#7455: Tiada Larangan untuk Wanita Solat Berjemaah di Masjid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adalah terdapat larangan dari wanita solat berjemaah di masjid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu bahawa kami pernah menerbitkan artikel yang membincangkan topik ini secara lanjut. Saudari boleh merujuk artikel yang bertajuk: “Tempat Terbaik Bagi Wanita untuk Solat” dan artikel lain yang bertajuk: “Wanita Lebih Afdhal Solat Berjemaah Sesama Wanita atau Bersendirian?.” Berdasarkan kedua-dua penulisan tersebut, dapat dirumuskan bahawa tempat terbaik bagi wanita untuk mendirikan adalah di rumah, khususnya di ruang tertutup. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Mas‘ud R.A yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

صَلاَةُ الْمَرْأَةِ فِي بَيْتِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلاَتِهَا فِي حُجْرَتِهَا وَصَلاَتُهَا فِي مَخْدَعِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلاَتِهَا فِي بَيْتِهَا

Maksudnya: “Solat seorang wanita di bilik tidurnya adalah lebih baik daripada solat di ruang tamu rumahnya, dan solat di bilik persendiriannya adalah lebih baik daripada solat di bilik tidurnya.”

Riwayat Abu Daud (570)

Begitu juga seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW kepada Ummu Humaid al-Sa‘idi R.Anha:

وَصَلاَتُكِ فِي بَيْتِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي حُجْرَتِكِ، وَصَلاَةٌ فِي حُجْرَتِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي دَارِكِ، وَصَلاَتُكِ فِي دَارِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ، وَصَلاَتُكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي مَسْجِدِ الْجَمَاعَةِ

Maksudnya: “Solatmu di bilik tidurmu adalah lebih baik dibandingkan dengan solatmu di ruang tamu, dan solatmu di ruang tamu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di halamanmu[1], dan solatmu di halamanmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku.”

Riwayat Ahmad (26550)

Meskipun solat di masjid atau surau dibolehkan, wanita dinasihatkan untuk memenuhi syarat-syarat tertentu seperti mendapat keizinan dari suami, menjaga aurat, dan tidak berhias secara berlebih-lebihan.

Berbalik kepada persoalan berkenaan larangan dari wanita untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid, jelas sekali bahawa tidak terdapat sebarang larangan. Bahkan Rasulullah SAW menegah para suami dari melarang wanita untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid dalam keadaan aman dari sebarang fitnah. Ini sebagaimana dalam riwayat Abdullah bin ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِِذَا اسْتَأْذَنَتِ امْرَأَةُ أَحَدِكُمْ فَلَا يَمْنَعْهَا

Maksudnya: “Apabila isteri salah seorang daripada kamu meminta izin (untuk ke masjid) maka janganlah kamu melarangnya.”

Riwayat al-Bukhari (873) dan Muslim (442)

Dalam hadith yang lain, Abdullah bin ‘Umar R.A menceritakan tentang salah seorang isteri ‘Umar yang menghadiri solat Subuh dan Isyak, sedangkan ‘Umar tidak menyukai perkara tersebut dan beliau dikenali sebagai seorang yang cemburu. Lalu isteri ‘Umar R.A berkata bahawa ia bercanggah dengan sabda Rasulullah SAW:

لَا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ

Maksudnya: “Jangan kamu larang isteri-isteri kamu dari (bersolat) di masjid-masjid, akan tetapi rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka.”

Riwayat al-Bukhari (900) dan Muslim (442)

Akan tetapi, seandainya tiba satu zaman di mana wanita yang keluar ke masjid untuk mendirikan solat berjemaah itu menjadi suatu fitnah, maka ketika itu wajar dilarang para wanita dari bersembahyang di masjid. Hal ini selari dengan fatwa Dar al-Ifta’ al-Urduniyyah yang menyebutkan bahawa menghalang dari berlakunya fitnah yang diyakini berlaku di antara lelaki dan wanita itu merupakan satu kefardhuan, manakala solat berjemaah bagi wanita di masjid adalah sunnah, sedangkan fardhu itu perlu didahulukan berbanding sunnah.[2] Ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh:

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ أَوْلَى مِنْ جَلْبِ الْمَنَافِعِ

Maksudnya: “Menolak kerosakan itu lebih didahulukan berbanding mendapatkan maslahah.”

