Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh atau tidak seseorang itu meminta-minta dan mengemis kepada orang lain?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَمَّا ٱلسَّآئِلَ فَلَا تَنْهَرْ
Maksudnya: “Mahupun dengan orang yang meminta, janganlah engkau mengherdiknya.”
(Surah al-Dhuha: 10)
Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan supaya janganlah bersikap kasar dan menghalau orang yang meminta-minta. Santunilah mereka dengan baik kerana engkau pun dahulu seorang yang miskin. Berikanlah sesuatu yang ringan kepada mereka, atau kamu menolaknya dengan cara yang baik dan tidak menyakiti mereka. (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 6/295; Tafsir al-Qurtubi, 20/101)
Islam menggalakkan dan menyanjung tinggi umatnya yang bekerja supaya tidak perlu meminta-minta kepada orang lain. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal untuk menjauhkan diri dari meminta-minta, dan sebagai satu usaha untuk keluarganya dan untuk bersikap baik dengan tetangganya, maka dia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dalam keadaan mukanya bagaikan bulan purnama. Dan sesiapa yang mencari dunia secara halal, namun dengan niat untuk menimbunkan harta, berbangga dan bersikap sombong, maka dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat dalam keadaan Allah murka kepadanya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).
Antara iktibar yang dapat diambil daripada hadis ini ialah, bekerja merupakan satu perkara yang dituntut. Hadis di atas juga jelas menunjukkan bahawa setiap orang perlu berusaha dan bekerja bagi meneruskan kesinambungan hidup. Di samping itu, seseorang yang berusaha dan bekerja dengan cara yang halal, meskipun dipandang hina oleh manusia, itu adalah lebih baik dan mulia daripada meminta-minta dan menjadi beban bagi orang lain. (Lihat Bahjatu al-Nazirin, 1/598)
Rasulullah SAW pernah bersabda:
لأَنْ يَأخُذَ أحَدُكُمْ أحبُلَهُ ثُمَّ يَأتِيَ الجَبَلَ ، فَيَأْتِيَ بحُزمَةٍ مِنْ حَطَب عَلَى ظَهْرِهِ فَيَبِيعَهَا ، فَيكُفّ اللهُ بِهَا وَجْهَهُ ، خَيْرٌ لَهُ مِنْ أنْ يَسْألَ النَّاسَ ، أعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya, jika seseorang daripada kamu mengambil tali, lalu dia pergi ke gunung (untuk mencari kayu api), kemudian dia pulang dengan memikul seikat kayu api di atas belakangnya untuk dijual, sehingga dengan itu Allah menjaga mukanya (kehormatannya), maka ia adalah lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada manusia, sama ada mereka memberi atau menolak.”
Riwayat al-Bukhari (1402) dan (1410)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Pada hadith ini terdapat anjuran untuk menjaga diri dan menghindari sikap meminta-minta, walaupun seseorang perlu merendahkan dirinya dalam mencari rezeki dan menghadapi kesukaran. Jika bukan disebabkan hodohnya meminta-minta dalam pandangan Syariat, sudah tentu mencari rezeki sehingga ke tahap seperti itu tidaklah dianggap lebih utama daripada meminta-minta. Ini kerana seorang peminta akan merasa hina ketika meminta dan ketika ditolak. Begitu juga dengan pemberi, jika akan memberi kepada setiap orang yang meminta, maka dia akan mengalami krisis harta yang dimilikinya.
Adapun ungkapannya ‘lebih baik baginya’, bukan bermaksud perbandingan. Ini kerana tidak ada kebaikan dalam meminta-minta sekiranya dia masih mampu berusaha. Pendapat paling sahih menurut ulama’ mazhab Syafie adalah bahawa meminta dalam keadaan seperti itu hukumnya adalah haram. (Lihat Fath al-Bari, 8/220)
Takrif Mengemis: Mengemis merujuk kepada perbuatan meminta sedekah atau meminta-minta daripada orang lain. Aktiviti ini dilakukan untuk memperoleh bantuan dalam bentuk wang atau barangan, biasanya tanpa menawarkan sesuatu sebagai balasan. Mengemis boleh menjadi satu bentuk usaha terakhir bagi individu yang memerlukan bantuan segera untuk meneruskan kehidupan, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai sumber pendapatan atau sokongan lain. Contoh penggunaan istilah ini adalah seperti dalam ayat, “Perempuan tua itu terpaksa mengemis untuk hidup,” yang menggambarkan keadaan di mana seseorang perlu meminta bantuan secara terbuka bagi keperluan asas. Negara pula, seperti yang diterangkan, tidak akan mengemis kepada mana-mana kuasa lain untuk mendapatkan bantuan, menunjukkan prinsip berdikari yang penting dalam konteks negara berdaulat.[1]
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut:
Prinsip asas yang kedua adalah mengenai hukum asal perbuatan meminta-minta daripada orang adalah haram. Ini kerana perbuatan meminta-minta itu sama seperti seseorang menjatuhkan dirinya ke dalam kehinaan. Tidak halal bagi setiap muslim bergantung harap dalam kehidupannya dengan meminta-minta kecuali apabila ada keperluan yang sangat mendesak. Sekiranya ia meminta-minta, padahal dia masih mempunyai sesuatu, maka perbuatan itu akan menyebabkan luka di wajahnya pada hari kiamat kelak.
