Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah jatuh talak sekiranya suami melarang isteri menonton siaran langsung di media sosial, demi mengelakkan isteri tersebut melayan lelaki lain. Adakah jatuh talak?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Perlu difahami, talak itu secara umumnya merujuk kepada suatu lafaz yang akan memutuskan hubungan halal antara pasangan suami isteri. Dari sudut bahasa, talak (الطَّلَاقُ) bermaksud membuka ikatan atau memutuskan perjanjian. Manakala dari sudut syara‘, talak didefinisikan sebagai pembubaran akad nikah dengan lafaz talak atau seumpamanya. (Lihat Tahzib al-Lughah, 9/19; Mughni al-Muhtaj, 4/455; al-Ghurar al-Bahiyyah, 4/245)
Imam al-Syaukani pula antara ulama yang mengkhususkan lagi definisi ‘talak’ itu sendiri, iaitu khusus untuk pembubaran akad perkahwinan sahaja. (Lihat Nail al-Autar, 6/262)
Melihat kepada takrifan di atas, kita dapat membezakan sama ada tindakan yang dilakukan oleh suami tersebut bukanlah sebahagian dari talak atau seumpamanya, sebaliknya ia merupakan sebahagian dari kefardhuan yang mesti dilakukannya, dengan menegah isteri dari melakukan perkara mungkar. Allah SWT berfirman:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.”
(Surah al-Nisa’: 34)
Imam al-Tabari berkata ketika menafsirkan ayat di atas, lelaki adalah penjaga bagi wanita mereka, dalam mendidik mereka dan memastikan mereka melaksanakan kewajipan yang dituntut oleh Allah dan yang berkaitan dengan hak mereka sendiri. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 8/290)
Seorang isteri tidak sewajarnya menonton apa-apa bentuk video, siaran langsung mahupun gambar lelaki lain sehingga menimbulkan rasa kecenderungan ke arah lelaki bukan mahram, begitu juga suami tidak tidak sepatutnya melakukan perkara tersebut. Bagaimana mungkin larangan suami ke atas isteri dari melakukan perkara maksiat itu boleh disifatkan sebagai talak, sedangkan Allah SWT telah memerintahkan mereka untuk sentiasa menasihati isteri yang berlaku nusyuz. Ini jelas sebagaimana dalam firman-Nya:
وَٱلَّـٰتِى تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka.”
(Surah al-Nisa’: 34)
Nusyuz itu dari sudut bahasa ialah meninggi, di mana wanita yang nusyuz seolah-olah meninggalkan tempat di mana suaminya berada bersamanya. Dalam istilah fiqh, nusyuz merujuk kepada perbuatan tidak mentaati suami. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 1/241)
Kata Imam al-Qurtubi, Allah SWT memerintahkan para suami untuk memperingatkan isteri-isteri mereka tentang apa yang telah diwajibkan oleh Allah ke atas mereka, seperti menjaga hubungan baik dan memperlakukan suami dengan penuh adab, serta mengakui kedudukan yang diberikan suami ke atas mereka. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/171)
Kesimpulan
Ringkasnya, setiap pasangan suami isteri perlu memahami dengan baik apakah itu lafaz talak dan bagaimana talak itu berlaku menurut syari‘at Islam. Kefahaman yang baik ini akan dapat memperbaiki pelbagai salah faham dalam masyarakat, dalam masa yang sama memberikan kesedaran bahawa bukanlah setiap perselisihan juga tiada persetujuan antara pasangan itu menjurus kepada talak.
Isteri juga perlu menerima teguran yang baik dari suami, sebagaimana suami juga perlu mengenepikan ego dan menerima teguran yang baik dari pihak isteri. Perkahwinan itu adaah sebuah pelayaran yang melengkapkan antara seseorang individu dengan yang lain, maka layarilah ia dengan penuh kesabaran, pengorbanan dan kasih sayang agar kelak dapat mengecapi kemanisan hidup berkeluarga. Inilah yang disifatkan dalam firman-Nya:
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
(Surah Rum: 21)
Semoga Allah SWT memelihara ikatan perkahwinan yang telah terbina dan menghimpunkan kita bersama pasangan serta ahli keluarga di Syurga-Nya kelak. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam