Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. adakah terdapat syarat khusus yang perlu diteliti bagi memberi zakat kepada Ibn Sabil?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.”
(Surah al-Taubah: 60)
Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.” (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)
Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175)
Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan wajib memberi zakat harta dan zakat Fitrah kepada lapan golongan asnaf. Dan mereka itu adalah golongan fakir dan miskin, amil zakat, muallaf, hamba, orang yang berhutang, golongan yang berjuang di jalan Allah dan musafir. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/105)
Pengertian Golongan Ibn al-Sabil dalam Asnaf Zakat
Lafaz ibn bermaksud anak, manakala al-Sabil bermaksud jalan. Maka, secara ringkasnya, ia bermaksud anak jalan. Lafaz ini merupakan satu kiasan terhadap orang yang selalu merantau atau bermusafir disebabkan mereka selalu berada di jalan bagi tujuan permusafiran tersebut. (Lihat Lisan al-‘Arab, 6/162-163) Penyifatan sesuatu sebagai ‘anak’ daripada sesuatu yang dia sertai adalah merupakan satu lumrah dalam tatabahasa Arab, sepertimana disebut.
Menurut Ibn Qudamah, Ibn al-Sabil adalah musafir yang tidak memiliki (harta) untuk membekali kepulangannya ke negara asalnya, sementara dia merupakan orang yang mampu di negaranya. Maka, dia diberikan sekadar apa yang mencukupinya sebagai bekal untuk kembali ke negaranya. (Lihat al-Mughni, 6/484) Ibn al-Sabil berhak memperoleh harta zakat sekadar keperluan safarnya, tidak lebih. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 1/298)
Dalam mazhab Syafi‘i, Ibn al-Sabil ditakrifkan sebagai orang yang berada di suatu kawasan harta sedekah (zakat), dan dalam permusafiran yang bukan maksiat, namun dia tidak mampu untuk sampai ke destinasi melainkan diberi bantuan kepadanya. Jelas Imam al-Nawawi, terdapat dua golongan yang boleh dikategorikan sebagai Ibn al-Sabil. Pertama, anak watan atau bukan, atau orang yang bermukim di sesuatu tempat yang ingin memulakan perjalanannya. Kedua, orang asing yang terkandas dan tidak dapat meneruskan perjalanannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/214)
Mazhab Hanafi pula mendefinisikan Ibn al-Sabil sebagai orang asing yang terputus hartanya meskipun dia seorang yang kaya di tanah airnya. Ini disebabkan dia dianggap sebagai seorang fakir pada masa tersebut. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 2/908)
Menurut Mazhab Maliki, Ibn al-Sabil adalah orang asing yang memerlukan harta bagi meneruskan perjalanan ke destinasinya. Ia mestilah bukan dalam perkara maksiat, dan dia tidak memiliki wang untuk menyara dirinya meskipun dia memilikinya di tanah air. (Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/498)
Berdasarkan beberapa kenyataan yang dinukilkan di atas, dapat difahami bahawa pada asasnya, Ibn al-Sabil adalah mereka yang terkandas atau menghadapi kesukaran dalam perjalanan disebabkan terputusnya bekalan, di mana jika disalurkan bantuan tersebut kepadanya, ia akan membantu mereka untuk sampai ke tempat yang dituju.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut:
Terdapat syarat-syarat tertentu untuk memberi zakat kepada ibn sabil. Sebahagiannya disepakati dan sebahagian lagi masih terdapat perselisihan pandangan.
Pertama: Ibn sabil tersebut dalam keadaan berhajat kepada sesuatu keperluan untuk sampai ke negerinya. Sekiranya dia memiliki keperluan tersebut, maka dia tidak perlu diberi bantuan kerana maksud bantuan itu adalah untuk menyampaikannya ke negeri asalnya kembali. Namun berbeza keadaannya dengan orang yang berjihad. Menurut pendapat para ulama selain ulama mazhab Hanafi, orang berjihad berhak menerima bantuan walaupun di tempat tinggalnya dia merupakan orang kaya tanpa perlu membayar semula bantuan tersebut kerana diberikan dari dana zakat. Ini kerana maksud dari pemberian bantuan itu adalah untuk menakutkan musuh. Pemberian zakat kepada orang berjihad akan memperkuatkan keberaniannya untuk menghadapi musuh Allah.
Kedua: Perjalanan tersebut bukan bertujuan maksiat. Sekiranya perjalanan itu untuk maksiat, seperti bertujuan membunuh orang, atau berniaga sesuatu yang diharamkan, atau yang seumpamanya, maka dia tidak boleh diberi zakat. Ini kerana tujuan dari pemberian zakat adalah untuk membantu, maka tidak diperbolehkan membantu orang yang hendak melakukan maksiat kepada Allah dengan menggunakan harta orang Islam kecuali setelah dia bertaubat dengan taubat nasuha, maka ia boleh diberi zakat untuk kos meneruskan perjalanannya untuk pulang. Kecuali dikhuatiri ke atasnya berlaku kematian, maka boleh diberikan zakat meskipun belum bertaubat kerana jika dia bermakisat sekalipun maka kita tidak mahu dikira sebagai melakukan maksiat dengan membiarkan dia mati. (Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/498)
Perjalanan yang tidak bermaksiat itu merangkumi tiga bahagian iaitu:
- Perjalanan untuk beribadat (menunaikan ketaatan kepada Allah).
