Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara yang terbaik untuk menyelesaikan sebagai solusi berkenaan dengan pengemis?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَمَّا ٱلسَّآئِلَ فَلَا تَنْهَرْ
Maksudnya: “Mahupun dengan orang yang meminta, janganlah engkau mengherdiknya.”
(Surah al-Dhuha: 10)
Dalam ayat ini, Allah SWT menjelaskan supaya janganlah bersikap kasar dan menghalau orang yang meminta-minta. Santunilah mereka dengan baik kerana engkau pun dahulu seorang yang miskin. Berikanlah sesuatu yang ringan kepada mereka, atau kamu menolaknya dengan cara yang baik dan tidak menyakiti mereka. (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 6/295; Tafsir al-Qurtubi, 20/101)
Islam menggalakkan dan menyanjung tinggi umatnya yang bekerja supaya tidak perlu meminta-minta kepada orang lain. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal untuk menjauhkan diri dari meminta-minta, dan sebagai satu usaha untuk keluarganya dan untuk bersikap baik dengan tetangganya, maka dia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dalam keadaan mukanya bagaikan bulan purnama. Dan sesiapa yang mencari dunia secara halal, namun dengan niat untuk menimbunkan harta, berbangga dan bersikap sombong, maka dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat dalam keadaan Allah murka kepadanya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).
Antara iktibar yang dapat diambil daripada hadis ini ialah, bekerja merupakan satu perkara yang dituntut. Hadis di atas juga jelas menunjukkan bahawa setiap orang perlu berusaha dan bekerja bagi meneruskan kesinambungan hidup. Di samping itu, seseorang yang berusaha dan bekerja dengan cara yang halal, meskipun dipandang hina oleh manusia, itu adalah lebih baik dan mulia daripada meminta-minta dan menjadi beban bagi orang lain. (Lihat Bahjatu al-Nazirin, 1/598)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut:
Terdapat dua langkah untuk mengubati masalah meminta-minta ini secara praktikal. Langkah pertama, pihak berkuasa menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai bagi setiap penganggur yang mampu bekerja. Hal ini merupakan kewajipan pemerintahan Islam terhadap masyarakatnya. Tidak sepatutnya seorang pemimpin yang bertanggungjawab ke atas pimpinannya membiarkan penduduk yang berkebolehan untuk bekerja tetapi menganggur.
Sebagaimana Islam telah mengajarkan agar jangan hanya mengharapkan sedekah sahaja, maka pihak berkuasa perlu merawat masalah meminta-minta ini dari akarnya. Hal ini telah kita gemukakan dalam perbahasan mengenai sasaran zakat iaitu berdasarkan sabda Rasulullah SAW.
لَا تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ وَلَا لِذِي مِرَّةٍ سَوِيٍّ.
Maksudnya: “Tidak halal sedekah itu bagi orang kaya dan orang yang kuat fizikalnya.”
