Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu ada masalah gangguan air kencing menitis ketika solat sampaikan saya rimas hendak ke tandas kerana pasti air kencing akan menitis juga selepas beberapa ketika selepas itu. Hal ini menyusahkan kehidupan harian saya terutama sekali ketika berada di luar rumah. Saya sudah berusaha mengelak sedaya mungkin basuh berulangkali kerana hal ini sering berlaku. Apa perlu saya buat ustaz? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kami datangkan terlebih dahulu takrifan kencing tidak lawas (سَلَسُ البَوْلِ). Disebutkan di dalam Tajul Urus oleh Syeikh Murtadha al-Zabidi bahawa salasul baul bermaksud suatu penyakit yang mana seseorang itu tidak berupaya menahan kencingnya dari terkeluar atau tidak mudah baginya untuk menahan kencingnya. (Lihat Tajul Urus min Jawahir al-Qamus, 16/151) Butrus al-Bustani menyatakan perbezaan antara (سَلَسُ البَوْلِ) dan (سَلِسُ البَوْلِ), adapun salasul baul merujuk kepada penyakit tersebut, manakala salisul baul merujuk kepada orang yang menghidapi penyakit tersebut. (Lihat Muhit al-Muhit, 4/446)
Keduanya, hukum mereka yang menghidapi masalah kencing tidak lawas ini boleh diqiaskan dengan wanita yang keluar daripadanya darah istihadhah. Tidak gugur daripada mereka kewajipan beribadah, ini sepertimana yang disebutkan Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu‘, katanya: “Orang yang sedang istihadah seperti (mengambil hukum) orang yang suci dalam (hukum) solat, puasa, iktikaf, membaca al-quran dan lain-lain.” (Lihat al-Majmu‘, 2/372)
Dr Muhammad al-Zuhaili berkata: “Darah istihadhah merupakan hadas yang berterusan seperti kencing tidak lawas.” (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/124)
Melakukan Solat Bagi Pesakit Kencing Tidak Lawas
Terdapat beberapa hukum dan garis panduan yang terkait dengan mereka yang menghidapi masalah ini. Kami perincikan hukum dan panduan yang disebutkan di dalam al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i(1/124) seperti berikut:
Pertama: Penyakit hadas yang berterusan seperti kencing tidak lawas ini tidak menggugurkan kewajipan solat dan berpuasa, juga tidak menghalang seseorang untuk berjimak atau selainnya (daripada ibadah).
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya: “Fatimah binti Abi Hubaisy telah dating bertemu Rasulullah SAW lalu bertanya:
يا رَسُولَ اللَّهِ إنِّي امْرَأةٌ أُسْتَحاضُ فَلاَ أطْهُرُ أفَأدَعُ الصَّلاَةَ؟ فَقالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: «لاَ، إنَّما ذَلِكِ عِرْقٌ، ولَيْسَ بِحَيْضٍ، فَإذا أقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِي الصَّلاَةَ، وإذا أدْبَرَتْ فاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ ثُمَّ صَلِّي
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! aku adalah seorang wanita yang beristihadhah, dan oleh kerana itu aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi SAW: ‘Janganlah kamu meninggalkan solat, adapun istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang maka engkau tinggalkanlah solat, dan apabila ia putus (berhenti), maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut (dengan mandi) dan hendaklah engkau menunaikan solat.”
Riwayat al-Bukhari (228) dan Muslim (333)
Kedua: Perlulah dibersihkan dahulu bahagian kemaluan dan kemudian ikhtiarkan dengan sesuatu yang boleh menutup bahagian kemaluan tersebut seperti membalutnya dengan kapas lalu mengikatnya, ditutup dengan bandage, memakai pampers atau apa cara sekalipun agar titisan air kencing itu dapat dihalang dari terus menitis.
Sebaiknya pembersihan ini dilakukan selepas berusaha semampunya untuk mengurangkan titisan air kencing tersebut agar dapat dikurangkan najis ketika dia menunaikan ibadah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Ketiga: Mereka yang menghadapi masalah ini perlulah segera berwudhu’ setelah berhati-hati membersihkan kemaluannya (dengan merasakan tidak lagi menitis air kencing selepas ianya dibalut atau ditutup), dan wudhu’ tersebut perlulah diambil selepas masuknya waktu solat.
Hal yang demikian kerana wudhu’ tersebut berlaku pada keadaan bersuci yang darurat. Jika dia berwudhu’ sebelum masuk waktu maka wudhu’ itu terbatal.
Keempat: Wajib berwudhu’ bagi setiap solat fardhu, dan dia boleh menunaikan beberapa solat sunat dengan wudhu’ yang sama.
