#7491: Lagu yang Menghina Allah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu video klip lagu yang daripada tajuk lagunya itu jelas suatu penghinaan kepada Allah SWT yang dinyanyikan oleh Qween Fatima. Soalan saya, bukankah orang yang menghina Allah boleh jatuh kafir? Apakah pandangan ustaz dalam perkara ini? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: “Dan jika kamu bertanya kepada mereka tentang ejekan-ejekan itu, tentulah mereka akan menjawab, ‘Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bergurau.’ Katakanlah, ‘Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya kamu persendakan?’

(Surah al-Taubah: 65)

Syeikh al-Tantawi ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan, maksudnya adalah apabila Nabi SAW atau orang beriman lagi berakal bertemu dengan orang yang bermain-main dengan ayat-ayat Allah dengan cara mendustakannya, mentohmahnya atau menghinanya maka Baginda dan orang-orang beriman itu hendaklah melarikan diri daripada mereka atau meninggalkan majlis mereka supaya mereka melihat perbuatan itu (iaitu meninggalkan mereka) seperti tidak senang dengan tingkah laku mereka dan janganlah kembali semula kepada mereka sehinggalah mereka berbicara tentang perkara yang lain. Ini kerana, ayat-ayat Allah itu dinisbahkan kepada Allah SWT dan menjadi tanggungjawab kita terhadap ayat-ayat al-Quran adalah dengan membesarkan serta memuliakannya dan bukannya menjadi tempat untuk diejek atau dihina. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 5/98)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, penghinaan kepada Allah SWT boleh menyebabkan pelakunya (jika dia adalah seorang Islam) dianggap sebagai jatuh kafir, jika dia melakukannya dengan sengaja dan mengetahui akan keharamannya.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًۭا مُّهِينًۭا ٥٧ وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ بِغَيْرِ مَا ٱكْتَسَبُوا۟ فَقَدِ ٱحْتَمَلُوا۟ بُهْتَـٰنًۭا وَإِثْمًۭا مُّبِينًۭا ٥٨

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya seksa yang menghinakan. Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”

(Surah al-Ahzab: 57-58)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT memperingatkan dan mengancam orang yang menyakiti Allah dengan menentang perintah-perintah-Nya dan melanggar larangan-larangan-Nya serta tiada henti-hentinya melakukan hal tersebut, juga menyakiti Rasul-Nya dengan mencelanya atau merendahkan martabatnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/480).

Menyakiti atau menghina Allah SWT dalam hal ini tidak bermaksud membahayakan dan memudaratkan Allah SWT. Dalam sebuah hadith qudsi riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A, Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman:

 يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضُرِّي فَتَضُرُّوْنِي، وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُوْنِي

Maksudnya:  “Wahai hamba-Ku sesungguhnya tidak ada kemudaratan yang dapat kamu lakukan kepada-Ku sebagaimana tidak ada kemanfaatan yang dapat kamu berikan kepada-Ku”

Riwayat Muslim (2577)

Allah SWT juga sudah mengutuk bagi orang yang menyakiti atau menghina-Nya. Laknat atau kutukan itu merupakan pengusiran hamba daripada rahmat di dunia dan juga di akhirat. Manakala, ketika mana Allah SWT menyebutkan sesudah itu berkenaan orang yang menyakiti orang beriman, dan Allah tidak menyebutkan kutukannya dalam dunia dan juga akhirat. Hal ini kerana manusia tidak dianggap sebagai kafir apabila saling menghina dan menyakiti antara satu sama lain dengan cara mengutuk, menuduh, mencela dan seumpamanya.

Mencela dan menghina Allah SWT merupakan kufur di atas kekufuran dan ia berada di atas kekafiran daripada para penyembah berhala kerana mereka menyembah berhala serta mengagungkan batu dengan tujuan untuk mengagungkan Allah SWT. Itulah kesyirikan yang berlaku iaitu mempersekutukan Allah dengan sesuatu dengan yang lain. Sesiapapun yang menghina Allah SWT bermaksud dia sudah menempatkan Allah SWT pada darjat di bawah batu dengan mencela-Nya, sementara orang musyrikin pula tidak mencela sembahan mereka meskipun sambil bermain sebab mereka mengagungkan-Nya.

Ibn Qudamah menyebutkan, sesiapa yang mencaci Allah SWT, maka dia telah kafir, sama ada dia melakukan dalam keadaan bergurau atau tidak. (Lihat al-Mughni, 9/28).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami ingin tegaskan sekali lagi bahawa penghinaan kepada Allah SWT mahupun kepada agama ini, Islam, boleh menyebabkan pelakunya (jika dia adalah seorang Islam) dianggap sebagai jatuh kafir, jika dia melakukannya dengan sengaja dan mengetahui akan keharamannya. Kesannya adalah sangat besar, bahkan tidak masuk akal bagaimana mungkin seseorang itu boleh menghina, mentohmah atau merendahkan Allah SWT, yang merupakan Tuhan yang Maha Berkuasa, Pemilik dan Pencipta kepada sekalian makhluk dan alam ini.

Pada masa yang sama, kita boleh menjalankan tanggungjawab kita dengan membuat “report” kepada pihak berkuasa atau pihak berkenaan agar video klip penghinaan tersebut disekat dan tidak tersebar kepada orang lain. Selain itu, usahlah juga kita sengsasikan video klip berkenaan dengan “share” atau seumpamanya, meskipun untuk mengkritiknya kerana dikhuatiri ia secara tidak langsung menyebabkan penyebarannya lebih meluas. Sepatutnya bila mana kita menjumpai atau menyedari akan video klip berkenaan, kita terus menyekatnya (block) dan membuat “report” mengenainya kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

Penghinaan demi penghinaan terhadap agama Islam adalah musibah yang perlu kita muhasabah bersama. Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan bahawa semua pihak perlu berganding bahu dan memperkukuh perpaduan sesama umat Islam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”