Riwayat Abu Daud (1634)
Setiap pertolongan berbentuk material (harta) yang diberikan kepada orang yang kuat fizikal pada hakikatnya sama dengan membiarkan orang itu untuk tetap menganggur. la juga memberi kesan pengurangan kadar bantuan yang dapat diperuntukkan kepada orang yang lemah, Jumpuh dan tidak mampu bekerja. Pemberian yang benar dan wajib iaitu sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap seorang peminta dalam hadis daripada Anas bin Malik, berkata:
أَنَّ رَجُلًا مِنَ الْأَنْصَارِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُهُ، فَقَالَ: «أَمَا فِي بَيْتِكَ شَيْءٌ؟» قَالَ: بَلَى، حِلْسٌ نَلْبَسُ بَعْضَهُ وَنَبْسُطُ بَعْضَهُ، وَقَعْبٌ نَشْرَبُ فِيهِ مِنَ الْمَاءِ، قَالَ: «ائْتِنِي بِهِمَا»، قَالَ: فَأَتَاهُ بِهِمَا، فَأَخَذَهُمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ، وَقَالَ: «مَنْ يَشْتَرِي هَذَيْنِ؟» قَالَ رَجُلٌ: أَنَا، آخُذُهُمَا بِدِرْهَمٍ، قَالَ: «مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ مَرَّتَيْنِ، أَوْ ثَلَاثًا»، قَالَ رَجُلٌ: أَنَا آخُذُهُمَا بِدِرْهَمَيْنِ فَأَعْطَاهُمَا إِيَّاهُ، وَأَخَذَ الدِّرْهَمَيْنِ وَأَعْطَاهُمَا الْأَنْصَارِيَّ، وَقَالَ: «اشْتَرِ بِأَحَدِهِمَا طَعَامًا فَانْبِذْهُ إِلَى أَهْلِكَ، وَاشْتَرِ بِالْآخَرِ قَدُومًا فَأْتِنِي بِهِ،»، فَأَتَاهُ بِهِ، فَشَدَّ فِيهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عُودًا بِيَدِهِ، ثُمَّ قَالَ لَهُ: «اذْهَبْ فَاحْتَطِبْ وَبِعْ، وَلَا أَرَيَنَّكَ خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا»، فَذَهَبَ الرَّجُلُ يَحْتَطِبُ وَيَبِيعُ، فَجَاءَ وَقَدْ أَصَابَ عَشْرَةَ دَرَاهِمَ، فَاشْتَرَى بِبَعْضِهَا ثَوْبًا، وَبِبَعْضِهَا طَعَامًا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” هَذَا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ ⦗١٢١⦘ تَجِيءَ الْمَسْأَلَةُ نُكْتَةً فِي وَجْهِكَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لَا تَصْلُحُ إِلَّا لِثَلَاثَةٍ: لِذِي فَقْرٍ مُدْقِعٍ، أَوْ لِذِي غُرْمٍ مُفْظِعٍ، أَوْ لِذِي دَمٍ مُوجِعٍ
Maksudnya: Seorang pemuda daripada golongan Ansar datang meminta sesuatu kepada Nabi SAW, lalu Nabi bersabda: “Adakah sesuatu di rumahmu?” Dia menjawab, “Ada, iaitu hamparan yang sebahagian kami pakai dan sebahagian lagi kami hamparkan dan juga bekas yang kami pergunakan untuk minum.” Nabi bersabda: “Bawalah olehmu kepadaku dua benda itu.” Kemudian orang itu membawanya kepada Nabi, lalu diambil oleh Rasulullah SAW sambil berkata: “Siapa yang akan membeli dua benda ini?” Seseorang berkata: “Saya akan membelinya dengan harga satu dirham.” Nabi bersabda: “Siapa yang akan menambah lebih dari satu dirham?” Pertanyaan itu diulangi sehingga dua tiga kali. Seseorang berkata: “Aku akan membelinya dengan dua dirham.” Lalu Rasulullah memberikan kedua benda itu pada orang tersebut dan mengambil wang dua dirham dan terus diberikannya kepada lelaki dari golongan Ansar itu tadi. Lalu Nabi bersabda: “Belilah dengan salah satu dirham ini makanan, lalu kau berikan kepada keluargamu. Dan belilah kapak dengan satu dirham lagi lalu bawalah kapak itu kepadaku.” Lalu Rasulullah SAW mengikat kayu, sambil berkata kepadanya: “Pergilah, carilah kayu bakar dan juallah. Dan kau jangan memperlihatkan diri kepadaku selama lima belas hari. Kemudian lelaki tadi mengambil kayu bakar dan menjualnya. Lalu dia datang kepada Nabi dan telah memiliki 10 dirham. Sebahagiannya dibelinya pakaian dan sebahagian lagi dibelinya makanan. Rasulullah SAW bersabda: “Ini semua lebih baik bagimu daripada kau datang meminta-minta yang menjadi noda pada wajahmu di hari kiamat nanti. Sesungguhnya meminta-minta itu tidaklah layak kecuali bagi tiga orang. Orang yang teramat fakir, orang yang mempunyai hutang yang membebankannya atau orang yang perlu melangsaikan bayaran diat.”
