#7493: Mencabut Gigi Emas atau Alat Bantuan Hidup dari Jasad Jenazah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Soalan saya mungkin agak sensitif sedikit. Kalau ahli keluarga kita yang meninggal ada gigi palsu yang diperbuat dari emas, atau orang yang meninggal itu ada menggunakan alat perentak jantung (pacemaker), adakah kita yang masih hidup ini perlu mencabut gigi dan alat tersebut sebelum dikebumikan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Perlu diketahui, segala harta benda milik seseorang yang telah meninggal dunia perlu ditinggalkan dan menjadi harta pusaka yang akan dibahagikan antara ahli waris. Oleh yang demikian, ulama membincangkan hukum berkenaan menggali semula tanah kubur sekiranya diketahui terdapat harta yang ditanam sekali bersama dengan jenazah. Menurut al-Khatib al-Syirbini, muktamad mazhab al-Syafi‘i adalah perlu digali semula kubur yang ditanam bersamanya harta seperti cincin dan sebagainya, kerana tindakan meninggalkan harta tersebut begitu sahaja merupakan suatu bentuk pembaziran yang sia-sia. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/59)

Begitu juga yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi, yakni keharusan untuk menggali semula mayat sekiranya dia dikebumikan dalam keadaan tidak menghadap kiblat, tidak dimandikan dengan cara yang betul,  tidak dikafankan atau dikafankan dengan kain yang dicuri atau dengan kain sutera, dikebumikan di tanah yang dirampas daripada orang lain, jenazah tersebut tertelan berlian yang berharga, atau ada harta benda yang berharga terjatuh di dalam kubur. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/303)

Di dalam karya beliau yang lain, Imam al-Nawawi mengatakan, seandainya si mati itu dahulu pernah menelan suatu harta, kemudian pemilik harta tersebut menuntut semula harta itu setelah kematiannya, maka kuburnya perlu dibongkar dan dibuka perut jenazah untuk mengembalikan semula harta tersebut. Akan tetapi, jika ahli waris mampu menggantikan harta semisalnya atau dengan nilai yang sama, maka beliau berpendapat tidak perlu dibongkar kubur itu. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/140)

Memahami teks-teks fuqaha ini, jelas bahawa harta yang bernilai itu tidak boleh ditanam bersama dengan si mati secara umumnya. Akan tetapi, dalam situasi gigi palsu yang diperbuat dari emas dan alat perentak jantung ini, terdapat dua masalah utama:

  • Harta yang ditanam bersama jenazah.
  • Mencederakan tubuh jenazah.

Masalah pertama ini, sebagaimana yang telah kami jelaskan menerusi nas-nas ulama di atas. Adapun masalah kedua, iaitu larangan mencederakan tubuh jenazah, hal ini thabit dalam hadith Saidatina ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: “Mematahkan tulang jenazah adalah sama seperti mematahkan tulangnya ketika dia hidup.”

Riwayat Abu Daud (1616)

Justeru, tidak boleh untuk sewenang-wenangnya menggali semula kubur melainkan jika terdapat keperluan dan kepentingan yang besar. Menurut Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah, apa-apa yang ditanam di dalam tubuh dan memerlukan tubuh si mati dibedah untuk mengeluarkannya, seperti alat perentak jantung dan seumpamanya, maka ia tidak akan dikeluarkan; kerana si mati telah menggunakannya sebagai harta miliknya semasa hidup. Namun, jika waris berhasrat untuk mendermakannya, ia dibenarkan dalam keadaan itu.[1]

Mereka bersandarkan kepada kalam Syeikh Sulaiman bin ‘Umar al-‘Ujaili al-Azhari dalam hasyiah beliau, jika seseorang menelan harta untuk dirinya sendiri, walaupun lebih daripada sepertiga dan walaupun dalam keadaan sakit yang mendekatkan kematian, maka ia tidak akan digali semula. Hal ini kerana harta itu telah digunakan olehnya semasa hidup. Ini menunjukkan bahawa tubuh si mati tidak akan dibedah walaupun terdapat hutang yang belum dibayar sebelum hak para pemiutang terikat padanya. Inilah pandangan yang dipegang oleh mazhab. Sekiranya ada ahli waris atau orang lain yang sanggup menanggung nilai harta tersebut, maka penggalian atau pembedahan perut si mati adalah dilarang untuk memelihara kehormatan si mati dan mengelakkan dari berlakunya pencabulan terhadap kesuciannya. (Lihat Futuhat al-Wahhab, 2/212)

Kesimpulan

Melihat kepada perbahasan yang kami bawakan, gigi palsu yang diperbuat dari emas termasuk dalam bentuk harta yang bernilai dan boleh diwarisi oleh ahli waris. Bahkan urusan untuk mencabut gigi tersebut tidaklah sehingga merosakkan anggota tubuh jenazah tersebut. Oleh yang demikian, gigi emas ini perlu dicabut terlebih dahulu sebelum jenazah tersebut dikebumikan.

Berkenaan alat perentak jantung pula, ia juga merupakan harta yang bernilai tinggi terutamanya dalam dunia perubatan. Akan tetapi, alat tersebut telah digunakan oleh pesakit sebagai alat bantuan yang diimplan pada bahagian jantung ketika hayatnya dahulu, dan urusan untuk mengeluarkan alat ini perlu melalui satu prosedur pembedahan yang pastinya akan mencederakan tubuh jenazah tersebut. Berdasarkan pemerhatian kami, sekiranya jenazah tersebut telah ditanam, maka tidak perlu lagi dibongkar dan dibedah jasadnya agar kehormatannya kekal terpelihara.

Dalam keadaan jenazah belum dikebumikan lagi, ahli waris mempunyai ruang perbincangan sama ada bersetuju untuk jenazah tersebut dikebumikan bersama alat tersebut, atau mengeluarkan alat tersebut kerana adanya keperluan darurat kepadanya. Inilah pendapat yang dilihat lebih baik bagi memastikan tidak terdapat sebarang unsur penghinaan terhadap jenazah tersebut.

Ruang perbincangan masih terbuka kepada para ilmuan Islam di Malaysia. Kami mencadangkan juga saudara agar mengajukan persoalan ini kepada badan berautoriti fatwa di mana-mana negeri, yang pastinya lebih memiliki kepakaran dalam bidang kajian ini. Semoga pencerahan ini serba sedikit dapat membantu saudara dalam memahami isu utama yang dibahaskan oleh fuqaha kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Wallahu a‘lam

Nota hujung:

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/research-fatwas/3914/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D9%86%D8%B2%D8%B9-%D8%B3%D9%86-%D8%A7%D9%84%D8%B0%D9%87%D8%A8-%D8%A3%D9%88-%D8%A7%D9%84%D8%A3%D8%AC%D9%87%D8%B2%D8%A9-%D9%85%D9%86-%D8%A7%D9%84%D9%85%D9%8A%D8%AA. Diakses pada 14 November 2024.