Berkenaan pengertian ini, terdapat pelbagai hadis yang memberikan peringatan dan ancaman yang keras terhadap golongan yang meminta-minta. Antara hadis marfu riwayat Bukhari, Muslim dan al-Nasa’ie daripada Ibn Umar.
لَا تَزالُ الْمَسْأَلَةُ بِأَحَدِكُمْ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَلَيْسَ فِي وَجْهِهِ مُزْعَةُ لَحْمٍ.
Maksudnya: “Jika seseorang tidak mahu berhenti meminta-minta, kelak ia akan menghadap Allah dalam keadaan tidak ada seberat daging pun di wajahnya.”
Riwayat al-Bukhari (1471) daripada al-Zubair
Begitu juga hadis riwayat pengarang kitab al-Sunan:
مَنْ سَأَلَ وَلَهُ مَا يُغْنِيهِ جَاءَتْ يَوْمَ القِيَامَةِ خَمُوْشٌ أَوْ خَدُوشٌ أَوْ كَدُوْحٌ فِي وَجْهِهِ. فَقِيْلَ : يَا رَسُولَ اللهِ: وَمَا الْغِنَى. قَالَ: خَمْسُونَ دِرْهَمًا أَوْ قِيْمَتُهَا ذَهَبًا.
Maksudnya: “Barang siapa yang meminta-minta, padahal ia masih mencukupi, dia akan datang pada hari kiamat nanti dengan menggaru-garu mukanya yang penuh luka atau menggelupas kulit mukanya. Rasulullah SAW ditanya: “Apakah ukuran cukup?” Baginda menjawab: “50 dirham atau nilai seumpamanya.”
Riwayat Abu Daud (1626), al-Tirmizi (650), al-Nasa’i (2592), Ibn Majah (1840) dan Ahmad (4440)
Meminta-minta itu hanya akan membawa musibah kepada diri iaitu hilangnya kemuliaan pada air mukanya. Hadis lain:
وَمَنْ سَأَلَ وَلَهُ قِيمَةُ أُوْقِيَّةٍ فَقَدْ أَلْحَفَ.
Maksudnya: “Barangsiapa yang meminta-minta padahal dia memiliki satu uqiah (40 dirham) maka sesungguhnya, dia merupakan pendesak.”
Riwayat al-Nasa’ie (2595), Ahmad (11060) dan Abu Dawud (1628) secara ringkas. Isnadnya kuat seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut.
Hadis lain pula:
مَنْ سَأَلَ وَعِنْدَهُ مَا يُغْنِيْهِ فَإِنَّمَا يَسْتَكْثِرُ مِنَ النَّارِ أَوْ مِنْ جَمْرِ جَهَنَّمَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا يُغْنِيهِ؟ قَالَ: قَدْرُ مَا يُغَدِّيهِ وَيُعَشِّيهِ.
Maksudnya: “Barang siapa yang meminta-minta, padahal dia masih memiliki sesuatu, sesungguhnya dia telah memperbanyak api neraka atau arang neraka jahanam. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, apa ukuran sesuatu yang mencukupkan itu?” Baginda menjawab: “Ukuran cukup untuk makan pagi dan petang.
Riwayat Abu Daud (1629). Dinyatakan sahih oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut
Apakah maksud seseorang yang mempunyai makanan untuk pagi dan petang? Adakah maksudnya seseorang mampu berusaha untuk mendapatkan makanan dari hari ke hari selama hidup? Ya, maksud yang terakhir inilah mungkin yang paling tepat dan sesuai. Hal ini juga bermaksud orang yang mendapatkan sumber rezekinya yang baru sehingga mereka cukup untuk tidak hidup hina dengan meminta-minta. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/384 – 385)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Nota hujung:
[1] Dewan Bahasa dan Pustaka. (n.d.). Mengemis. Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Diakses pada 11 November 2024, daripada https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=mengemis