Adapun sekiranya fitnah yang mungkin berlaku itu tidak secara pasti, maka hukumnya adalah makruh. Inilah yang difahami dari kalam pengarang kitab ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik (hlm. 66), iaitu dimakruhkan ke atas wanita yang muda dan menarik perhatian dari menghadiri masjid meskipun dalam keadaan aman dari fitnah, dan tidak dimakruhkan ke atas selain mereka.

Atas dasar fitnah yang berlaku semasa ke masjid juga, Saidatina ‘Aisyah R.Anha pernah mengungkapkan:

لَوْ أَدْرَكَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ المَسْجِدَ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Maksudnya: “Jika Rasulullah SAW mengetahui apa yang terjadi dengan kaum wanita sekarang, nescaya Baginda akan melarang mereka keluar ke masjid sebagaimana dilarangnya kaum wanita Bani Israil.”

Riwayat al-Bukhari (869) dan Muslim (445)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan di atas, kami katakan bahawa tidak terdapat larangan yang jelas dari wanita menunaikan solat di masjid secara berjemaah dalam keadaan diketahui aman dari sebarang fitnah. Meskipun begitu rumah dan kediaman peribadi merupakan tempat yang paling baik dan selamat dari fitnah bagi kaum wanita, dan Rasulullah SAW lebih tahu akan perkara tersebut. Oleh yang demikian, kita melihat beberapa riwayat menceritakan bagaimana galakan Baginda ke atas kaum wanita untuk menunaikan solat di rumah sahaja.

Sekiranya wanita masih hendak ke masjid untuk mendirikan solat demi mendapatkan ganjaran pahala yang besar, sebagai contoh semasa melakukan umrah atau haji yang mungkin hanya sekali seumur hidup sahaja berpeluang untuk melakukannya, maka tidak menjadi masalah untuk mereka solat di Masjid Nabawi atau Masjidil Haram, dengan memenuhi syarat-syarat berikut:

Namun begitu, perlu diingatkan terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh wanita atau isteri tersebut. Antaranya adalah;

  • Mendapat keizinan suami;
  • Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan;
  • Tidak memakai wangi-wangian;
  • Tiada percampuran lelaki dan perempuan serta segera pulang ke rumah setelah selesai solat.

Semoga kita beroleh kefahaman dan ketepatan dalam menunaikan segala amal ibadah di samping mengejar ganjaran pahala yang disediakan Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا الْقَنَاعَةَ وَوَفِّقْنَا لِلطَّاعَةِ وَحَبِّبْنَا فِي صَلَاةِ الْجَمَاعَةِ وَاحْشُرْنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَعَ صَاحِبِ الشَّفَاعَةِ

Maksudnya: “Ya Allah rezekikan kami kecukupan, dan kurniakan kami ketaatan, dan wujudkan kecintaan solat berjemaah, dan bangkitkanlah kami pada hari kiamat bersama pemilik syafaat (Rasulullah SAW).”

Wallahu a‘lam

Nota hujung:

[1] Al-Dar (الدَّارُ) ini disyarahkan oleh Syeikh Ahmad bin ‘Abd al-Rahman al-Banna al-Sa‘ati sebagai satu ruangan halaman yang terdapat pintu ke arah ruang tamu di dalamnya. (Lihat al-Fath al-Rabbani, 5/198)

[2] Lihat https://www.aliftaa.jo/fatwa/2138/%d8%ad%d9%83%d9%85-%d8%ae%d8%b1%d9%88%d8%ac-%d8%a7%d9%84%d9%86%d8%b3%d8%a7%d8%a1-%d9%84%d8%ad%d8%b6%d9%88%d8%b1-%d8%b5%d9%84%d8%a7%d8%a9-%d8%a7%d9%84%d8%ac%d9%85%d8%a7%d8%b9%d8%a9-%d9%88%d8%aa%d8%ae%d8%b5%d9%8a%d8%b5-%d9%85%d9%83%d8%a7%d9%86-%d9%84%d9%87%d9%86. Diakses pada 11 November 2024.