Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah yang tergolong dalam keluarga nabi yang tak mungkin diberi zakat kepadanya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW, sepertimana dalam riwayat daripada Wasilah bin al-Asqa’ R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى كِنَانَةَ مِنْ وَلَدِ إِسْمَاعِيلَ وَاصْطَفَى قُرَيْشًا مِنْ كِنَانَةَ وَاصْطَفَى مِنْ قُرَيْشٍ بَنِي هَاشِمٍ وَاصْطَفَانِي مِنْ بَنِي هَاشِمٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memilih Kinanah dari keturunan Nabi Ismail, dan memilih Quraisy dari Kinanah, dan memilih Hasyim dari Quraisy, dan memilihku dari Bani Hasyim.”
Riwayat Muslim (2276)
Manakala dalam Sahih al-Bukhari, Kitab Manaqib al-Ansar, Bab Pengutusan Nabi SAW (4/228), disebut:
مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّه بْنِ عَبْدِ المُطَّلِبِ بْنِ هَاشِمِ بْنِ عَبْدِ مَنَافِ بْنِ قُصَيِّ بْنِ كِلاَبِ بْنِ مُرَّةَ بْنِ كَعبِ بْنِ لؤَيِّ بْنِ غالِبِ بْنِ فِهْرِ بْنِ مَالِكِ بْنِ النَّضْرِ بْنِ كِنَانَةَ بْنِ خُزَيْمَةَ بْنِ مُدْرِكَةَ بْنِ إِلْيَاسَ بْنِ مُضَرَ بْنِ نِزَارِ بْنِ مَعَدِّ بْنِ عَدْنَانَ
Maksudnya: (Nabi Muhammad SAW bernama): Muhammad Bin Abdullah bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim bin ‘Abdu Manaf bin Qusai Bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ay bin Ghalib Bin Fihr bin Malik bin Al-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah Bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma’ad bin ‘Adnan. (Lihat Sahih al-Bukhari, 4/228).
Berkenaan persoalan di atas, terdapat dua riwayat yang menunjukkan Rasulullah SAW dan keluarganya tidak berhak menerima zakat. Imam Ahmad dan Imam Muslim meriwayatkan dari al-Muttalib bin Rabi’ah bin al-Harith bin Abdul Muttalib bahawasanya dia dan Fadhl bin ‘Abbas r.a pergi menghadap Rasulullah SAW. Kemudian, salah seorang daripada mereka berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ جِئْنَاكَ لِتُؤَمِّرَنَا عَلَى هَذِهِ الصَّدَقَاتِ فَنُصِيبَ مَا يُصِيبُ النَّاسُ مِنَ الْمَنْفَعَةِ وَنُؤَدِّي إِلَيْكَ مَا يُؤَدِّيَ النَّاسُ قَالَ: إِنَّ الصَّدَقَةَ لَا تَنْبَغِي لِمُحَمَّدٍ وَلَا لِآلِ مُحَمَّدٍ إِنَّمَا هِيَ أَوْسَاخُ النَّاسِ.
Maksudnya: Wahai Rasulullah SAW kami datang kepadamu, agar engkau memberi perintah kepada kami tentang urusan sedekah (zakat) ini, agar kami mendapat manfaat daripada pemberian itu, sebagaimana orang lain mendapatkannya, dan kami menyampaikan kepadamu apa yang disampaikan oleh kebanyakan orang. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu tidak layak bagi Muhammad, dan tidak layak pula bagi keluarga Muhammad, kerana sesungguhnya sedekah itu adalah seperti kotoran manusia.”
Riwayat Ibn Hibban (4256)
Daripada lafaz hadis keduanya juga (Ahmad dan Muslim):
لَا تَحِلُّ لِمُحَمَّدٍ، وَلَا لِآلِ مُحَمَّدٍ.
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah itu tidak halal bagi Muhammad dan tidak pula bagi keluarga Muhammad.”
Riwayat Muslim (1072)
Perkara ini disebutkan dalam kitab al-Muntaqa.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut:
Al-Hafiz (Ibn Hajar) dalam kitab al-Fath (3/277), dan al-Syaukani dalam kitab al-Nail (4/182) menerangkan perbezaan pendapat para fuqaha tentang siapakah yang dimaksudkan dengan keluarga (Nabi Muhammad SAW) di sini.
