#7458: Harta Akan Bersih dengan Sebab Zakat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah benar, harta akan bersih apabila seseorang itu menunaikan ibadat zakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/913)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/10) berkata: Perkataan zakat (الزَّكَاة) diambil daripada (زَكَا الشَّيْء), yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجارة), yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah.

Zakat juga bererti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).”

 (Surah al-Syams: 9)

Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk.

Zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut:

Zakat sepertimana membersihkan dan menyucikan jiwa, zakat juga membersihkan dan mengembangkan harta orang kaya. Kerana hubungan hak orang lain dengan sesuatu harta, akan menyebabkan harta tersebut bercampur dengan kotoran, yang tidak boleh bersih kecuali dengan mengeluarkannya. Berkaitan dengan makna ini, sebahagian daripada ulama salaf telah berkata:

الْحَجَرُ الْمَغْصُوبُ فِي الدَّارِ رَهْنٌ عَلَى خَرَابِهَا.

Maknanya: “Batu hasil rampasan di dalam rumah adalah ibarat cagaran kepada kemusnahan rumah tersebut.”

Demikian pula dirham yang merupakan hak orang fakir terhadap harta, adalah menjadi cagaran kepada kekotoran keseluruhan harta tersebut.

إِذَا أَدَّيْتَ زَكَاةَ مَالِكَ، فَقَدْ أَذْهَبْتَ عَنْكَ شَرَّهُ.

Maksudnya: “Apabila engkau telah mengeluarkan zakat harta, maka sesungguhnya engkau telah menghilangkan keburukannya.”

Riwayat Ibn Khuzaimah (1439)

Lebih daripada itu, Rasulullah SAW ada bersabda iaitu:

حَصِّنُوا أَمْوَالَكُمْ بِالزَّكَاةِ.

Maksudnya: “Peliharalah harta kamu sekalian dengan zakat.”

Riwayat Abu Daud

Betapa perlunya orang kaya itu kepada pemeliharaan ini terutama pada zaman kita sekarang ini yang dikenali sebagai zaman kerosakan dan revolusi komunisme. Keterikatan hak golongan lemah dan fakir dengan harta orang kaya adalah merupakan keterikatan yang kuat sehingga sebahagian fuqaha berpendapat bahawa zakat itu berkaitan dengan zat harta bukan pada tanggungjawab orang kaya kerana sesungguhnya zat harta diancam kerosakan dan kekurangan, selagi belum dikeluarkan zakatnya. Dalam perkara ini, Rasulullah SAW bersabda:

مَا خَالَطَتِ الصَّدَقَةُ مَالًا قَطُّ إِلَّا أَهْلَكَتْهُ.

Maksudnya: “Tidaklah bercampur sedekah (zakat) dengan apa jua harta, melainkan sedekah tersebut akan membinasakan harta (jika zakat tidak ditunaikan). (Lihat Mizan al-I’tidal, 3/641)

Pada sebahagian riwayat dinyatakan: “Kadang-kadang zakat telah wajib pada hartamu, kemudian engkau tidak mengeluarkannya, maka harta yang haram akan menghancurkan harta yang halal.” Bahkan mungkin harta umat keseluruhannya akan berkurangan, dan akan turun pula berbagai-bagai bala daripada langit yang akan merosakkan hasil produktiviti umum dan seterusnya menurunkan pendapatan per kapita. Itu tidak lain, kecuali akibat daripada kemurkaan dan seksaan Allah kepada kaum yang tidak saling menanggung (antara satu sama lain), tidak saling menolong dan orang kayanya tidak menolong orang fakirnya. Disebut dalam sebuah hadis:

مَا مَنَعَ قَوْمٌ الزَّكَاةَ إِلَّا مُنِعُوا الْمَطَرَ مِنْ السَّمَاءِ وَلَوْلَا الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا.

Maksudnya: “Tidaklah sesuatu kaum yang enggan untuk mengeluarkan zakat kecuali mereka akan terhalang daripada turunnya hujan dari langit. Kalaulah tidak kerana haiwan ternakan pasti mereka tidak akan diturunkan air hujan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1225)

Menyucikan harta peribadi dan masyarakat daripada sebab-sebab pengurangan dan kerosakan adalah dengan melaksanakan hak Allah SWT dan hak fakir iaitu dengan mengeluarkan zakat. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/355 – 357)

Semoga Allah berkati hidup kita, juga harta yang kita miliki, yang akhirnya membawa kita kebahagiaan,  bukan sekadar di dunia, tetapi merentasi akhirat. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya:Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”