#7462:  Memahami Larangan Ikhtilat dalam Syarak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. boleh Dato’  jelaskan contoh-contoh ikhtilat yang diharamkan oleh syarak? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya Islam melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan menyuruh mereka menjaga aurat masing-masing, kecuali pada mereka yang ditentukan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ‎﴿٣٠﴾‏ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 30-31)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT menjelaskan berbagai hukum berkaitan dengan hubungan antara lelaki dan wanita dan bagaimana menjaga pandangan  mata dan kehormatan diri di antara mereka. Menjaga aurat dan pandangan mata adalah suatu yang dituntut ke atas mereka kecuali pada mereka yang dibenarkan Allah SWT sebagaimana yang disebut oleh ayat berkenaan. Walaupun Allah SWT tidak menyebut dalam ayat berkenaan sesuatu yang boleh menjamin terpeliharanya pandangan dan kehormatan diri, namun ia boleh diketahui berdasarkan kepada adat dan kebiasaan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/222)

Bagi menjawab persoalan di atas, perlu ditegaskan bahawa dalam menjalani kehidupan seharian, khususnya dalam bermuamalat dengan berlainan jenis, kita harus menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Langkah ini penting untuk mengelakkan daripada berlakunya pergaulan bebas yang boleh mencemarkan imej seorang Muslim dan melanggar ketetapan syarak.  Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.”

Riwayat Muslim (338)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyarankan : “Ini adalah larangan  jika tidak ada penghalang di antara keduanya, dan di sini menunjukkan tentang haramnya menyentuh aurat orang lain di mana saja pada tubuhnya dan ini adalah perkara yang disepakati oleh para ulama. Ramai orang yang bersikap longgar dalam perkara ini dengan berkumpulnya ramai orang di dalam bilik mandi. Oleh itu, orang yang hadir di dalamnya wajib menjaga penglihatan, tangannya, dan lain-lain daripada melihat aurat orang lain, dan juga menjaga auratnya daripada dipandang oleh orang lain dan dipegang oleh tangan orang lain atau bagian tubuh lainnya. (Lihat Riyadh al-Salihin,hlm.457)

Antara ikhtilat yang diharamkan oleh syarak sebagaimana yang digariskan oleh para ulama adalah sebagaimana berikut:

  • Berlakunya percampuran antara lelaki dan wanita di satu tempat tanpa keperluan yang mendesak atau alasan yang diiktiraf oleh syarak, ditambah pula dengan wanita yang berhias secara berlebihan (tabarruj)

Isu ini merupakan salah satu perkara yang paling berbahaya yang dikenakan ke atas kita oleh Barat melalui pelbagai cara dan kaedah. Mereka giat mempromosikannya melalui media yang beracun dan institusi feminis yang menyeru kepada kebebasan wanita dan pembebasannya daripada agamanya, dengan anggapan bahawa perkara ini adalah kemuncak kebebasan wanita daripada perhambaan lelaki. (Lihat Munkarat al-Afrah, hlm 50)

  • Pergaulan antara lelaki dan wanita di institusi pendidikan di mana universiti atau kebanyakan pusat pengajian kini telah berubah menjadi gelanggang terbuka untuk mempamerkan fesyen terkini, pakaian moden, dan wangian . (Lihat Durus li Syeikh Muhamad Hasan, 88/9)
  • Ikhtilat maya, seperti berbual tanpa keperluan dalam media sosial, atau saling berkongsi maklumat peribadi dengan lawan jantina di luar urusan penting, juga boleh membuka ruang kepada perhubungan yang tidak wajar, mengundang perasaan yang tidak sihat, atau berlakunya salah faham dalam komunikasi.
  • Dalam sesetengah aktiviti sukan yang melibatkan lelaki dan wanita, seperti latihan atau pertandingan, jika tiada pemisahan atau batasan aurat dipatuhi, ini boleh mengundang perasaan tidak selesa atau mennimbulkan fitnah.

Justeru,  Islam menetapkan garis panduan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti menutup aurat dengan sempurna, menjaga pandangan, tidak berkhalwat dan menjaga adab pertuturan. Sehubungan itu, terdapat batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan apatah lagi bersentuhan antara lelaki dan wanita tanpa tujuan yang mendesak. Bahkan pengecualian pergaulan antara lelaki dan perempuan hanya pada keperluan yang tidak bertentangan dengan syarak tanpa perlu bersentuhan seperti muamalah harta, penyaksian, urusan kerja dan keperluan lain yang tidak bertentangan syariat. (Lihat al-Mufassal fi ahkam Mar’ah wa bait al-Muslimin, 3/426)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua‘lam