#7459: Harta Haram yang Dizakatkan: Adakah Menjadi Suci?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Seseorang yang memperoleh harta haram dan ingin membersihkan harta tersebut dengan cara berzakat, adakah dianggap suci dan dibolehkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Dalam ayat di atas juga, disyaratkan saling meredhai antara penjual dan pembeli dalam memastikan sahnya jual beli. Apabila penjual menjual dengan harga yang ditetapkan, maka hilanglah sifat saling meredhai itu, sehingga jual beli menjadi cacat kerana wujudnya keterpaksaan. Justeru, ayat ini menjadi dalil tidak dibolehkan al-tas’ir. (Lihat Nail al-Autar, 5/248)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut: Sekiranya kita menyatakan bahawa zakat itu menyucikan harta, dan menjadi sebab bertambah banyak serta bertambah berkatnya harta, maka yang dimaksudkan adalah harta yang halal, yang sampai ke tangan pemiliknya melalui cara yang disyariatkan agama. Adapun harta yang haram dan kotor, yang sampai ke tangan pemiliknya melalui rampasan, curi, rasuah, salah guna kuasa, melalui riba, melalui perjudian atau sebarang bentuk memakan harta manusia lain secara batil, maka sesungguhnya zakat itu tidak memberikan kesan apa-apa, tidak menyucikan dan tidak memberi keberkatan. Alangkah mendalamnya perumpamaan yang dikemukakan oleh sebahagian hukama: “Perumpamaan orang yang menyucikan harta haramnya dengan zakat, seperti orang yang membersihkan kotoran dengan air kencing.” Kadang-kadang sebahagian pencuri amatur atau profesional menyangka bahawa dengan menyedekahkan sebahagian harta yang diperoleh secara batil dan yang diusahakan dan dikumpulkan secara haram, akan diterima di sisi Allah SWT, dan seolah-olah dalam kalangan manusia akan dianggap tidak bersalah dan suci! Itu semua adalah sangkaan dusta yang ditolak Islam dengan penolakan yang tegas. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّباً

Maksudnya: “Sesungguhnya, Allah itu Zat Yang Maha Suci. Dia tidak akan menerima sesuatu kecuali yang suci pula.”

Riwayat Muslim (1015), al-Tirmizi (2989) dan Ahmad (8348)

Al-Qadhi Iyadh menyebut: Tayyib bermaksud suci bersih dari segala kekurangan. Dikatakan tayyib sebagai salah satu sifat Allah. (Lihat Ikmal al-Mu’lim, 3/535)

مَنْ جَمَعَ مَالًا مِنْ حَرَامٍ ثُمَّ تَصَدَّقَ بِهِ ، لَمْ يَكُنْ لَهُ فِيْهِ أَجْرٌ ، وَكَانَ إِصْرُهُ عَلَيْهِ.

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengumpulkan harta yang haram, lalu dia sedekahkannya, maka tidak akan ada pahalanya dan dosanya ditanggungnya.”

Riwayat Ibn Khuzaimah (4/110), Ibn Hibban (8/11). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan sanadnya hasan. Juga diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak (1/548) dan al-Baihaqi dalam al-Kubra (4/84)

لَا يَقْبَلُ اللهُ صَدَقَةً مِنْ غُلُوْلٍ، وَلَا صَلَاةً بِغَيْرِ طُهُوْرٍ.

Maksudnya: “Allah tidak akan menerima sedekah hasil ghulul (khianat) dan tidak akan diterima solat tanpa bersuci.”

