Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Selepas Nabi SAW mendapat wahyu pertama di Gua Hira’, Baginda SAW terus bergegas pulang ke rumah dalam keadaan ketakutan, lalu meminta isterinya, Khadijah untuk menyelimutinya. Namun, timbul persoalan kerana Baginda menggunakan perkataan itu yakni “زَمِّلُونِي” dalam bentuk jamak (plural), sedangkan ia ditujukan kepada seorang iaitu Khadijah R.Anha. Jadi, kenapa Nabi SAW tidak menggunakan perkataan itu dalam bentuk tunggalnya (mufrad) yakni “زَمِّلِينِي”? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan jawapan dengan membawakan terlebih dahulu hadith yang berkaitan dengan persoalan di atas. Di antaranya adalah riwayat daripada ‘Urwah bin al-Zubair bahawa Aisyah, isteri Nabi SAW berkata:
كَانَ أَوَّلَ مَا بُدِئَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ فِي النَّوْمِ، فَكَانَ لاَ يَرَى رُؤْيَا إِلَّا جَاءَتْ مِثْلَ فَلَقِ الصُّبْحِ، ثُمَّ حُبِّبَ إِلَيْهِ الخَلاَءُ، فَكَانَ يَلْحَقُ بِغَارِ حِرَاءٍ فَيَتَحَنَّثُ فِيهِ – قَالَ: وَالتَّحَنُّثُ: التَّعَبُّدُ – اللَّيَالِيَ ذَوَاتِ العَدَدِ، قَبْلَ أَنْ يَرْجِعَ إِلَى أَهْلِهِ وَيَتَزَوَّدُ لِذَلِكَ، ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَى خَدِيجَةَ فَيَتَزَوَّدُ بِمِثْلِهَا حَتَّى فَجِئَهُ الحَقُّ، وَهُوَ فِي غَارِ حِرَاءٍ فَجَاءَهُ المَلَكُ، فَقَالَ: اقْرَأْ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا أَنَا بِقَارِئٍ، قَالَ: فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الجُهْدَ، ثُمَّ أَرْسَلَنِي، فَقَالَ: اقْرَأْ، قُلْتُ: مَا أَنَا بِقَارِئٍ، فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي الثَّانِيَةَ حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الجُهْدَ، ثُمَّ أَرْسَلَنِي فَقَالَ: اقْرَأْ، قُلْتُ: مَا أَنَا بِقَارِئٍ. قَالَ: فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي الثَّالِثَةَ حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الجُهْدَ، ثُمَّ أَرْسَلَنِي، فَقَالَ: {اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ﴿٤﴾} – الآيَاتِ إِلَى قَوْلِهِ – {عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥﴾}. فَرَجَعَ بِهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَرْجُفُ بَوَادِرُهُ، حَتَّى دَخَلَ عَلَى خَدِيجَةَ، فَقَالَ: زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي، فَزَمَّلُوهُ، حَتَّى ذَهَبَ عَنْهُ الرَّوْعُ، قَالَ لِخَدِيجَةَ: أَيْ خَدِيجَةُ، مَا لِي لَقَدْ خَشِيتُ عَلَى نَفْسِي؟ فَأَخْبَرَهَا الخَبَرَ، قَالَتْ خَدِيجَةُ: كَلَّا، أَبْشِرْ فَوَاللَّهِ لاَ يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا، فَوَاللَّهِ إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَصْدُقُ الحَدِيثَ، وَتَحْمِلُ الكَلَّ، وَتَكْسِبُ المَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الحَقِّ
Maksudnya: “Adapun (wahyu) yang pertama dimulakan oleh-Nya kepada Rasulullah SAW adalah mimpi yang benar di dalam tidur. Baginda tidak bermimpi melainkan ianya seperti cahaya subuh (yakni terlalu jelas). Kemudian Baginda dijadikan seorang yang suka menyendiri. Baginda pun beruzlah di gua Hira’ dan beribadat di situ. – Dia berkata: al-Tahannuth: (bermaksud) beribadah – selama beberapa malam, sebelum kembali kepada keluarganya, lalu menambah (bekal) untuk itu (beribadat), setelah itu Baginda kembali kepada Khadijah dan mengambil bekal sepertinya, sehingga datang kepadanya kebenaran (yakni wahyu). Ketika Baginda berada di gua Hira’, malaikat datang secara tiba-tiba kepadanya dan berkata: ‘Bacalah.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Aku bukanlah seorang yang boleh membaca.’ Baginda bersabda: ‘Dia memelukku sehingga aku merasa sesak, kemudian melepaskanku dan berkata: Bacalah.’ Maka aku berkata: ‘Aku bukanlah seorang yang boleh membaca.’ Dia kembali memelukku untuk kali yang kedua sehingga aku berasa sesak, kemudian dia melepaskanku dan berkata: ‘Bacalah.’ Maka aku berkata: ‘Aku bukanlah seorang yang boleh membaca.’ Maka dia kembali memelukku untuk kali yang ketiga sehingga aku berasa sesak. Setelah itu, dia melepaskanku dan berkata (dengan membacakan firman Allah yang bermaksud): ‘Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, – Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, – Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. [Surah al-‘Alaq: 1-5].’ Rasulullah SAW kembali daripada itu dan urat-uratnya bergetar, sehingga Baginda masuk (yakni kembali menemui) kepada Khadijah dan berkata: ‘Selimutkan aku… selimutkan aku…’ Beliau pun menyelimutinya sehingga rasa takut hilang daripadanya. Baginda bersabda kepada Khadijah: ‘Wahai Khadijah, mengapa aku takut terhadap diriku?’ Lalu Baginda mengkhabarkan kejadian itu kepadanya. Khadijah berkata: ‘Sekali-kali tidak (bukanlah seperti yang engkau sangka),[1]bergembiralah. Demi Allah, sungguh Allah tidak akan mensia-siakanmu selamanya. Demi Allah, sungguh engkau menyambung silaturahim, benar dalam berbicara, menanggung beban (yakni membantu orang lemah yang memerlukan), mengusahakan untuk orang yang tidak punya (yakni memberi harta kepada orang yang memerlukan), memuliakan tetamu, dan membantu segala sisi kebaikan.’”
