#7481: Mengajar Tatacara Umrah dan Haji Menggunakan Model Kaabah dan Melakukan Tawaf di Sekelilingnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum mengajar manasik (tatacara) umrah dan haji dengan menggunakan model Kaabah dan melakukan tawaf di sekelilingnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan kami dengan menyatakan bahawa Allah SWT mengangkat kedudukan para ulama melalui firman-Nya:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah lagi (kepadanya): ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’

(Surah al-Zumar: 9)

Begitu juga Allah SWT memerintahkan mereka untuk mengajar para hamba-Nya melalui firman-Nya:

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ وَلَا تَكْتُمُونَهُ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “’Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya.’

(Surah Ali ‘Imran: 187)

Selain daripada itu, Allah SWT juga ada memerintahkan kita untuk melaksanakan haji dan umrah melalui firman-Nya:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah.

(Surah al-Baqarah: 196)

Justeru, diperintahkan kepada kita oleh Allah SWT untuk melaksanakannya (ibadah haji dan umrah) dan menyempurnakanya. Namun, sebagaimana yang diketahui bahawa tiadanya amalan tanpa ilmu seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab al-‘Ilm dalam Sahihnya bahawa: “بَابٌ: العِلْمُ قَبْلَ القَوْلِ وَالعَمَلِ” (Bab: Ilmu Sebelum Mengucapkan Sesuatu dan Beramal). Ini adalah berdasarkan firman Allah ‘Azza wa Jalla:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

(Surah Muhammad: 19)

Dalam ayat di atas, Allah SWT memulakan dengan ilmu. (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/37).

Bentuk-bentuk (gambaran) pengajaran secara visual dalam Islam

Seterusnya, antara sunnatullah dalam mendidik Nabi dan kekasih-Nya, Muhammad SAW, adalah dengan kepelbagaian kaedah dan cara. Salah satu daripadanya adalah sebagaimana diceritakan melalui hadith daripada Aisyah R.Anha bahawasanya:

أَنَّ الحَارِثَ بْنَ هِشَامٍ سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَيْفَ يَأْتِيكَ الوَحْيُ؟ قَالَ: كُلُّ ذَاكَ يَأْتِينِي المَلَكُ أَحْيَانًا فِي مِثْلِ صَلْصَلَةِ الجَرَسِ، فَيَفْصِمُ عَنِّي، وَقَدْ وَعَيْتُ مَا قَالَ، وَهُوَ أَشَدُّهُ عَلَيَّ، وَيَتَمَثَّلُ لِي المَلَكُ أَحْيَانًا رَجُلًا فَيُكَلِّمُنِي، فَأَعِي مَا يَقُولُ

Maksudnya: “Al-Harith bin Hisyam bertanya kepada Nabi SAW: ‘Bagaimanakah wahyu datang kepadamu?’ Baginda menjawab: ‘Semua itu, terkadang malaikat datang kepadaku seperti bunyi loceng, lalu bunyi itu dihentikan daripadaku dan aku telah memahami apa yang Jibril katakan. Inilah yang paling berat bagiku. Dan terkadang malaikat menampakkan diri kepadaku berupa sosok lelaki, lalu Jibril berbicara denganku dan aku pun menghafal dan memahami apa yang dikatakannya.’

Riwayat al-Bukhari (3215) dan Muslim (2333)

Selain daripada itu, terdapat riwayat bahawa perkara ghaib ditayangkan di hadapan Rasulullah SAW, seperti dalam hadith Anas bin Malik R.A, di mana Rasulullah SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ عُرِضَتْ عَلَيَّ الجَنَّةُ وَالنَّارُ آنِفًا، فِي عُرْضِ هَذَا الحَائِطِ، وَأَنَا أُصَلِّي، فَلَمْ أَرَ كَاليَوْمِ فِي الخَيْرِ وَالشَّرِّ

Maksudnya: “Aku bersumpah, demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh telah diperlihatkan kepadaku syurga dan neraka di sebalik tembok ini saat aku sedang mendirikan solat. Aku belum pernah melihat kebaikan dan keburukan seperti hari ini.

Riwayat al-Bukhari (7294)

Menurut al-Qastalani, kalimat anifan “آنفًا” dengan memanjangkan hamzah dan dalam bentuk nasab sebagai zarafiyyah kerana ia mengandungi makna zaraf (ظرف), iaitu masa yang paling dekat denganku iaitu sekarang. Seterusnya lafaz “فِي عُرْضِ هَذَا الحَائِطِ” pula dengan dibaca dengan baris depan pada huruf ‘ain dan sukun pada huruf ra’, iaitu merujuk pada sisi temboknya. Seterusnya dinyatakan Baginda tidak pernah melihat “seperti hari ini” yang merupakan sifat tersembunyi bagi hari, iaitu hari seperti hari ini, “dalam kebaikan” yang Baginda lihat di dalam syurga “dan keburukan” yang Baginda lihat di dalam neraka. (Lihat Irsyad al-Sari, 10/311).