Riwayat Abu Daud (59). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud. Juga diriwayatkan oleh Ahmad (20714), al-Nasa’i (139) dan Ibn Majah (271)

Ghulul bererti pengkhianatan dalam mengambil harta perolehan perang. Allah SWT tidak akan menerima sedekah daripada harta yang kotor, sebagaimana Dia tidak akan menerima solat yang dilaksanakan dalam keadaan yang tidak bersuci. Seterusnya, Rasulullah SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ… لَا يَكْسِبُ عَبْدٌ مَالًا حَرَامًا فَيَتَصَدَّقُ مِنْهُ فَيُقْبَلُ مِنْهُ، وَلَا يُنفِقُ مِنْهُ فَيُبَارَكُ لَهُ فِيْهِ وَلَا يَتْرُكُهُ خَلْفَ ظَهْرِهِ إِلَّا كَانَ زَادَهُ إِلَى النَّارِ إِنَّ اللهَ تَعَالَى لَا يَمْحُو السَّيِّئَ بِالسَّيِّئِ وَلكِنْ يَمْحُو السَّيِّئَ بِالْحُسْنِ إِنَّ الْخَبِيْثَ لَا يَمْحُو الْخَبِيْثَ.

Maksudnya: “Demi Zat yang diriku berada pada kekuasaanNya. Tidak seseorang mengusahakan harta yang haram, kemudian bersedekah dengannya, dan diterima daripadanya. Tidak pula menginfakkannya lalu diberkatinya, dan tidak ditinggalkan harta tersebut untuk warisnya, kecuali semua itu menjadi bekal masuk ke dalam neraka. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menghapuskan keburukan dengan keburukan, akan tetapi akan menghapusnya dengan kebaikan. Sesuatu yang buruk tidak akan menghapuskan yang buruk.”

Riwayat Ahmad dalam al-Musnad (3672) daripada Ibn Mas’ud, al-Hakim (1/33), al-Bazzar (5/392) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4/395)

Imam al-Qurtubi berkata: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menerima sedekah barang yang haram kerana orang itu dianggap tidak memiliki barang yang disedekahkan, dia terhalang daripada mengurus harta itu. Barang yang disedekahkan mestilah boleh diuruskan. Sekiranya sedekah dengan barang haram diterima pada waktu yang sama, maka ini melazimkan sesuatu yang disuruh dan dilarang pada konteks yang sama, dan ini adalah perkara yang mustahil berlaku.” (Lihat Fath al-Bari, 3/180)

Sebahagian ulama mazhab Hanafi menyatakan: Jika seseorang menyerahkan sesuatu harta yang haram kepada orang fakir, dan mengharapkan pahala dengannya, maka orang itu menjadi kafir. Jika orang fakir itu mengetahui halnya, namun dia mendoakan, maka orang fakir itu pun termasuk kafir. lika orang lain yang mendengar turut mengaminkannya. pada hal dia tahu keadaannya, maka kafir jugalah orang itu. Seumpamanya juga dengan orang yang mendirikan masjid daripada barang yang gharam, dia mengharapkannya sebagai bentuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, kerana orang itu mengharapkan pahala dari sesuatu yang ada seksaan di dalamnya. Ini kerana dia menghalalkan sesuatu yang haram, dan itu adalah kufur. Dan ini semua, hukum haramnya secara qat’i bukan sesuatu yang diragukan lagi. (Lihat Hasyiyah Radd al-Muhtar ‘ala Durr al-Mukhtar, 2/27)

Janganlah orang yang keliru menyangka bahawa zakat bagi orang yang merompak adalah penghapus bagi dosa rampasannya, begitu juga penerima rasuah beranggapan penghapus kejahatan rasuahnya, sama juga pengamal riba, penghapus najis amalan ribanya, jauh sekali sangkaan mereka itu. Sesungguhnya zakat tidak akan diterima daripada harta yang haram, bahkan zakat pun sama sekali tidak wajib ke atasnya. Zakat itu tidaklah wajib, melainkan dari harta yang dimiliki secara sah, sedangkan Islam tidak memperakukan pemilikan harta haram, walaupun berlalu tempoh waktu yang panjang.

Sesungguhnya, tidak boleh dikatakan kepada para perompak, perasuah, pencuri amatur mahupun profesional: Bersedekahlah kamu sekalian. Tetapi sebelum itu, katakanlah kepada mereka: Kembalikanlah harta yang ada pada tangan-tangan kamu sekalian, kepada para pemiliknya.” (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/357 – 358)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.