Riwayat al-Bukhari (4953) dan Muslim (161) dengan sedikit perbezaan lafaz
Begitu juga dalam riwayat Jabir bin Abdullah al-Ansari R.Anhuma berkata: Rasulullah SAW bersabda ketika berbicara tentang fatrah (awal)[2] wahyu, Baginda bersabda dalam hadithnya (bicaranya):
بَيْنَا أَنَا أَمْشِي سَمِعْتُ صَوْتًا مِنَ السَّمَاءِ فَرَفَعْتُ بَصَرِي، فَإِذَا المَلَكُ الَّذِي جَاءَنِي بِحِرَاءٍ جَالِسٌ عَلَى كُرْسِيٍّ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، فَفَرِقْتُ مِنْهُ، فَرَجَعْتُ، فَقُلْتُ: زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي. فَدَثَّرُوهُ
Maksudnya: “Ketika aku sedang berjalan, tiba-tiba aku terdengar suara dari langit, aku pun mengangkat pandanganku dan malaikat yang datang kepadaku di gua Hira’ sedang duduk di atas kerusi di antara langit dan bumi. Aku pun berasa ketakutan kerananya, lalu aku pulang dan berkata: ‘Selimutkan aku…selimutkan aku…’ Maka mereka pun menyelimutinya.”
Riwayat al-Bukhari (4954)
Syeikh Safa’ al-Dhawi al-‘Adawi dalam kitabnya menyatakan frasa “فَزَمَّلُوهُ” bermaksud menyelubunginya (dengan kain). Seterusnya, frasa: “لَقَدْ خَشِيتُ عَلَى نَفْسِي” (mengapa aku takut terhadap diriku?) menunjukkan bahawa Baginda merasa risau, ditambah lagi dengan frasa “تَرْجُفُ بَوَادِرُهُ” (urat-uratnya bergetar), ini menandakan reaksi yang berlaku kepada Baginda akibat kehadiran malaikat. Oleh itu, Baginda bersabda: “زَمِّلُونِي” (Selimutkan aku). (Lihat Ithaf al-Qari bi Ikhtisar Fath al-Bari, 1/24).
Al-Qadhi ‘Iyadh menjelaskan bahawa sebab Baginda meminta agar dirinya diselimutkan dan ditutupi, yakni supaya dilitupi dan dibalut dengan pakaian disebabkan oleh peristiwa yang amat menggemparkan dan berat yang menimpanya akibat tekanan dan beratnya wahyu. Walaupun terdapat beberapa ulama yang menafsirkan bahawa Baginda melakukan ini kerana merasa takut kepada Jibril pada awal pertemuan sehinggalah Baginda terbiasa dengannya. Bahkan ada juga yang berpendapat bahawa Baginda dipanggil al-Mudatthir “المدَّثر” dan al-Muzammil “المزمِّل” kerana ketika malaikat datang, Baginda ditemui dalam keadaan berselimut dengan kainnya, lalu Baginda diseru berdasarkan keadaannya saat itu. Namun, pendapat pertama adalah lebih tepat dari segi lafaz dan maknanya. Perkataan tazammul “التزمُّل” dan tadatthur “التدثر” adalah sama maknanya. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim bi Fawa’id Muslim, 1/484).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, umumnya sabda Baginda SAW iaitu “زَمِّلُونِي” (selimutkan aku) ditujukan kepada Khadijah R.Anha. Ini adalah berdasarkan kepada zahir hadith yang tidak menunjukkan ketika itu adanya orang lain selain Khadijah. Namun, kata-kata yang ditujukan itu datang dalam bentuk jamak (plural) dam bukannya tunggal (mufrad) kerana ia adalah sebagai satu bentuk penghormatan kepada Khadijah R.Anha. Ini adalah satu adat kebiasaan di dalam bahasa. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyebut bahawa sighah jamak yang ada pada perkataan “زَمِّلُونِي” adalah sebagai satu penghormatan kepada Khadijah. (Lihat Minhah al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 1/14).
Begitu juga Syeikh Muhammad Amin al-Harari turut menyebutkan, penggunaan kata ganti “زَمِّلُونِي” (selimutkanlah aku) dalam bentuk jamak adalah untuk memuliakan isterinya iaitu Khadijah R.Anha. Ini adalah sebagaimana mengikut adat kebiasaan orang Arab ketika itu yang berbicara/bercakap kepada isterinya dengan bentuk jamak sebagai tanda penghormatan kepadanya. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, 4/137).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan kata ganti pada perkataan “زَمِّلُونِي” dalam bentuk kata jamak yang digunakan oleh Nabi SAW ketika berbicara dengan isterinya, Khadijah R.Anha adalah sebagai suatu penghormatan dan kemulian kepadanya. Lebih-lebih lagi sudah menjadi adat kebiasaan masyarakat Arab ketika itu menggunakan kata ganti diri dalam bentuk jamak ketika berbicara dengan isteri mereka sebagai tanda hormat dan memuliakan mereka. Ini disokong lagi dengan zahir riwayat yang mana ketika peristiwa itu, tiadanya orang lain yang bersama dengan Baginda melainkan hanya isterinya, Khadijah R.Anha.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya:“Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Nota hujung:
[1] Saidatina Khadijah cuba untuk menenangkan Baginda SAW.
[2] Waktu yang tidak diturunkan wahyu.