#7475: Waktu Niat dalam Mengeluarkan Zakat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah waktu seseorang berniat ketika mengeluarkan zakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itu adalah agama yang benar.”

(Surah al-Bayyinah: 5)

Perkataan “hunafa” dalam ayat di atas merujuk kepada orang-orang yang berada dalam keadaan istiqamah terhadap agama mereka, lalu Allah menyuruh mereka untuk beribadah kepadanya dengan ikhlas sebagai syarat ketika melaksanakan solat dan mengeluarkan zakat. (Lihat al-Hawi al-Kabir oleh al-Mawardi, 2/3)

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ.

Maksudnya: “Tiap-tiap amalan harus disertai dengan niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Niat adalah salah satu daripada rukun di dalam ibadat langsung ( العبادة  المقصودة) seperti solat, haji dan puasa. Ibadat-ibadat tersebut tidak dikira sah kecuali apabila dilakukan dengan niat. Manakala ibadat yang tidak langsung yang hanya menjadi wasilah seperti wudhu’ dan mandi, maka ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa niat adalah syarat sempurna sahaja bagi menghasilkan pahala. Manakala ulama mazhab Syafi’i dan lain-lain menyatakan bahawa niat juga merupakan syarat sah. Oleh itu, ibadat-ibadat tidak langsung tidak sah kecuali dengan niat. (Lihat al-Wafi fi Syarh al-Arba’in al Nawawiyyah, hlm. 13).

Maksud niat di sini seperti kata Syeikh al-Sa’di adalah melakukan amalan dengan sengaja untuk mendekatkan diri kepada Allah, meraih redha dan pahala daripada-Nya. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar wa Qurrah ‘Uyun al-Akhyar, hlm. 6). Kenyataan Baginda SAW “Sesungguhnya setiap amalan bergantung dengan niat” memberi maksud amalan yang berkenaan dengan ketaatan bukan amalan yang bersifat harus apatah lagi yang makruh dan haram.

Berkenaan persoalan di atas, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Jika tidak disertakan dengan niat, sama ada kerana jahil ataupun lupa, maka pengeluaran zakat dianggap tidak memenuhi syarat kerana sifat jahil dan lupa untuk berniat membawa maksud pengeluaran sesuatu zakat itu dilakukan tanpa niat ibadat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Perbuatan tersebut seumpama beramal tanpa matlamat dan umpama tubuh tanpa nyawa. Niat menjadi wajib sama ada ketika seseorang itu menunaikan zakat bagi dirinya sendiri atau bagi pihak orang lain yang dia menguruskan hartanya seperti kanak-kanak, orang gila ataupun safih iaitu orang yang tidak mampu mentadbir harta kerana jahil dan akal yang lemah yang dihalang daripada menguruskan hartanya sendiri (mahjur ‘alaih) dengan dia berniat menunaikan kewajipan zakat pada hartanya atau pada harta pihak yang diuruskannya. (Lihat Hasyiyah al-Sawi, 1/235) Apabila wali kepada kanak-kanak atau orang gila menyerahkan zakat harta mereka tanpa disertai dengan niat, maka zakat itu tidak memenuhi syarat dan wali tersebut wajib menggantikannya. (Lihat al-Raudhah, 2/208; Fiqh al-Zakah, PPZ, 2/273)

Dalam menjawab persoalan di atas juga, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut: Sekiranya niat untuk berzakat merupakan syarat, maka bilakah ia berlaku? Ulama mazhab Hanafi menetapkan niat mesti bersama iaitu seiring semasa mengeluarkan zakat. laitu sewaktu menyerahkan zakat tersebut kepada orang-orang fakir atau kepada pemerintah kerana pemerintah itu adalah wakil daripada si fakir. Kebersamaan niat sewaktu melakukan amalan merupakan asal sebagaimana dalam ibadat-ibadat yang lain.

Kebersamaan secara maknawi dianggap memenuhi kewajipan, seperti sekiranya dia mengeluarkan zakat tanpa niat kemudian dia berniat pula dalam keadaan harta telah pun sampai ke tangan fakir, atau ia berniat sewaktu menyerahkan kepada wakil kemudian wakil menyerahkannya tanpa niat, atau ia menyerahkan zakat itu kepada seorang zimmi supaya zimmi tersebut menyerahkannya kepada orang-orang fakir maka hal demikian itu adalah dibolehkan kerana yang diambil kira adalah niat orang yang menyuruh.

