidak dipenuhi oleh penduduk Makkah kerana mereka bermastautin di sana. Ramai ulama telah sepakat bahawa penduduk Makkah tidak diwajibkan melakukan tawaf wada‘. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-‘Allamah Ibn Rusyd menyebutkan, para ulama sepakat bahawa orang Makkah hanya diwajibkan melakukan tawaf Ifadhah. (Lihat Bidayah al-Mujtahid, 2/109). Begitu juga Imam al-Rafi‘i turut menyebutkan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa orang Makkah yang menunaikan haji dengan niat untuk menetap di tanah airnya tidak diperintahkan untuk melakukan tawaf Wada‘. (Lihat Fath al-‘Aziz, 7/412).

Seterusnya, sebagaimana diketahui para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum tawaf wada‘ kepada sekurang-kurangnya dua pendapat. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi melalui kitabnya al-Majmu‘ iaitu:

Pertama: Wajib. Inilah pendapat Ibn ‘Abbas dan selainnya.

Kedua: Tidak wajib. Ini kerana sekiranya wajib, nescaya tidak diharuskan perempuan yang haid meninggalkannya.

Al-Qadhi Abu al-Tayyib dan al-Bandaniji menyatakan hukumnya sunat dan jika ditinggalkan Tawaf Wada‘, maka sunat juga membayar dam. Ini juga pendapat Imam al-Syafi‘i berdasarkan qaul qadim. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/253-254).

Namun, pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafi‘i adalah tawaf wada‘ diwajibkan. INi adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم :لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (bagi meninggalkan Makkah). Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah sekali-kali seseorang (jemaah) itu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya di Baitullah (untuk melaksanakan tawaf wada‘).’

Riwayat Muslim (1327)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan kepada kewajipan melakukan tawaf wada‘. Apabila ditinggalkan, maka dia hendaklah membayar dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i) dan inilah pendapat majoriti ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/79.)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa sesiapa yang ingin keluar meninggalkan Makkah untuk pulang ke tanah air masing-masing atau ke tempat yang lain, wajib ke atasnya melakukan tawaf wada‘ (sebelum bergerak keluar). Tawaf wada‘ bukanlah sebahagian daripada manasik haji, mahupun umrah, tetapi ia merupakan ibadah yang tersendiri. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/402.)

Selain itu, ada juga yang berpendapat tawaf wada‘ adalah sunat, tidak kira bagi ibadah jai mahupun umrah sebagaimana pendapat yang dipilih oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. Mereka menyatakan para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum tawaf wada‘ kepada dua pendapat, pendapat pertama ialah ia diwajibkan dan ia merupakan pendapat para fuqaha’ daripada mazhab Hanafi, Hanbali, dan riwayat daripada Imam al-Syafi‘i. Pendapat kedua: Ia adalah disunatkan dan merupakan pendapat Imam Malik, Dawud (al-Zahiri), Ibn al-Munzir, serta salah satu daripada dua pendapat Imam al-Syafi‘i, dan juga apa yang difatwakan dalam Dar al-Ifta’ al-Misriyyah bagi memudahkan jemaah haji dan mengangkat kesulitan bagi mereka.[1]

Dr. Syauqi Ibrahim ‘Allam, Mantan Mufti Mesir ada membawakan beberapa dalil bagi pendapat yang menyatakan  bahawa tawaf wada‘ adalah sunat ( iaitu pendapat yang dipilih oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah). Di antaranya adalah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ، إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنِ المَرْأَةِ الحَائِضِ

Maksudnya: “Orang ramai (jemaah haji atau umrah) diperintahkan untuk menjadikan akhir keberadaannya melakukan tawaf wada‘ di Baitullah, kecuali bagi wanita yang sedang haid.”

Riwayat Muslim (1328)

Baginda SAW memberikan keringanan (rukhsah) kepada wanita yang haid untuk meninggalkan tawaf wada‘ dan tidak memerintahkannya dengan dam atau seumpamanya, yang menunjukkan ia adalah sunat; kerana jika ia adalah wajib, maka dia akan mewajibkan dam ke atas wanita haid disebabkan meninggalkannya.[2]

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Ummul Mukminin Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ أَرَادَ مِن صَفِيَّةَ بَعْضَ مَا يُرِيدُ الرَّجُلُ مِن أَهْلِهِ، فَقَالُوا: إِنَّهَا حَائِضٌ يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: وَإِنَّهَا لَحَابِسَتُنَا؟ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّهَا قَدْ زَارَتْ يَومَ النَّحْرِ، قَالَ: فَلْتَنفِرْ مَعَكُمْ

Maksudnya: “Rasulullah SAW ingin untuk melakukan dengan Safiyyah apa yang seorang suami lakukan dengan isterinya. Mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, Safiyyah sedang haid.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Adakah dia akan menahan kita (daripada bergerak pulang)?’ Mereka menjawab: ‘Wahai Rasulullah, dia telah melakukan tawaf pada Hari Nahr.’ Rasulullah SAW pun bersabda: “Jika begitu, biarkan dia meneruskan perjalanan bersama kalian.’