Imam al-Syafie dan sebahagian jemaah ulama berpendapat, bahawa mereka itu adalah Bani Hasyim dan Bani al-Muttalib. Imam al-Syafie berhujah dengan dalil bahawasanya Nabi SAW menyatukan Bani al-Muttalib dengan Bani Hasyim pada bahagian dzawi al- qurba (kerabat terdekat Nabi SAW) dan tidak memberikan bahagian kepada walau seorang pun daripada kabilah-kabilah Quraisy selain mereka. Pemberian itu merupakan ganti kepada sedekah (zakat) yang diharamkan kepada mereka. Sebagaimana Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Jubair bin Mut’im r.a, beliau berkata:
مَشَيْتُ أَنَا وَعُثْمَانُ بن عَفَّانَ إِلى النَّبِيِّ، فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَعْطَيْتَ بَنِي الْمُطَّلِبِ مِنْ خُمُسٍ خَيْبَرٍ وتَرَكْتَنَا، وَنَحْنُ وَهُمْ بِمَنْزِلَةٍ وَاحِدَةٍ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا بَنُو الْمُطَّلِبِ وَبَنُو هَاشِمٍ شَيْءٌ وَاحِدٌ.
Maksudnya: “Aku berjalan bersama Uthman bin Affan R.A pergi menemui Nabi SAW kemudian kami berkata: “Wahai Rasulullah SAW engkau telah memberi kepada Bani al-Muttalib dari 1/5 ghanimah Khaibar, dan engkau meninggalkan kami (tidak memberikan ghanimah itu) padahal kami dan mereka itu sama sahaja darjatnya.” Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Bani al-Muttalib dan Bani Hasyim itu adalah satu.
Riwayat al-Bukhari (3502)
Akan tetapi hujah tersebut dijawab dengan menyatakan tindakan Rasulullah SAW memberi mereka ghanimah adalah atas dasar kesetiaan (sokongan berterusan dari zaman Makkah), bukan sebagai pengganti kepada sedekah (zakat).
Imam Abu Hanifah, Malik dan al-Hadawiyyah berpendapat bahawa keluarga Muhammad SAW itu adalah Bani Hasyim sahaja. Terdapat dua riwayat daripada Imam Ahmad tentang Bani al-Muttalib. Riwayat lainnya mengatakan termasuk Bani Ghalib bin Fihr. Demikian itulah keterangan yang terdapat dalam kitab al-Fath.
Adapun yang dimaksudkan dengan Bani Hasyim adalah keluarga Ali R.A, keluarga Aqil R.A, keluarga Ja’afar R.A, keluarga al-‘Abbas R.A dan keluarga al-Harith R.A namun tidak termasuk dalamnya keluarga Abu Lahab kerana dinyatakan tiada seorang pun dalam kalangan keluarganya yang memeluk Islam selama hidup Rasulullah SAW. Tetapi keterangan ini disangkal dengan kenyataan yang terdapat dalam Jami’ al-Usul, bahawa ‘Utbah dan Mua’ttib yang merupakan dua orang anak Abu Lahab telah Islam pada tahun pembukaan kota Mekah, dan Rasulullah SAW gembira dengan keislaman mereka serta mendoakan mereka berdua, dan mereka berdua juga telah ikut berperang bersama Nabi SAW ketika perang Hunain dan Taif dan kedua-duanya mempunyai keturunan yang berterusan wujud menurut pakar ilmu nasab.
Ibn Qudamah berkata: “Kami tidak mengetahui wujudnya perbezaan pendapat bahawa bagi Bani Hasyim tidak dihalalkan sedekah wajib kepada mereka. Begitu juga beliau berpendapat Abu Talib dari kalangan ahli bait, sebagaimana dihikayatkan daripadanya dalam kitab al-Bahr. Sepertinya juga Ibn Ruslan menghikayatkan terdapat ijmak ulama dalam masalah ini.
Al-Tabari menukilkan pendapat Imam Abu Hanifah yang membolehkan diberi zakat kepada mereka. Dikatakan juga daripadanya: Diharuskan zakat kepada mereka jika mereka terhalang daripada menerima bahagian dzawi al-qurba (kerabat). Pendapat ini dihikayatkan oleh al-Tahawi.
Sebahagian ulama mazhab Maliki menukilkan pandangan itu daripada al-Abhari. Ibn Hajar berkata dalam kitab al-Fath, bahawa ini termasuk pendapat sebahagian ulama mazhab al- Syafie. Dihikayatkan juga dalam kitab itu daripada Abu Yusuf, bahawa zakat dihalalkan jika diberikan oleh ahli keluarga mereka kepada sesame mereka sahaja namun tidak daripada selain mereka. Pendapat yang sama dihikayatkan juga dalam kitab al-Bahr daripada Zaid bin Ali, al-Murtadha, Abu al-‘Abbas dalam kalangan al-Imamiah (Syiah Imam 12). Begitu juga dalam kitab Al-Syifa daripada Ibn al-Hadi dan Ibn al-Qasim Al- Iyyani.
Al-Hafiz (Ibn Hajar) berkata: “Di sisi mazhab Maliki terbahagi empat pendapat yang masyhur iaitu dibolehkan, dilarang, dibolehkan sedekah sunat tetapi bukan yang wajib dan sebaliknya (dibolehkan yang wajib tetapi bukan yang sunat).”