Memadai satu kali niat sahaja sewaktu mengasingkan kadar harta yang wajib dikenakan zakat daripada hartanya meskipun bertentangan dengan asalnya. Ini adalah kerana penyerahan kepada golongan yang berhak itu berbeza pada waktu, dan akan menjadi kesulitan untuk berniat setiap kali melakukannya. Maka memadai satu kali niat sahaja ketika pengasingan tersebut bagi mengelakkan kesulitan. Akan tetapi, tidak terlunas tanggungjawab hanya dengan memisahkan harta tetapi mestilah diberikan kepada orang-orang fakir.

Apabila seseorang itu bersedekah dengan kesemua hartanya maka gugurlah kewajipan zakatnya walaupun dia berniat ketika melakukannya ataupun tidak berniat sama sekali. Ini kerana kewajipan zakat itu hanya sebahagian kecil daripada hartanya sedangkan dia telah mensedekahkan semua hartanya semata-mata kerana Allah SWT. Sesungguhnya,niat itu disyaratkan untuk menghilangkan pertindihan niat dan disebabkan dia telah mengeluarkan kesemua hartanya, maka hilanglah pertindihan itu.” (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 2/14)

Menurut ulama mazhab Maliki, niat itu wajib semasa memisahkan harta zakat atau sewaktu menyerahkan harta itu kepada golongan yang berhak. Cukuplah salah satu daripada keduanya. Jika dia tidak berniat pada waktu memisahkan hartanya dan tidak pula sewaktu penyerahan, akan tetapi dia berniat sesudahnya ataupun sebelumnya, maka niat adalah tidak memadai. (Lihat Hasyiyah al-Dusuqi, 1/500)

Terdapat dua pendapat dalam kalangan mazhab Syafie yang membolehkan mendahulukan niat sebelum menunaikan zakat. Pandangan yang paling sahih sepertimana dinyatakan oleh Imam Nawawi, ianya adalah sah seperti puasa, disebabkan sukar untuk digandingkan (niat dengan berpuasa atau mewajibkan niat semasa mengeluarkan zakat), dan kerana tujuan zakat adalah untuk memenuhi keperluan orang-orang yang fakir. Oleh itu, memadai niat daripada muwakkil (orang yang mewakilkan) ketika dia memberikannya kepada si wakil. Pandangan kedua, disyaratkan niat bagi wakil ketika mana dia menyerahkan zakat tersebut kepada orang-orang miskin. Jika dia mewakilkan kepada orang lain untuk menyerahkan zakat dan meniatkan bagi pihaknya, maka ia dibolehkan. (Lihat al-Raudhah, 2/209)

Menurut mazhab Hanbali sebagaimana yang terkandung dalam kitab al-Mughni menyatakan, diperbolehkan mendahulukan niat sebelum memberikannya dengan syarat jarak waktunya tidak lama, sama seperti ibadat-ibadat yang lain dan kerana ini juga, maka diperbolehkan mewakilkan dalam berniat kerana mengiringi kebersamaan berniat dianggap membawa kesulitan. Pada sudut yang lain pula mereka mengetatkan dengan mengatakan dalam kitab al-Mughni bahawa penyerahan zakat menerusi wakil dan dia berniat, hal itu diharuskan untuk tidak melalui jarak waktu yang lama antara niat dan penyerahan. Sekiranya jarak waktu itu lama maka ia tidak dibolehkan, kecuali wakilnya itu berniat pula ketika menyerahkan pada golongan yang berhak. Mereka turut menyatakan bahawa tidak sah zakat apabila seseorang menyedekahkan semua hartanya dengan niat sedekah sunat dan tidak berniat zakat. Ini kerana perlaksanaan ibadat wajib tanpa niat tidak akan mengangkat kewajipan tersebut sebagaimana kewajipan solat fardhu lima rakaat tidak akan terangkat ketika ia melaksanakan solat 100 rakaat sekalipun tanpa meniatkan solat fardhu. Perkara ini selari dengan pendapat Imam Syafie. (Lihat al-Mughni, 2/533)

Pendapat yang penulis pilih dalam segala bentuk tersebut adalah pendapat yang meringankan serta memudahkan. Cukuplah bagi seorang Muslim berniat umum sahaja pada waktu mengeluarkan zakatnya. (Lihat Fiqh al-Zakah, 2/277 – 278)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.