- Perjalanan untuk urusan duniawi yang dibenarkan.
- Perjalanan untuk hiburan dan pelancongan.
Adapun perjalanan demi menunaikan ketaatan kepada Allah seperti menunaikan haji, berjihad, menuntut ilmu, dan ziarah yang disunatkan dan seumpamanya. Dalam hal ini tiada khilaf dalam membolehkan zakat diberikan kepada tujuan itu kerana memberikan pertolongan dalam ketaatan adalah diperintahkan oleh syariat Islam.
Manakala bermusafir untuk memenuhi keperluan hajat duniawi seperti berniaga, mencari rezeki dan seumpamanya, maka pandangan yang diketahui secara ‘urufnya terutama bagi mereka yang mengatakan tentang ibnu sabil itu adalah orang asing yang terputus bekalan dari negaranya dan juga hartanya adalah berhak diberi zakat tanpa ada perbezaan pendapat. Ini kerana dalam pemberian zakat itu mengandungi maksud pertolongan kepadanya di atas hajat duniawi yang diharuskan dan demi mencapai hasratnya yang murni.
Ulama mazhab Syafie yang berpendapat bahawa ibn sabil itu meliputi orang yang baru berniat melakukan perjalanan dari negaranya, maka bagi masalah ini terdapat dua pandangan:
- Tidak boleh diberi zakat kerana dia sendiri tidak berhajat (tiada keperluan) untuk bermusafir.
- Boleh diberi zakat kerana keringanan (rukhsah) yang diberikan agama terhadap urusan permusafiran, tidak membezakan antara permusafiran yang bersifat ketaatan atau pada perkara yang harus, sama seperti dalam masalah menggasarkan solat dan berbuka puasa pada bulan Ramadan. Inilah pendapat yang sahih.
Adapun perjalanan yang bertujuan hiburan dan pelancongan maka terdapat khilaf yang lebih banyak terhadapnya terutama dalam kalangan ulama mazhab Syafie dan Hanbali. Sebahagian ulama berpendapat, mereka boleh diberi zakat kerana ia merupakan perjalanan yang bukan bertujuan maksiat. Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat tidak boleh diberi zakat kerana musafirnya bukan merupakan perjalanan yang diperlukan sebaliknya perjalanan itu dilakukan kerana ada lebihan kemampuan. (Lihat al-Majmu’, 6/214; al-Syarh al-Kabir, 2/701)
- Orang yang mempunyai harta di negaranya dan mampu membayar pinjaman, namun tiada sesiapa yang mahu memberinya pinjaman ketika itu di tempat dia bermusafir. (Lihat Syarh al-Khurasyi ‘ala al-Khalil, 2/219; Nihayah al-Muhtaj, 6/156)
Syarat ini hanya ditetapkan oleh sebahagian ulama mazhab Maliki dan Syafie sahaja, sedangkan para ulama lain dalam kedua-dua mazhab ini berbeza pendapat dengan mereka. Ibn al-‘Arabi telah mentarjihkan dalam kitabnya Ahkam al-Quran dan al-Qurtubi dalam tafsirnya bahawa ibn sabil itu berhak diberi zakat walaupun ada orang yang bersedia memberinya pinjaman. Mereka berdua berkata: “Tidaklah mesti seseorang itu perlu berhutang, sedangkan dia telah mendapatkan kurniaan dari Allah SWT dan nikmat-Nya (daripada zakat).” (Lihat Ahkam al-Quran, 2/958)
Al-Nawawi berkata: “Andaikata ibn sabil menemukan orang yang sanggup memberikannya pinjaman, tidak semestinya dia meminjam dari orang tersebut, sebaliknya boleh diberikan zakat kepadanya.” (Lihat al-Majmu’, 6/216)
Ulama mazhab Hanafi berpendapat: “Lebih utama bagi ibn sabil tersebut meminjam harta itu sekiranya dia mampu membayarnya kembali. Tetapi tidak wajib baginya untuk meminjam kerana ada kemungkinan dia tidak mampu membayarnya kembali. (Lihat Fath al-Qadir, 2/18; Radd al-Muhtar, 2/64)
Alasan-alasan ini adalah tambahan kepada hujah yang telah diterangkan olels Ibn al-Arabi dan al-Qurtubi.
Kedua-dua alasan (‘illah) yang menghalang kewajipan ibn sabil untuk berhutang adalah:
Pertama: Meminjam itu ibarat terhutang budi kepada manusia, dan Allah SWT tidak membebankan kita terhadap hal itu.
Kedua: Ada kemungkinan dia tidak mampu untuk membayar hutang tersebut sehingga akan memudaratkan dirinya dan juga pihak yang memberi pinjaman. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/151 – 153)
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”