Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah apabila seseorang mengeluarkan zakat boleh menghilangkan rasa cinta kepada dunia?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Maksudnya: “Ketahuilah kamu bahawa kehidupan dunia hanyalah permainan, hiburan, perhiasan, kebanggaan sesama kamu, dan tempat menambah harta dan anak-pinak, sama seperti air hujan yang para petani berasa takjub dengan hasil yang tumbuh daripadanya, setelah tumbuhan itu menghijau, ia kemudian menjadi kuning dan seterusnya hancur. Di akhirat nanti terdapat azab yang dahsyat dan keampunan daripada Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia itu hanyalah nikmat yang sementara yang tidak kekal.”
(Surah al-Hadid: 20)
Sayyid Qutb ketika mengulas ayat ini mengatakan bahawa kehidupan dunia apabila diukur dengan ukuran dunia dan ditimbangkan dengan neraca dunia, maka ia akan dilihat dan dirasakan sebagai satu kehidupan yang amat agung dan besar. Namun, apabila diukur dengan ukuran alam buana dan ditimbangkan di atas neraca akhirat, maka ia akan kelihatan sangat kecil dan kerdil. Gambaran kehidupan dunia di sini, kelihatan seperti mainan kanak-kanak yang kecil sahaja jika hendak dibandingkan dengan kebesaran kehidupan akhirat, sekalipun pada zahirnya kelihatan kehidupan dunia itu satu kehidupan yang penuh dengan kesungguhan dan kesibukan. Oleh sebab itu, al-Quran membandingkan kehidupan dunia ini sama seperti air hujan yang para petani berasa takjub dengan hasil yang tumbuh daripadanya. Makna al-kuffar (الكُفَّارُ) di sini ialah para petani yang melindungi biji-bijian dan menimbusnya dengan timbusan tanah. Akan tetapi pemilihan kata-kata ini di sini mengandungi maksud sindiran untuk menunjukkan bahawa orang kafir itu amat tertarik dengan kehidupan dunia. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 6/3491)
Al-Maraghi menambah lagi dengan menyatakan, kehidupan dunia dari aspek kebinasaan dan kemusnahan yang begitu cepat diumpamakan seperti tanah yang ditimpa hujan lebat. Seterusnya, Dia menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang mengagumkan para petani dan menjadikan mereka berasa gembira, rasa tertarik, bersuka ria dan bersenang-senang, namun ketika mereka diasyikkan dengan keadaan demikian, tiba-tiba tanam-tanaman itu menjadi kering dan hancur berterbangan ditiup angin. Justeru, kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan dan kenikmatan yang akan mengalami kemusnahan, tidak kekal dan hanya cenderung memperdayakan orang dan sememangnya sudah ramai orang yang telah terpedaya dan kagum terhadapnya sehingga mereka berkeyakinan bahawa tidak ada negeri lain selain dunia ini dan tidak ada tempat kembali lagi di seberang sana. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 27/177-178)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata: Zakat dapat merawat hati daripada cinta dunia. Zakat dari sudut yang lain merupakan suatu peringatan bagi hati atas kewajipannya kepada Tuhan dan hari akhirat serta merupakan rawatan supaya hati tidak tenggelam kepada kecintaan terhadap harta dan dunia. Kerana sesungguhnya tenggelam kepada kecintaan dunia, sebagaimana dikemukakan oleh al-Razi, boleh memalingkan jiwa dari kecintaan kepada Allah SWT dan persediaan untuk akhirat. Hikmah syariat menuntut taklifan ke atas pemilik harta untuk mengeluarkan sebahagian harta daripada tangannya, maka diharapkan pengeluaran itu dapat menahan kecenderungan yang bersangatan terhadap harta, menahan supaya jiwa tidak dikuasainya dan memberikan peringatan bahawa kebahagiaan hidup itu tidaklah tercapai dengan menyibukkan diri mencari harta. sebaliknya dapat dicapai dengan menginfakkan harta, dalam rangka meraih redha Allah SWT. Maka kewajipan berzakat itu merupakan rawatan yang sesuai untuk menghilangkan rasa cinta kepada dunia daripada harta. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 16/101)
Selanjutnya, Imam al-Razi menjelaskan rahsia di sebalik hati manusia dikuasai oleh kecintaan kepada dunia dengan katanya: “Sesungguhnya banyak harta akan menyebabkan kuasa yang bersangatan dan kesempurnaan kemampuan, dan dengan bertambahnya harta akan menyebabkan bertambahnya kemampuan. Bertambahnya kemampuan akan menyebabkan bertambahnya ruang untuk menikmati kemampuan itu, manakala bertambahnya kelazatan itu, mengakibatkan manusia berusaha untuk mendapatkan harta supaya menjadi sebab kepada tercapainya kelazatan yang berganda-ganda. Dengan cara ini akan terhasillah suatu lingkaran, iaitu: jika manusia sungguh-sungguh berusaha mendapatkan harta, ia akan menyebabkan bertambahnya kemampuan. Dengan kemampuan akan bertambah lagi kelazatan yang akan mendorong manusia untuk terus mencari harta. Dengan cara ini akan berkembang menjadi suatu masalah lingkaran yang tidak pernah terputus dan tiada pengakhiran, maka syariat memutus dan menetapkan penghujungnya, iaitu dengan mewajibkan pemilik harta untuk mengeluarkan sebahagian harta itu sebagai infak dalam rangka mencari redha Allah SWT sehingga memalingkan nafsu daripada jalan yang gelap yang tiada penghujungnya, dan mengarahkannya kepada alam memperhambakan diri kepada Allah SWT dan mendambakan redhaNya.”
Ini bermaksud, Allah SWT tidak menyukai hamba-Nya yang beriman berjalan di atas lingkaran kosong yang tidak diketahui penghujungnya, iaitu lingkaran asasnya adalah pengumpulan harta dan kecenderungan yang berlebih-lebihan pada harta. Akan tetapi Allah SWT mengingatkan manusia, bahawa harta itu hanyalah sekadar alat, bukan tujuan. Tuhan seolah-olah menyatakan kepada manusia: Pada tempat di lingkaran tersebut berhentilah kamu, infakkan dan sedekahkan, keluarkan hak Allah SWT, hak orang-orang fakir dan masyarakat.
Sesungguhnya Allah SWT mengizinkan orang Muslim untuk mengumpulkan harta, mengharuskan perkara-perkara baik di dunia, tetapi Dia tidak reda jika manusia berhenti pada matlamat kehidupan dunia sahaja, kerana sesungguhnya manusia diciptakan untuk suatu tujuan yang tinggi dan mulia serta tempat yang abadi. Dunia diciptakan untuk manusia sedangkan manusia diciptakan untuk akhirat dan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Dunia ini adalah jalan untuk mencapai akhirat. Tidak mengapa manusia berhias dengan jalannya itu, tetapi jangan lupa bahawa dia berjalan ke arah suatu sasaran dan beramal untuk suatu tujuan yang tertinggi.
Allah SWT akan memberikan harta kepada orang yang dicintai-Nya dan kepada orang yang tidak dicintai-Nya sama ada mukmin atau kafir, orang baik atau orang jahat. Firman-Nya:
كُلًّا نُّمِدُّ هَٰؤُلَاءِ وَهَٰؤُلَاءِ مِنْ عَطَاءِ رَبِّكَ ۚ وَمَا كَانَ عَطَاءُ رَبِّكَ مَحْظُورًا
Maksudnya: “Tiap-tiap golongan daripada keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka daripada pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun).”
(Surah al-Isra’: 20)
Wujudnya harta pada tangan manusia bukanlah petanda akan keutamaan dan kebaikannya. Petanda utama dan baik itu, apabila harta diserahkan kepada Allah SWT, diinfakkan pada jalan-Nya dan mencari keredaan-Nya. Sesungguhnya harta dalam pandangan Islam adalah kebaikan dan nikmat, tetapi dengan kebaikan itu, manusia akan diuji, sebagaimana dia diuji dengan keburukan. Firman-Nya:
وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً
Maksudnya: “Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan.”
(Surah al-Anbiya’: 35)
إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ ۚ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.”
(Surah al-Taghabun: 15)
فَأَمَّا الْإِنسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ
Maksudnya: “(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku”.
(Surah al-Fajr: 15)
Orang yang bahagia adalah orang yang memandang amanah pada harta dan menguasainya, sehingga dia mampu menginfakkannya sesuai dengan perintah Allah SWT dalam firman-Nya:
وَأَنفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُم مُّسْتَخْلَفِينَ فِيهِ
Maksudnya: “Dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil.”
(Surah al-Hadid: 7)
Zakat melatih seorang muslim untuk berhadapan fitnah harta dan fitnah dunia dengan mempersiapkan jiwa untuk menyerahkan harta semata-mata kerana menurut perintah Allah SWT dan mencari reda-Nya.
Sesungguhnya, musibah terburuk yang menimpa umat dan menjadikan jumlahnya yang banyak seperti buih, diperdaya dengannya oleh musuh-musuhnya iaitu umatnya dijangkiti penyakit wahan (cinta dunia dan benci mati) yang memabukkan jiwa, menghancurkan keazaman serta membunuh roh maknawi. Rahsia penyakit wahan ini sebagaimana kita ketahui adalah daripada hadis Rasulullah SAW terangkum pada dua perkara:
حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتَ.
Maksudnya: “Iaitu cinta dunia dan membenci kematian.”
Riwayat Abu Daud (4297), Ahmad (22397). Dinilai sahih dalam Sahih al-Jami’ (8183)
Apabila seorang Muslim mengetahui bahawa dengan meninggalkan dunia untuk akhirat, menyerahkan harta kerana Allah dan mengetepikan hawa nafsunya untuk kemaslahatan dan keperluan orang lain, maka penyakit wahan telah dihancurkan, membina kekuatan jiwa dan pada akhirnya pada kekuatan umat. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/351 – 353)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”