Menurut al-Syaukani: “Kesemua hadis-hadis yang menunjukkan kepada pengharaman tersebut secara umumnya merangkumi semua keadaan ahli bait.” Dikatakan juga hadis- hadis tersebut mencapai tahap mutawatir ma’nawi (mutawatir dari aspek makna). Pandangan ini diperkuatkan pula oleh firman Allah:
قُل لَّا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَىٰ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti).”
(Surah al-Syu’ara’: 23)
Begitu juga firman-Nya:
قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُتَكَلِّفِينَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah (balasan) kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dalam kalangan mereka yang mengada-ada (melakukan sesuatu pekerjaan di luar kemampuan).”
(Surah Sad: 86)
Sekiranya Allah SWT menghalalkan zakat buat keluarga Nabi SAW, dikuatirkan mereka akan mentohmah Baginda (dengan dakwaan wujud konflik kepentingan), dan juga berdasarkan firmanNya:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).
(Surah al-Taubah: 103)
Telah sabit hadis daripada Nabi SAW:
إنَّ هذِهِ الصَّدَقَاتِ إِنَّما هِيَ أَوْسَاحُ النَّاسِ .
Maksudnya: “Bahawa sedekah (zakat) itu termasuk kotoran manusia.”
Riwayat Muslim (1072)
Adapun dalil yang digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa dihalalkan zakat yang diberikan oleh Bani Hasyim kepada Bani Hasyim adalah berdasarkan hadis riwayat al-Hakim daripada bahagian ke-37 daripada kitab ‘Ulum al-Hadis, dengan semua sanadnya daripada Bani Hasyim. Sesungguhnya al-‘Abbas bin Abdul Muttalib berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah mengharamkan kepada kami zakat orang lain, justeru adakah halal bagi kami untuk saling bersedekah (zakat) sesama kami?” Baginda SAW menjawab: “Ya, boleh.” Namun begitu sebahagian perawi hadis ini telah dipertikaikan kredibilitinya (dengan dakwaan mendustakan riwayat hadis).
Tambahan daripada pendapat yang dinukilkan oleh dua Imam, Ibn Hajar dan al-Syaukani, kan kami kemukakan di sini sebahagian pandangan yang terdapat dalam kitab-kitab mazhab empat, bagi menyempurnakan faedah ilmu (perbahasan).
Dalam kitab Majma’ al-Anhur sebuah karya fiqh mazhab Hanafi pengarangya berkata: “Daripada Imam Abu Hanifah menyatakan tidak mengapa menyerahkan semua zakat (wajib dan sunat) kepada mereka.” Begitu juga daripada Abu Hanifah: “Boleh menyerahkan zakat kepada mereka.”
Dalam kitab Al-Athar, karangan Muhammad bin al-Hasan, dikemukakan dua riwayat daripada Imam Abu Hanifah. Muhammad berkata: “Kami mengambil pendapat yang membolehkan kerana pengharaman menerima zakat itu hanya dikhususkan ketika zaman Nabi SAW sahaja.”
Dalam kitab Durr al-Muntaqa, dikemukakan pendapat Imam Abu Hanifah yang membenarkan untuk diberikan zakat daripada Bani Hasyim kepada Bani Hasyim. Daripada Abu Hanifah juga: “Keharusan memberi zakat itu pada zaman kita adalah secara mutlak.” Adapun berkata Al-Tahawi: “Kami mengambil pendapat ini.” Perkara ini juga diakui oleh Al-Qahastani dan yang lain.” (Lihat Majma’ al-Anhur, hlm. 224) Syeikhul Islam Ibn Taimiyah menyatakan dibolehkan Bani Hasyim mengambil zakat daripada sekelian Bani Hasyim. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 2/157) Pendapat tersebut juga merupakan pegangan mazhab Ja’afariah. (Lihat Fiqh al-Imam Ja’far, 9/94)
Pendapat yang paling keras (ketat) dalam masalah ini, adalah mazhab Zaidiyyah yang tidak membolehkan zakat diberikan daripada Bani Hasyim kepada Bani Hasyim yang sepertinya. Ini adalah berdasarkan pendapat yang paling muktamad di sisi mereka. Mereka menganggap perbuatan memakan bangkai bagi Bani Hasyim adalah lebih utama daripada mereka mengambil zakat. Mereka berkata: Jika memakan bangkai itu memudaratkan mereka, maka dibolehkan untuk mereka mengambil zakat dengan cara berhutang dan hendaklah hutang tersebut dikembalikan semula apabila mampu. Semua ini hanya dibenarkan untuk mereka yang sedang dalam darurat yang dengannya mereka khuatir akan binasa, mati kelaparan atau kehausan atau ketiadaan pakaian dan seumpamanya. (Lihat Syarh al-Azhar, 1/520) (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/205 – 208)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”