Riwayat Muslim (1211)

Imam Abu al-Walid al-Baji al-Maliki menjelaskan bahawa hadith ini menunjukkan bahawa Baginda bimbang jika Safiyyah belum melakukan tawaf ifadhah, dan perkara itu akan menahan mereka di Makkah. Maka apabila diberitahu bahawa beliau sudah melakukan tawaf ifadhah, Baginda bersabda, “Bergerak keluarlah,” dan Baginda tidak menahan mereka di Makkah kerana sebab Safiyyah belum mengerjakan tawaf wada‘ seperti mana Baginda khuatir akan menahan mereka kerana belum lagi mengerjakan tawaf ifadhah. (Lihat al-Muntaqa, 2/293)

Syeikh al-Dardir al-Maliki dalam al-Syarh al-Kabir (2/53) menyatakan, disunatkan bagi sesiapa yang keluar dari Makkah, meskipun penduduk Makkah atau sesiapa yang datang ke sana untuk urusan perniagaan, untuk melakukan tawaf wada‘ jika ingin keluar, yakni berniat meninggalkan Makkah menuju tempat seperti al-Juhfah atau yang setara dengannya daripada baki miqat-miqat lain, sama ada dia berniat untuk kembali atau tidak. Pengecualian diberikan kepada orang yang sering berulang-alik ke Makkah untuk mencari kayu api atau seumpamanya; maka tidak diwajibkan ke atasnya tawaf wada‘.

Selain daripada itu ada juga yang membezakan di antara tawaf wada‘ bagi ibadah haji dan tawaf wada‘ bagi ibadah umrah. Ini adalah sebagaimana fatwa dalam al-Lajnah al-Da’imah. Mereka menyatakan, tawaf wada‘ diwajibkan kepada orang yang ingin pulang ke tempat mereka setelah menunaikan haji ke Baitullah, sebagaimana hadith Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: “Orang ramai pergi dari mana sahaja mereka berada, tetapi Rasulullah saw bersabda: ‘Janganlah seseorang daripada kamu pergi sehingga perkara terakhir yang dia lakukan ialah tawaf di Baitullah.’” Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim. Berdasarkan konteks, ini adalah perintah kepada jemaah haji, kerana Rasulullah SAW bersabda pada akhir waktu haji dan mengarahkannya pada jemaah haji.

Adapun orang yang mengerjakan umrah, tidak wajib baginya melakukan tawaf wada‘, akan tetapi disunatkan baginya melakukan tawaf di Kaabah ketika hendak pulang sebagaimana tidak ada dalil wajib untuk melakukan tawaf wada‘. Hal ini kerana Rasulullah SAW tidak melakukan tawaf wada‘ ketika Baginda meninggalkan Makkah setelah menunaikan umrah al-qadha’ sebagaimana yang kita ketahui daripada sunnah Baginda. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 11/336)

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz pula ketika ditanya berkenaan hukum tawaf wada‘ ketika umrah, beliau menjawab: “Pendapat yang utama dan yang tepat ialah tawaf wada‘ ketika umrah tidaklah wajib, tetapi ia disunatkan. Apabila seseorang itu melakukan tawaf wada‘ setelah melakukan umrah, maka itu lebih afdhal dan lebih utama, tetapi sekiranya, dia keluar dari Makkah dan tidak melakukan tawaf wada‘, maka tidak dikenakan apa-apa padanya. Adapun ketika haji, maka tawaf wada‘ adalah wajib kerana Nabi SAW bersabda: “Janganlah seseorang daripada kamu pergi sehingga perkara terakhir yang dia lakukan ialah tawaf di Baitullah.” Sabda Nabi SAW ditujukan kepada orang yang melakukan haji sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya: “Manusia diperintahkan agar menjadikan urusan terakhir mereka dengan tawaf sekeliling kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita yang sedang haid.