Demikian juga berlaku dalam peristiwa Isra’, ketika kaum Quraisy meminta Nabi SAW untuk menggambarkan Baitul Maqdis. Baginda bersabda:

لَمَّا كَذَّبَنِي قُرَيْشٌ، قُمْتُ فِي الحِجْرِ، فَجَلاَ اللَّهُ لِي بَيْتَ المَقْدِسِ، فَطَفِقْتُ أُخْبِرُهُمْ عَنْ آيَاتِهِ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Ketika orang-orang Quraisy mendustakanku (yakni tidak percaya tentang Isra’ dan Mi’raj), aku berdiri di al-Hijr, lalu Allah menyingkapkan Baitul Maqdis kepadaku. Aku pun mula menceritakan kepada mereka tanda-tandanya (Baitul Maqdis itu) ketika aku sedang melihatnya.”

Riwayat al-Bukhari (3886)

Begitu juga, Nabi Muhammad SAW turut mengajar para sahabatnya dengan pelbagai cara. Di antaranya, Baginda ada menggambarkan konsep yang serupa dengan lukisan bagi menjelaskan lagi mengenai sesuatu perkara yang ingin disampaikan. Ini adalah seperti dalam hadith Ibn Mas‘ud R.A, beliau berkata:

خَطَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا مُرَبَّعًا، وَخَطَّ خَطًّا فِي الوَسَطِ خَارِجًا مِنْهُ، وَخَطَّ خُطَطًا صِغَارًا إِلَى هَذَا الَّذِي فِي الوَسَطِ مِنْ جَانِبِهِ الَّذِي فِي الوَسَطِ، فَقَالَ: هَذَا الإِنْسَانُ، وَهَذَا أَجَلُهُ مُحِيطٌ بِهِ – أَوْ: قَدْ أَحَاطَ بِهِ – وَهَذَا الَّذِي هُوَ خَارِجٌ أَمَلُهُ، وَهَذِهِ الخُطَطُ الصِّغَارُ الأَعْرَاضُ، فَإِنْ أَخْطَأَهُ هَذَا نَهَشَهُ هَذَا، وَإِنْ أَخْطَأَهُ هَذَا نَهَشَهُ هَذَا

Maksudnya: “Nabi SAW membuat rajah berbentuk segi empat, kemudian Baginda membuat satu garisan lurus di tengah-tengah rajah tersebut sampai keluar dari rajah itu. Kemudian, Baginda membuat beberapa garisan kecil dalam rajah tersebut. Lalu Baginda bersabda: ‘(Garis tengah) ini adalah manusia dan (kotak) ini adalah ajalnya yang telah mengelilinginya – manakala (garisan) yang terkeluar ini adalah cita-citanya, sementara garis-garis kecil ini adalah halangan-halangannya, jika dia terlepas satu halangan, maka dia akan terkena halangan seterusnya, jika terlepas lagi maka halangan lain akan mengenainya.’

Riwayat al-Bukhari (6417)

Bahkan Imam al-Bukhari juga ada meriwayatkan daripada Anas R.A, katanya:

هَذَا الأَمَلُ وَهَذَا أَجَلُهُ، فَبَيْنَمَا هُوَ كَذَلِكَ إِذْ جَاءَهُ الخَطُّ الأَقْرَبُ

Maksudnya: “Ini adalah cita-citanya, dan ini adalah ajalnya, ketika seseorang seperti itu (dalam mengejar cita-citanya), maka datanglah garis yang lebih dekat (iaitu ajalnya).

