#7452: Fenomena Hidup Membujang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah baik kehidupan seseorang yang ingin membujang sampai ke tua?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkahwin merupakan naluri fitrah manusia untuk melakukan proses berkembang baik dan mengekalkan kemandirian kelompoknya. Perkahwinan juga merupakan sebuah anjuran dan galakan daripada Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT berfirman:

وَأَنكِحُوا۟ ٱلۡأَیَـٰمَىٰ مِنكُمۡ وَٱلصَّـٰلِحِینَ مِنۡ عِبَادِكُمۡ وَإِمَاۤىِٕكُمۡۚ إِن یَكُونُوا۟ فُقَرَاۤءَ یُغۡنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۗ وَٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعٌ عَلِیمࣱ

Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang dalam kalangan kalian, dan orang-orang yang baik dalam kalangan hamba kalian baik lelaki mahupun perempuan. Sekiranya mereka dalam keadaan fakir miskin, nescaya Allah akan mencukupkan rezeki buat mereka dengan limpah kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Nur: 32)

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas: “Ayat ini menyatakan bahawa hukum asal bernikah adalah sunat dan dianjurkan. Sesiapa yang berkemampuan zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia meneruskan tekad perkahwinan tersebut. Sesiapa yang boleh mampu, maka hendaklah dia menahan diri dan memelihara kehormatan.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 6/38)

Hukum asal berkahwin adalah sunat menurut persepakatan keempat-empat mazhab. Dari sudut perspektif pandangan mazhab al-Syafi‘i, hukum berkahwin secara umum adalah sunat bagi yang berkehendak ke arahnya dan berkemampuan. Al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami berkata: “[Ia] iaitu pernikahan dengan makna berkahwin itu [hukumnya adalah mustahab, dianjurkan bagi orang yang memerlukannya] iaitu berkemampuan dengan kekuatan dirinya untuk melaksanakan persetubuhan sekalipun lemah dalam bersetubuh [mempunyai kemampuan menafkahi] berupa mahar mas kahwin, pakaian pada musim-musim yang dialami, nafkah harian, (wajib diberi) meskipun dirinya sibuk dengan ibadah.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 7/183)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut: Tiada galakan membujang dalam Islam. Islam tidak melepaskan kawalannya begitu sahaja kepada keinginan seksual manusia tanpa batasan dan ikatan, justeru Islam mengharamkan zina dan segala sesuatu yang mendorong ke arah gejala itu. Namun di sisi lain, Islam menentang kecenderungan yang berlawanan iaitu menahan kehendak dan naluri seksual. Oleh sebab itu, Islam menggalakkan perkahwinan dan melarang tabattul (memutuskan diri daripada berkahwin dan menumpukan pada ibadat) serta mengasingkan diri.

Tidak sepatutnya bagi seorang Muslim menghindar daripada pernikahan dalam keadaan mampu melakukannya dengan alasan menyepi kerana Allah atau beralasan sibuk beribadat menjadikannya pendeta dan memutuskan diri daripada dunia. Rasulullah SAW telah mengisyaratkan kepada sebahagian sahabatnya bahawa kecenderungan mengamalkan kependetaan ini dan baginda menjelaskan bahawa ia tersasar daripada ajaran Islam dan bertentangan dengan sunnah Baginda SAW. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا أَنَا أَعْلَمُكُمْ بِاللهِ، وَأَخْشَاكُم لَه، وَلكِنِّي أَقُومُ وأنامُ، وأَصُومُ وأُفْطِرُ، وأَتَزوَّجُ النِّسَاءَ، فمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “Akulah yang paling mengenal Allah dan paling takut kepada-Nya berbanding kamu sekalian akan tetapi aku bangun (untuk beribadat) dan tidur, aku berpuasa dan berbuka, aku mengahwini wanita. Barang siapa yang membenci sunahku maka ia bukanlah dalam kalanganku.”

Riwayat Bukhari (5063) dan Muslim (1401)

Sa’ad bin Abi Waqqas berkata:

 رَدَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى عُثْمَان ابْن مَظْعُونٍ التَّبَتُّلَ وَلَوْ أَذِنَ لَهُ لَاخْتَصَيْنَا

Maksudnya: Rasulullah SAW telah melarang Uthman bin Maz’un daripada tabattul. Jika Rasulullah SAW mengizinkannya, nescaya kami akan mengasi (membuang alat kelamin) diri kami.

Riwayat Bukhari (5073) dan Muslim (1402)

Rasulullah SAW menyeru para pemuda secara keseluruhan, baginda bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيتَزَوَّجْ؛ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ

Maksudnya: “Wahai para pemuda barang siapa antara kamu yang kemampuan, maka bernikahlah. Kerana sesungguhnya pernikahan itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan.”

Riwayat Bukhari (5066)

Atas dasar itu, sebahagian ulama berpendapat bahawa pernikahan itu adalah fardu ke atas muslim yang tidak boleh ditinggalkan selagimana mampu. Tidak selayaknya seseorang muslim menahan diri daripada berkahwin kerana takutkan kesempitan hidup atau takut berat tanggungjawabnya. Seseorang itu perlu mencuba dan berusaha mencari kurnia Allah dan pertolongan yang telah dijanjikan-Nya kepada orang yang berkeluarga yang mana mereka digalakkan untuk memelihara diri daripada maksiat. Allah SWT berfirman:

وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dalam kalangan kamu dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Nur: 32)

Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ حَقَّ عَلَى اللهِ عَوْنُهُمْ: النَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ العَفَافَ، وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الْأَدَاءَ، – أَي الْعَبْدُ الَّذِي يُرِيدُ أَنْ يُحَرِّرَ رَقَبَتَهُ بِبَدْلِ مِقْدَارٍ مِنَ الْمَالِ يُكَاتِبُ عَلَيْهِ سَيِّدُهُ – وَالغَازِيْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: “Ada tiga kelompok manusia yang Allah SWT pasti menolong mereka. Pertama, orang yang berkahwin kerana ingin menjaga dirinya daripada zina. Kedua, hamba sahaya yang bermaksud membebaskan dirinya dengan menyerahkan harta kepada tuannya. Ketiga, orang yang berperang di jalan Allah.”

Riwayat Ahmad (9631), al-Tirmizi (1655), al-Nasa’ie (3120) dan Ibn Majah (2518).

Antara anugerah serta pertolongan Allah yang dijanjikan kepada setiap orang yang beriman yang ingin memelihara dirinya dengan perkahwinan. Masyarakat Islam yang mewakili kerajaan atau institusi zakat berperanan menghulurkan bantuan dalam urusan mahar dan nafkah keluarga jika memang benar-benar memerlukannya sehingga ia mampu memenuhi seruan Islam untuk menjaga pandangan dan kemaluannya dan menegakkan keluarga Islam serta mengetahui ayat-ayat Allah yang nyata sesuatu yang perlu diambil perhatian oleh hamba-Nya sebagaimana firman-Nya:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya, yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Sesungguhnya apa yang dinyatakan ini bukanlah semata-mata rekaan atau ijtihad saya sendiri tanpa didahului oleh mana-mana pandangan. Tetapi sesungguhnya masalah ini telah ditetapkan oleh ulama semenjak beberapa abad yang lalu. Mereka menetapkan bahawa perkahwinan merupakan kesempurnaan hidup. Mereka menyatakan: “Antara kesempurnaan hidup ialah si fakir dapat dibantu untuk melangsungkan pernikahan apabila dia tidak mempunyai isteri dan memerlukan perkahwinan.”Keadaan ini sebagaimana telah kami jelaskan pada bahagian golongan yang berhak menerima zakat. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/403 – 405)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”