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Perempuan yang sedang dalam haid tidak perlu melakukan tawaf wada‘, begitu juga dengan perempuan yang berada dalam keadaan nifas. Manakala umrah pula, tidak wajib bagi yang menunaikannya melakukan tawaf wada‘, tetapi ia disunatkan.  (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 18/83-84).[3]

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, berkenaan dengan isteri yang telah memulakan tawaf wada‘ tetapi kemudian mengalami keuzuran disebabkan kehamilan sehingga tidak mampu menyelesaikan atau mengulangi tawaf tersebut kerana keuzuran yang berterusan, maka kami katakan bahawa tidak ada apa-apa tanggungan ke atasnya kerana meninggalkannya (yakni tidak dikenakan dam), dan hajinya tetap dikira sah selagi mana dia telah melakukan rukun-rukunnya dengan sempurna; kerana tawaf wada‘ adalah sunat menurut sebahagian pandangan yang terpilih, lebih-lebih lagi dia tidak dapat melakukannya kerana suatu keuzuran dan bukannya disengajakan, maka dia tidak diwajibkan membayar dam kerana meninggalkannya.

Al-‘Allamah Abu al-Hasan Ali bin Khalaf al-Manufi al-Maliki dalam Kifayah al-Talib al-Rabbani (1/547) menyatakan bahawa (apabila seseorang keluar) yakni ingin meninggalkan Makkah yang mulia, (dia hendaklah melakukan tawaf wada‘). Tawaf ini pula hukumnya adalah mustahab (sunat) dan tidak perlu membayar dam jika meninggalkannya.

Begitu juga Imam al-Nawawi ada menyatakan dalam Minhaj al-Talibin (hlm. 90) bahawa dalam satu pandangan (mazhab al-Syafi‘i), ia adalah sunat dan tidak diwajibkan.

Tambahan pula, tiada kewajipan apa pun bagi wanita haid tersebut menurut pandangan mereka yang mewajibkan tawaf wada‘; kerana dalam kaedah Hanafiyyah — yang termasuk dalam kalangan mereka yang berpendapat bahawa tawaf wada‘ adalah wajib — telah diputuskan bahawa meninggalkan ibadah wajib kerana keuzuran yang bukan berpunca daripada seseorang itu sendiri menggugurkan kewajipan membayar kaffarah. Oleh itu, dam tidak diwajibkan ke atas wanita yang mengalami haid sebelum melakukan tawaf wada‘, walaupun mereka berpendapat tawaf tersebut adalah wajib. Berdasarkan qiyas ini, sekiranya seseorang itu mengalami keuzuran yang di luar kawalannya dan berterusan sehingga menghalangnya daripada melakukan tawaf tersebut, maka tidak ada kewajipan ke atasnya.

Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam ‘Ala’uddin al-Kasani bahawa, tawaf al-Sadr (tawaf wada‘) adalah wajib menurut kami. Dalil kewajipannya adalah apa yang diriwayatkan daripada Nabi SAW yang bersabda: “Sesiapa yang melakukan haji ke Baitullah ini, maka tawaf hendaklah menjadi perpisahan terakhirnya dengannya (Baitullah).” Perintah secara mutlak menunjukkan kewajipan pelaksanaan, kecuali bagi wanita yang sedang haid, mereka dikecualikan daripada ketetapan umum ini berdasarkan dalil, iaitu apa yang diriwayatkan bahawa “Nabi SAW memberikan keringanan (rukhsah) kepada wanita yang haid untuk meninggalkan tawaf al-Sadr kerana alasan haid, dan tidak memerintahkan mereka untuk menggantikannya dengan sesuatu yang lain sebagai gantinya,” iaitu bayaran dam (denda). Ini adalah asas bagi kami bahawa dalam setiap ibadah yang boleh ditinggalkan kerana keuzuran, tiada kaffarah diwajibkan bagi mereka yang mempunyai keuzuran. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 2/142)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas serta dengan mengambil kira situasi saudara yang bertanya, kami berpendapat (sebagaimana yang kami sudah tegaskan di atas) bahawa tidak wajib dam ke atas isteri saudara yang sedang hamil yang mengalami alahan teruk seperti pening sehingga pengsan dan seumpamanya kerana meninggalkan tawaf wada‘. Demikianlah juga bagi wanita-wanita hamil lain yang mengalami keadaan yang sama. Haji mereka tetap dikira sah selagi mana mereka telah melakukan rukun-rukunnya dengan sempurna; kerana tawaf wada‘ adalah sunat menurut sebahagian pandangan yang terpilih, lebih-lebih lagi mereka meninggalkannya kerana suatu keuzuran dan bukannya disengajakan, maka tidak diwajibkan untuk membayar dam kerana meninggalkannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/12624/حكمطوافالوداع. Diakses pada 10 November 2024.

[2] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/20994/حكمتركطوافالوداعللمراةالحامل. Diakses pada 10 November 2024.

[3] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/13575/حكمطوافالوداعفيالعمرة%C2%A0هليلزماملا%C2%A0. Diakses pada 10 November 2024.