Riwayat Abu Daud (1641) dan Ibn Majah (2198) dan al-Tirmizi (1218). Dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if Abi Dawud.
Dalam hadis yang jelas dan benar ini, Nabi SAW tidak memberikan zakat kepada orang Ansar yang mengemis itu kerana keadaannya yang kuat untuk bekerja. Dia tidak boleh menerima harta zakat kecuali setelah dia berusaha sedaya upaya untuk bekerja namun galanya menjadi sukar dan terdesak. Maka, Islam menganjurkan bagi insan yang berkebolehan berusaha untuk mendapatkan pekerjaan yang halal. Sesungguhnya hadis Ini merangkumi segala langkah yang telah digariskan Islam dalam mengubati masalah meminta-minta, la telah mendahului segala bentuk peraturan yang diketahui manusia.
Sesungguhnya, Islam bukan sekadar merawat orang yang memerlukan dengan pertolongan material yang bersifat sementara sahaja dan bukan pula dengan sekadar nasihat kemudian Jari daripada masalah. Namun, Islam mengajar orang itu supaya mampu menghilangkan kesulitan dari dirinya sendiri serta merawatnya dengan cara yang wajar. Nabi SAW mengajarkan agar melayani diri sendiri sesuai dengan kadar kemampuan walaupun kecil dan memanfaatkan apa yang dimiliki walaupun sedikit. Jangan hanya meninta-minta dan mengharapkan bantuan, sedangkan dia memiliki sesuatu yang boleh dimanfaatkan untuk memperoleh pekerjaan yang akan mencukupkannya.
Nabi SAW mengajarkan bahawa segala perbuatan yang akan menghasilkan rezeki yang halal adalah pekerjaan yang mulia dan terhormat, walaupun sekadar mencari kayu bakar untuk dijual. Dengan usaha sedemikian, Allah SWT akan memelihara kehormatan dirinya daripada meminta-minta kepada orang lain. Nabi turut mengarahkan orang itu supaya beramal sesuai dengan keperibadian, kemampuan, kepandaian dan wataknya. Kemudian, baginda menyediakan kelengkapan pekerjaan yang sesuai dengan apa yang diarahkannya dan tidak membiarkan orang itu dalam keadaan bingung dan tidak tentu hala. Kemudian, Nabi SAW memberikan tempoh percubaan kepadanya selama lima belas hari untuk dikenal pasti sama ada sesuai atau tidak pekerjaan itu baginya serta melihat tingkah laku orang itu terhadap perintahnya sehingga dapat diputuskan pekerjaan tersebut sesuai buatnya, atau difikirkan untuk dicarikan pekerjaan yang lain buatnya. Setelah menghuraikan tentang kesusahan pekerjaan ini lalu Nabi menjelaskan pelajaran pemahaman yang ringkas dan jelas tentang larangan meminta-minta dan menghindarinya serta batas-batas yang boleh dilakukannya. Adalah suatu kewajipan bagi kita untuk mengikuti jalan-jalan Nabawi yang lurus ini.
Sebelum kita memulakan usaha memerangi perbuatan meminta-minta, maka terlebih dahulu kita perlu menghilangkan kesukaran dan menyediakan pekerjaan bagi setiap penganggur.
Fungsi zakat dalam masalah ini adalah sangat jelas. Sebahagian agihan zakat dapat diberikan kepada penganggur yang tidak mampu bekerja untuk membolehkannya membeli peralatan pekerjaan atau modal sebagaimana hal itu telah dijelaskan dalam bahagian sasaran zakat. Sebahagian lagi agihan zakat boleh digunakan untuk memberi latihan pekerjaan yang bakal menjadi sumber pencariannya. Harta zakat juga boleh digunakan untuk menjalankan projek-projek kemasyarakatan seperti kilang, pusat perniagaan, tanah pertanian dan sebagainya sehingga para penganggur berpeluang untuk bekerja di dalamnya.
