Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya ingin bertanyakan soalan jika seseorang itu buta dan pekak, adakah dia termasuk dalam kategori mukallaf? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.’
Kami mulakan dengan firman Allah SW:
لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya: “Allah tidak akan memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”
(Surah al-Baqarah: 286)
Ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT tidak meletakkan sesuatu bebanan kepada hamba-hambanya dengan sesuatu perkara yang tidak mampu dikerjakan oleh hamba-hambanya, bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada manusia dalam setiap perkara. Mereka diberikan bebanan yang mampu mereka kerjakan bahkan tidak sukar untuk mereka laksanakan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672-673)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa dalam ilmu usul fiqh hukum taklifi adalah: hukum yang menuntut seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan, menahan diri daripadanya, atau memberi pilihan antara melakukannya atau meninggalkannya. Oleh itu apabila disebut Mukallaf ia merujuk kepada seorang yang baligh dan berakal, yang ditujukan kepadanya tuntutan syarak dan dikenakan taklif (tanggungjawab hukum) (Lihat al-Wajiz, fi Usul al-Fiqh, hlm.26 al-Wajiz fi Usul Fiqh al-Islami, 1/296)
Dalam isu ini, individu yang buta atau pekak tetap dianggap sebagai mukallaf sekiranya mereka memenuhi syarat taklif, iaitu telah baligh, berakal, memahami khitab (perintah syarak), mampu melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah, bebas membuat pilihan (tidak dipaksa), dan mengetahui perkara yang ditaklifkan ke atas mereka.
Syeikh Abd Karim Zaidan menyatakan: Perkara yang ditaklifkan dalam hukum taklifi adalah sesuatu yang mampu dilakukan atau ditinggalkan oleh mukallaf, kerana ia berada dalam batas kemampuan dan keupayaannya. Ini kerana tujuan taklif adalah agar mukallaf mematuhi apa yang ditaklifkan ke atasnya. Sekiranya ia berada di luar kemampuannya, maka taklif tersebut akan menjadi beban yang tidak layak disandarkan kepada syarak yang bijaksana. Oleh itu, antara kaedah dalam syariah Islam ialah: ‘Tiada taklif kecuali dalam perkara yang mampu dilaksanakan. (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, hlm.27)
Oleh yang demikian, mereka yang bisu dan pekak tetap diwajibkan melaksanakan apa yang diperintahkan kepada seorang mukallaf, seperti solat, puasa, haji, dan kewajipan lain, selagi mereka memenuhi syarat-syarat tersebut.
Dalam Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi‘ah (5/420) Syeikh Ibn Baz menyatakan: Anak yang bisu dan pekak, jika telah mencapai umur baligh, dianggap sebagai mukallaf dan dikenakan pelbagai taklif, seperti solat dan lain-lain. Dia diajar tentang kewajipan-kewajipannya melalui tulisan dan isyarat, berdasarkan keumuman dalil-dalil syarak yang menunjukkan kewajipan taklif ke atas mereka yang telah mencapai baligh dan berakal.
Baligh dicapai dengan salah satu daripada tanda-tanda berikut: mencapai usia lima belas tahun, mengalami mimpi basah atau ejakulasi kerana syahwat, atau tumbuhnya bulu kasar di sekitar kemaluan. Bagi perempuan, terdapat tanda keempat iaitu haid. Walinya bertanggungjawab untuk menunaikan kewajipan-kewajipan kewangan seperti zakat bagi pihaknya, dan memastikan dia diajar tentang perkara-perkara yang tidak diketahuinya dengan cara-cara yang sesuai sehingga dia memahami apa yang diwajibkan dan apa yang diharamkan oleh Allah ke atasnya. Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;…”
(Surah al-Taghabun: 16)
Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Dan jika aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”
Riwayat al-Bukhari (7288)
Justeru, mereka yang bisu, pekak, atau mengalami kedua-dua keadaan ini tetap wajib melaksanakan perintah Allah SWT semampu mereka sekiranya telah memenuhi syarat-syarat sebagai seorang mukallaf, iaitu dengan melaksanakan kewajipan dan meninggalkan perkara yang haram. Mereka juga wajib mempelajari agama mengikut kemampuan masing-masing melalui pemerhatian, tulisan, dan isyarat sehingga memahami apa yang dituntut oleh syarak. Allah SWT berfirman:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
(Surah al-Hajj: 78)
Alhamdulillah, mutakhir ini dengan perkembangan teknologi tinggi perubatan, mereka telah menemukan pelbagai cara untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada mereka yang pekak dan bisu. Ada kaedah yang digunakan dan berjaya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah:201)
Wallahu A‘lam