Riwayat al-Bukhari (6418)

Kadangkala Nabi Muhammad SAW menggambarkan apa yang Baginda ingin sampaikan atau ceritakan melalui perbuatan, seperti dalam hadith tentang mereka yang bercakap ketika masih bayi, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. Dalam hadith itu, disebutkan:

وَكَانَتِ امْرَأَةٌ تُرْضِعُ ابْنًا لَهَا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ، فَمَرَّ بِهَا رَجُلٌ رَاكِبٌ ذُو شَارَةٍ فَقَالَتِ: اللَّهُمَّ اجْعَلِ ابْنِي مِثْلَهُ، فَتَرَكَ ثَدْيَهَا فَأَقْبَلَ عَلَى الرَّاكِبِ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ لاَ تَجْعَلْنِي مِثْلَهُ، ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَى ثَدْيِهَا يَمَصُّهُ – قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمَصُّ إِصْبَعَهُ –

Maksudnya: “Ada seorang wanita dari kalangan bani Israil yang sedang menyusui anaknya. Tiba-tiba seorang lelaki yang sedang menunggang kenderaan dan berpenampilan bagus melaluinya. Si ibu berkata: ‘Ya Allah jadikanlah anakku sepertinya.’ Anak itu pun melepaskan puting susu ibunya dan menghadap kepada penunggang tersebut lalu berkata: ‘Ya Allah, janganlah Engkau menjadikan aku sepertinya.’ Kemudian dia kembali menghisap puting susu ibunya.” Abu Hurairah R.A berkata: “Seakan-akan aku melihat Nabi SAW menghisap jarinya.”

Riwayat al-Bukhari (3436)

Manakala dalam riwayat Muslim pula disebutkan:

فَكَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ وَهُوَ يَحْكِي ارْتِضَاعَهُ بِإِصْبَعِهِ السَّبَّابَةِ فِي فَمِهِ فَجَعَلَ يَمُصُّها

Maksudnya: “Seolah-olah aku melihat Rasulullah SAW sedang menggambarkan bayi itu menyusu dengan meletakkan jari telunjuk Baginda di dalam mulut dan menghisapnya.

Riwayat al-Bukhari (2550)

Al-Hafiz Ibn Hajar memberikan komentar terhadap hadith ini dengan menyatakan, padanya terdapat penekanan dalam menjelaskan sesuatu dengan menggambarkannya melalui perbuatan. (Lihat Fath al-Bari, 6/483).

Apatah lagi, tidak dapat dinafikan bahawa pembelajaran melalui penglihatan adalah lebih kuat berbanding dengan hanya mendengarnya semata-mata. Penglihatan memberikan kesan yang lebih mendalam pada jiwa berbanding dengan pendengaran, seperti yang dinyatakan dalam hadith:

لَيْسَ الْخَبَرُ كَالْمُعَايَنَةِ، إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَخْبَرَ مُوسَى بِمَا صَنَعَ قَوْمُهُ فِي الْعِجْلِ، فَلَمْ يُلْقِ الأَلْوَاحَ، فَلَمَّا عَايَنَ مَا صَنَعُوا أَلْقَى الأَلْوَاحَ فَانْكَسَرَتْ

Maksudnya: “Menerima maklumat (berita) tidak sama seperti melihat. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah mengkhabarkan kepada Musa tentang apa yang dilakukan kaumnya terhadap patung anak lembu, tetapi Musa tidak membuang lembaran-lembaran bertulis (tablet), dan apabila dia melihat apa yang mereka lakukan, barulah dia membuang lembaran-lembaran bertulis itu sehingga pecah.”

Riwayat Ahmad (2447), al-Bazzar (5062) secara ringkas, dan Ibn Hibban (6213) dengan sedikit perbezaan lafaz. Ahmad Syakir dalam takhrijnya terhadap Musnad Ahmad, menilai sanad hadith ini sebagai sahih.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah untuk seseorang itu mengajar manasik umrah atau haji dengan cara menggunakan model kaabah atau seumpamanya, dengan syarat tujuannya adalah untuk pembelajaran dan bukannya untuk tujuan selainnya seperti menghina atau merendahkan syiar-syiar agama. Bahkan boleh jadi seseorang pengajar itu mesti menggunakan model seperti kaabah, tempat sa‘ie, tempat melontar dan seumpamanya ketika mengajar agar ia dapat lebih difahami, lebih-lebih lagi kebanyakan yang hendak pergi menunaikan umrah atau haji belum pernah sampai ke Makkah atau baru pertama kali. Jadi, dengan menggunakan alat bantuan model, maka orang yang belajar itu akan lebih mudah faham dan tangkap apa yang ingin dimaksudkan oleh pengajar tersebut.

Dalam masa yang sama, pembelajaran itu hendaklah dalam keadaan penuh penghormatan dan tidak menimbulkan salah faham terhadap orang yang melihatnya sehingga boleh mendatangkan tohmahan atau fitnah kepada agama.

Ini juga adalah jawapan yang dikemukakan oleh Dr. Ali Jum‘ah dalam Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ketika diajukan dengan persoalan yang hampir sama.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

 

[1] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/11977/تعليممناسكالعمرةعنطريقعملمجسمللكعبة. Diakses pada 13 November 2024.