Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. benarkah ibadat zakat sebagai lambang seseorang itu mensyukuri kurniaan Allah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”
(Surah Ibrahim: 7)
Ibn Kathir menyebutkan bahawa ayat di atas bermaksud sekiranya seseorang itu bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan kepadanya, maka Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat tersebut ke atas dirinya. Namun, sekiranya dia mengingkari nikmat itu, maka sesungguhnya azab Allah sangatlah pedih. Perkara tersebut adalah dengan menarik kembali nikmat itu daripada diri mereka dan menyeksa mereka disebabkan oleh pengingkaran terhadap nikmat tersebut. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni, 2/291)
Dikatakan juga bahawa “لَأَزِيدَنَّكُمْ” di sini bermaksud Allah SWT akan tambahkan lagi kepada mereka ketaatan kepada-Nya. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 330)
Betapa pentingnya syukur sehingga Nabi Allah Sulaiman memohon untuk mendapatkan syukur. Firman Allah SWT:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”
(Surah al-Naml: 19)
Al-Syaukani berkata: Disebut dalam al-Kassyaf: “Hakikat ‘أَوْزِعْنِي’ adalah, jadikanlah aku dapat mengatur kesyukuran atas nikmat-Mu kepadaku, mempertahankan dan mengikatnya agar tidak lagi lepas dariku, sehingga menjadikan aku selalu bersyukur kepada-Mu.”
Al-Wahidi berkata: ‘أَوْزِعْنِي’ maksudnya iaitu ilhamkanlah aku agar mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau anugerahkan kepadaku.” Al-Qurtubi berkata: Asal perkataan tersebut daripada ‘وَزَعَ’ (mencegah), jadi seakan-akan dia berkata: ‘Cegahlah aku daripada perkara-perkara yang menimbulkan kemurkaan-Mu.’ (Lihat Fath al-Qadir, 8/286)
Sayyid Qutb dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Doa Nabi Sulaiman AS ini dimulakan dengan “رَبِّّ” (“Wahai Tuhanku!). Di sini beliau menggunakan kata-kata seruan dari dekat dan secara langsung. Kemudian beliau memohon dengan “أَوْزِعْنِي” (Ilhamkanlah aku) atau tumpahkan diriku yakni kumpulkan seluruh diriku dan anggotaku, perasaanku, lidahku, hatiku, fikiranku, perkataanku, susunan perkataanku, amalanku dan tujuanku. Begitu juga seluruh daya tenagaku supaya seluruhnya ditumpukan “agar tetap bersyukur dengan nikmat yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua-dua ibubapaku.”
Ungkapan ini membayangkan nikmat Allah yang telah mengharukan hati Nabi Sulaiman AS pada saat itu dan menggambarkan bentuk perasaan keterharuan, kekuatan tawajjuh dan rasa hatinya yang bergelora ketika beliau menyedari nikmat Allah dan limpah kurniaan kepadanya dan kepada kedua ibubapanya. Beliau mengalami nikmat dan rahmat Allah itu dengan penuh perasaan lalu memohon seperti doa di atas. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 12/155)
Allah SWT berfirman:
اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا
Maksudnya: “Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!”
Surah Saba’ (13)
Ibn Kathir berkata: Iaitu, Kami katakan kepada mereka: “Beramallah kamu sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat yang diberikan kepada kamu dalam agama dan dunia. Perkataan ” شُكْرًا” adalah masdar yang bukan dari fi’il (اعْمَلُوا) atau ia adalah dalam bentuk maf’ul lahu (مفعول له). Atas asas kedua-dua taqdir tersebut, menunjukkan bahawa syukur boleh dilakukan dengan perbuatan serta perkataan dan niat.
Abu Abd al-Rahman al-Hubuli berkata: “Solat adalah syukur, puasa adalah syukur dan setiap kebaikan yang dikerjakan kerana Allah SWT adalah syukur. Seafdhal-afhal syukur adalah pujian.”
Beliau dan Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahawa Muhammad bin Ka’ab al-Qurazhi berkata: “Syukur adalah takwa kepada Allah SWT dan beramal soleh.” Ini dikatakan bagi orang yang sedang berusaha melakukan perbuatan. Demikian juga keluarga Daud AS, mereka menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan perkataan dan perbuatan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/500)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata: Zakat merupakan manifestasi syukur atas nikmat Allah SWT. Sebagaimana sedia maklum, perkara yang sentiasa dilaungkan oleh akal dan diakui oleh fitrah, diseru oleh akhlak dan moral digalakkan akkan oleh setiap agama dan syariat, serta bahawa mengiktiraf sesuatu keindahan dan syukur terhadap nikmat itu merupakan sesuatu kemestian. Zakat akan membangkitkan dalam jiwa orang yang mengeluarkannya makna syukur kepada Allah SWT, mengiktiraf kurniaan-Nya, serta ihsan-Nya, sesungguhnya Allah SWT sebagaimana disebut oleh Imam al-Ghazali, sentiasa memberikan nikmat kepada hambaNya, baik yang berhubungan dengan diri mahupun hartanya.
Ibadat fizikal merupakan pembuktian rasa syukur terhadap segala nikmat badan, dan ibadat harta merupakan pembuktian rasa syukur terhadap nikmat harta. Alangkah ruginya orang yang mengetahui adanya orang fakir yang sempit rezekinya, yang sangat memerlukan, kemudian orang itu tidak mengizinkan dirinya untuk menunaikan kesyukuran kepada Allah SWT yang mana dikurniakan kepadanya keadaan tidak perlu meminta-minta dengan memberi kepada orang yang meminta sebanyak 2.5% atau 10% daripada hartanya. (Lihat al-Ihya’, 1/193)
Antara prinsip yang mengakar bagi makna ini dalam pemikiran dan naluri orang Islam, adalah zakat itu merupakan imbalan kepada nikmat, iaitulah setiap nikmat itu mesti dibalas dengan pemberian zakat sama ada nikmat itu bersifat material ataupun maknawi. Ucapan seperti ini tersebar dalam kalangan umat Islam: “Tunaikanlah zakat ke atas kesihatanmu, cahaya mata dan penglihatanmu, ilmumu, hasil kecerdikan anakmu dan begitulah seterusnya. Ini adalah suatu prinsip yang tepat dan indah. Diriwayatkan dalam sebuah hadis:
لِكُلِّ شَيْءٍ زَكَاةٌ
Maksudnya: “Segala sesuatu itu ada zakatnya.”
Riwayat Ibn Majah (1745), Ibn Abi Syaibah (2/274), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (2/292).
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”