Langkah kedua yang praktikal untuk merawat masalah meminta-minta adalah menyediakan jaminan sara hidup bagi orang yang tidak berdaya untuk bekerja. Ia merupakan rawatan terhadap perbuatan meminta-minta menurut pandangan Islam supaya dapat memenuhi keperluannya. Tidak berkemampuan untuk bekerja diperhatikan dari dua sebab:
Sebab pertama, lemah jasmani sehingga menyebabkan dia tidak mampu bekerja kerana bawah umur, tidak mempunyai keluarga, anak yatim, tidak sempurna anggota tubuhnya atau sakit yang parah. Sebab-sebab fizikal ini yang menyebabkan seseorang diuji dengannya dan tidak memiliki cara untuk mengatasinya. Orang seperti ini harus diberikan zakat sebagai sesuatu yang akan mencukupkannya sebagai kelebihan atas kelemahannya dan menunjukkan rasa simpati atas kelemahannya sehingga tidak menjadi beban kepada masyarakat. Pada masa kini, dengan perkembangan ilmu dapat memudahkan sebahagian orang cacat seperti golongan buta dan seumpamanya mampu bekerja dengan pekerjaan yang layak dan sesuai dengan keadaan mereka. Cukup bagi mereka kemudahan untuk berdikari dan jaminan buat mereka dalam kehidupan yang mulia. Kos pendidikan dan latihan mereka pula boleh diambil daripada harta zakat.
Sebab kedua, tidak mampu bekerja kerana tiada peluang pekerjaan halal yang boleh dilakukannya, walaupun dia sudah berusaha mencari dengan sepenuh tenaga dan penguasa sudah berusaha mencarikan pekerjaan buat mereka. Tidak diragukan lagi bahawa mereka termasuk dalam golongan orang cacat jasmani walaupun sebenarnya fizikal mereka kuat. Kerana kekuatan jasmani tidak menyebabkan mereka mendapat makanan dan tidak mengenyangkan dari kelaparan selagi ia tidak disertai dengan pekerjaan.
Imam Ahmad dan yang lain telah meriwayatkan, kisah dua orang lelaki yang meminta zakaat daripada Nabi SAW, lalu baginda memperhatikan keduanya, ternyata mereka adalah orang yang sihat dan kuat. Baginda SAW bersabda kepada mereka:
إنْ شِئتمَا أَعْطَيتُكُمَا وَلَاحَظَّ فِيها لِغَنِيٍّ وَلَا لِقَوِىٍّ مُكتَسِبٍ
Maksudnya: “Jika kamu berdua menghendakinya, aku boleh sahaja memberinya kepada kamu berdua, sesungguhnya tiada bahagian daripada zakat untuk orang kaya dan untuk orang yang kuat serta mampu bekerja.”
Riwayat Imam Ahmad. Lihat Talkhis al-Habir (1105)
Oleh itu, hanya orang kuat yang mampu bekerja sahaja yang tidak berhak menerima zakat. Jelas bagi kita bahawa zakat itu adalah sedekah yang perlu diberikan kepada setiap orang yang meminta dan dibahagikan kepada setiap orang yang berhak. Sebahagian orang beranggapan bahawa pungutan zakat akan memperbanyakkan golongan mereka yang meminta-minta dan pengemis. Namun, pada hakikatnya zakat itu perlu difahami sebagaimana pensyariatannya iaitu ia dikumpulkan dan diagihkan mengikut ketetapan Islam maka zakat adalah merupakan cara yang terbaik untuk menghilangkan segala bentuk meminta-minta dan mengemis. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/386 – 390)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”