Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya terfikir-fikir kenapa kita perlu berselawat kepada Nabi SAW dalam setiap doa khusus, dan apabila nama Nabi SAW disebut, sedangkan Baginda seorang yang maksum dan insan yang sempurna? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah SWT memulakan perintah untuk berselawat dengan Zat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
(Surah al-Ahzab: 56)
Terdapat hadith yang menunjukkan kepada galakan untuk berselawat kepada Nabi SAW, di mana ia mengandungi fadhilat yang besar, termasuk penghapusan dosa dan meninggikan darjat. Ini adalah sebagaimana riwayat Anas bin Malik R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً، صَلَّى الله عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah SAW akan berselawat kepadanya sepuluh kali, menghapuskan sepuluh dosa daripadanya, dan ditinggikan sepuluh darjatnya.”
Riwayat al-Nasa’i (1221)
Ibn al-Malak menyatakan, selawat Allah kepada hamba-Nya adalah sebagai rahmat daripada Allah. Seterusnya, dihapuskan sepuluh dosa daripadanya pula dengan erti dosa-dosanya diampunkan, ditutupi, dan dihapuskan. Al-Tibi pula menjelaskan, selawat daripada hamba adalah permintaan untuk mengagungkan dan memuliakan Rasulullah SAW, manakala selawat daripada Allah, sekiranya ia dalam bentuk ganjaran, bermaksud pengampunan; maka ia adalah dari bab al-Musyakalah dari segi lafaz. Sekiranya selawat itu bermaksud pengagungan, maka ia selari dari segi perkataan dan makna, dan ini adalah pendekatan supaya tidak mengulangi maksud pengampunan, iaitu bersama dengan penghapusan dosa dan juga dalam bentuk bilangan khusus, yang membawa maksud tambahan dan kelebihan ketika kematian yang diminta. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/742).
Keduanya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa terdapat beberapa sebab yang berkemungkinan menjadi asbab kenapa kita diperintahkan untuk berselawat kepada Nabi SAW. Di antaranya:
Pertama: Selawat dan salam ke atas Nabi SAW adalah satu perintah. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya (Nabi Muhammad) serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
(Surah al-Ahzab: 56)
Selawat ini merupakan satu ibadah, dan wajib bagi seorang Muslim untuk patuh kepada perintah Allah serta tidak mempertikaikan perintah-Nya.
Kedua: Kelebihan dan keutamaan selawat ke atas Nabi SAW bukan hanya memberi manfaat kepada Baginda SAW semata-mata, tetapi juga ia kembali kepada orang yang berselawat itu sendiri. Di antaranya adalah sebagaimana yang disebut dalam hadith di atas, di mana sesiapa yang berselawat ke atas Nabi SAW sebanyak sekali, Allah akan berselawat ke atas sebanyak sepuluh kali, ditambah lagi akan dihapuskan sepuluh dosa daripadanya, dan ditinggikan sepuluh darjatnya.
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika menjelaskan hadith, “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, maka Allah berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali.” Ini bermakna jika kamu berselawat dengan mengucapkan: “اللهم صل على محمد” maka Allah SWT akan berselawat ke atasmu sepuluh kali. Bahkan Allah memuji kamu dalam kalangan makhluk tertinggi sebanyak sepuluh kali. Ini menunjukkan keutamaan/kelebihan berselawat ke atas Rasulullah SAW dan menunjukkan kedudukan yang tinggi bagi Nabi SAW di sisi Allah SWT, di mana Allah membalas sesiapa yang berselawat kepadanya dengan sepuluh kali ganda amalannya; Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 5/475).
Ketiga: Hak Nabi SAW adalah hak yang paling agung selepas hak Allah SWT, kerana Allah SWT telah menyelamatkan makhluk-Nya daripada kegelapan (kesesatan) kepada cahaya (keimanan) melalui Baginda SAW. Allah SWT berfirman:
هُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ عَلَىٰ عَبْدِهِ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ لِّيُخْرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ
Maksudnya: “Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya (Nabi Muhammad) keterangan-keterangan al-Quran yang terang nyata, kerana Ia hendak mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kekufuran) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang.”
(Surah al-Hadid: 9)
Allah SWT berfirman lagi:
كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ
Maksudnya: “Ini ialah Kitab (al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka.”
(Surah Ibrahim: 1)
Apabila seseorang sering menyebut nama seorang doktor yang Allah jadikan sebagai sebab kesembuhannya sedangkan kesembuhan itu hanya berkaitan dengan tubuh badan maka bagaimana pula dengan seseorang yang Allah jadikan sebagai sebab bagi kebaikan roh dan tubuh badan sekali gus?!
Oleh itu, menjadi hak Nabi SAW ke atas umatnya agar mereka memperbanyakkan selawat ke atasnya sebagai tanda kesyukuran atas kebaikan Baginda dan sebagai sebahagian daripada balasan bagi hak-hak Baginda SAW.
Ibn al-Qayyim menyebutkan, sesungguhnya Allah SWT memerintahkan untuk berselawat ke atas Baginda setelah memberitahu bahawa Dia dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Baginda. Maksudnya, apabila Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Rasul-Nya, maka berselawatlah kamu sekalian ke atas Baginda, kerana kamu lebih patut untuk berselawat dan memberi salam kepada Baginda sebagai tanda syukur atas kebaikan yang kamu peroleh dengan berkat risalahnya. (Lihat Jala’ al-Afham, hlm. 161-162).
Al-Sa‘di ketika mensyarahkan ayat, “يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا” menyatakan bahawa orang beriman diperintahkan untuk berselawat ke atas Nabi SAW sebagai mencontohi Allah dan para malaikat-Nya, sebagai balasan atas sebahagian daripada hak Baginda ke atasnya, sebagai penyempurnaan keimanannya, sebagai tanda pengagungan terhadap Baginda SAW, sebagai tanda cinta dan penghormatan, serta sebagai peningkatan pahala dan penghapusan dosa-dosa (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/671).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”