Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah orang yang melaksanakan ibadat zakat akan menghasilkan kasih sayang dan cinta daripada orang ramai?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَقِیمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَمَا تُقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُم مِّنۡ خَیۡرࣲ تَجِدُوهُ عِندَ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِیرࣱ
Maksudnya: “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Apa sahaja kebajikan yang kamu lakukan untuk diri kamu, kamu akan dapati ganjarannya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Baqarah: 110)
Imam Ibn Jarir al-Tabari mengatakan ketika menafsirkan ayat ini: “Solat merupakan tali penyambung antara hamba dengan Tuhan, manakala zakat adalah tali pengerat antara hamba sesama hamba, sesama manusia. Demikianlah sifat seorang Muslim yang baik dan berbahagia, memelihara hubungan dengan Allah, dan hubungan sesama makhluk. Dan setiap pemberian zakat atau sedekah yang diberikan pasti pemberinya akan mendapati pahalanya yang agung dan berganda di sisi Allah SWT.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Qur’an, 2/241-242)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:
تَهَادَوْا تَحَابُّوا
Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.”
Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)
Nas ini menunjukkan kepada kita agar kita saling memberi hadiah kerana ia mengikatkan perasaan kasih sayang serta penghormatan. Ia juga lambang sebuah persahabatan atau ikatan yang baik yang dibina sesama manusia mahupun kaum keluarga. Tidak pelik, Rasulullah SAW banyak memberi hadiah kepada sahabat-sahabatnya, sebagai contoh, nabi SAW memerdekakan semua hamba sahaya baginda SAW dan bersedekah 7 dinar yang ada dalam simpanannya. Baginda SAW membahagikan senjata-senjata kepada orang Islam. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 232)
Al-’Allamah Amir al-Sana’ni dalam kitabnya al-Tanwir Syarh Jami’ al-Saghir menyebutkan bahawa: “Ini kerana pemberian hadiah, ia dapat dicapai seperti apa yang dikehendaki oleh Allah SWT daripada kelembutan hati dan salin cenderung antara satu sama lain. (Lihat al-Tanwir Syarh Jami’ al-Saghir,1/381)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Zakah (2/354 – 355) yang menyebut:
Zakat mampu mengikat antara orang kaya dengan masyarakatnya, dengan ikatan yang kukuh, penuh dengan kecintaan, persaudaraan dan tolong menolong. Kerana manusia apabila mengetahui ada kecenderungan memberikan kemanfaatan kepada mereka, berusaha untuk memberikan kebaikan kepada mereka dan menolak kemudaratan daripada mereka, maka secara nalurinya mereka akan mencintai orang itu, jiwa mereka pasti akan tertarik kepadanya, sebagaimana dinyatakan dalam sebuah athar:
إِنَّ الْقُلُوبَ جُبِلَتْ عَلَى حُبِّ مَنْ أَحْسَنَ إِلَيْهَا وَبُغْضِ مَنْ أَسَاءَ إِلَيْهَا.
Maksudnya: “Hati secara automatik akan tertarik untuk mencintai orang yang berbuat baik kepadanya dan membenci orang yang berbuat jahat kepadanya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6/481) daripada Ibn Mas’ud secara mauquf. Abu Nu’aim meriwayatkan dalam al-Hilyah (4/121), al-Qudha’i dalam al-Musnad (1/350) dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil (2/286)
Orang-orang fakir jika mengetahui bahawa seseorang yang kaya memberikan sebahagian hartanya kepada mereka, dan jika hartanya bertambah banyak, akan banyak pula yang diberikan kepada mereka, maka pasti mereka akan mendoakannya. Pada hati ada kesannya, pada jiwa ada nyalaan kasih sayang sehingga doa-doa tersebut menyebabkan kekalnya kebaikan dan kesuburan, sebagaimana dikemukakan oleh al-Razi dan padanya terdapat isyarat menerusi firman Allah SWT:
وَأَمَّا مَا يَنفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الْأَرْضِ
Maksudnya: “Manakala, benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi.”
(Surah al-Ra’d: 17)
Dan juga hadis Nabi SAW:
حَصِّنُوا أَمْوَالَكُمْ بِالزَّكَاةِ
Maksudnya: “Peliharalah harta kamu sekalian dengan zakat.”
Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil (105) daripada al-Hasan. Diriwayatkan juga oleh al-Tabarani dalam al-Ausat (2/274) dan al-Kabir (10/128) daripada Abdullah bin Mas’ud, al-Baihaqi dalam al-Kubra (3/382).
Antara hikmah zakat, menjadikan pemberi zakat adanya sifat karam atau mulia dan pemurah. Hasilnya, penerima zakat merasa gembira dan berterima kasih kepada pemberi zakat. Maka lahirlah daripadanya sifat ehsan serta kasih sayang yang tinggi antara dua pihak. Ketika itu, sifat cinta dan menghormati antara satu sama lain dipupuk dengan sebaiknya.
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”