Ini berdasarkan sambungan hadith di atas yang diriwayatkan daripada Hisyam bin Urwah R.Anhuma daripada bapanya, katanya:
ثُمَّ تَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلاَةٍ، حَتّى يَجِيءَ ذَلِكَ الوَقْتُ
Maksudnya: “Kemudian kamu berwudhu’ untuk setiap solat (fardhu), apabila masuknya waktu solat tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (228)
Kelima: Wajib segera menunaikan solat selepas berwudhu’ untuk mengurangkan hadas, namun tiada masalah jika dia melewatkan sedikit solat tersebut disebabkan oleh maslahah solat, seperti menutup aurat, mendengar azan dan iqamah, menunggu untuk solat berjemaah, mencari kiblat, menuju ke masjid, mencari sutrah. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wudhu’ meskipun dalam tempoh tersebut menitis air kencing.
Oleh yang demikian, para fuqaha’ menggalakkan bagi mereka yang menghidapi penyakit ini agar dating lewat ke masjid supaya mereka tidak perlu menunggu sehingga jemaah lain tiba.
Imam al-Ramli menyebutkan perkara ini dalam masalah imam solat jumaat: “Imam tidak disunatkan untuk datang awal bahkan digalakkan untuk melewatkan sehingga waktu khutbah sebagai mencontohi perbuatan Nabi SAW dan Khalifah selepasnya, Imam mawardi juga berpendapat sedemikian serta diakui pendapat tersebut dalam kitab al-Majmu‘. Dan mereka mengikuti hukum ini adalah mereka yang menghidapi kencing tidak lawas dan sebagainya, maka tidak disunatkan bagi mereka untuk datang awal ke masjid pada hari Jumaat.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/334)
Keenam: Sekiranya dilewatkan solat tanpa adanya maslahah, maka batal wudhu’ itu terbatal. Wajib ke atasnya untuk mengulangi wudhu’ tersebut bagi tujuan berhati-hati kerana telah berulang hadas serta najis tersebut.
Diriwayatkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا تُقْبَلُ صَلاةُ أحَدِكُمْ إذا أحْدَثَ حَتّى يَتَوَضَّأ
Maksudnya: “Tidak diterima solat seseorang kamu jika dia berhadas sehinggalah dia berwudhu’.”
Riwayat Muslim (224)
Fuqaha’ juga mengikat perbuatan ‘melewatkan solat’ bagi yang menghadapi penyakit kencing tidak lawas dengan ‘adanya maslahah’. Syeikh Zainuddin al-Malibari berkata: “Demikian seperti salisul baul perlu menyegerakan solat (setelah berwuduk), sekiranya dia melewatkan (solat) kerana kemaslahatan solat itu seperti menunggu jemaah atau solat Jumaat didirikan, dan meskipun dia melewatkan (solat) dari awal waktu seperti pergi ke masjid maka tidak memudaratkan (tidak terbatal wuduknya).” (Lihat Fathu al-Mu‘in Syarh Qurrah al-‘Ain, hlm. 47)
Ketujuh: Wajib menggantikan balutan atau yang seumpamanya dengan yang baru sekiranya dia memperbaharui wudhu’.
Hal yang tersebut kerana balutan tersebut telah terkena najis, dan solat mereka yang membawa najis tidak sah berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan untuk mendirikan solat dengan memakai kasut itu.”
Riwayat Abu Daud (650) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3889). Al-Albani menghukumkan hadith ini sahih.
Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa disunatkan memercikkan air ke seluar atau pakaian supaya jika datang perasaan was-was atau perkara yang tidak pasti, boleh menganggap bahawa air pada pakaian tersebut adalah air percikan tadi dan bukan kencing. Diriwayatkan daripada Zaid bin Harithah R.A, katanya:
فَلَمَّا فَرَغَ مِنَ الْوُضُوءِ أَخَذَ غُرْفَةً مِنَ الْمَاءِ فَنَضَحَ بِهَا فَرْجَهُ
Maksudnya: “Apabila Nabi SAW selesai berwudhu’, Baginda mencedok sedikit air dan merenjiskannya pada (kain yang menutupinya) kemaluan Baginda.”
Riwayat Ahmad (17515). Al-Albani mensahihkan hadith ini di dalam Sahih al-Jami‘ (1/77).
Imam al-Nawawi berkata: “Disunatkan untuk mengambil secedok air kemudian direnjiskan pada kemaluan dan bahagian dalam seluar atau kain selepas istinja’ bagi mengelakkan was-was.” (Lihat al-Majmu‘, 2/112)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan yang telah kami sebutkan, kami katakan bahawa penyakit kencing tidak lawas ini sememangnya suatu ujian buat mereka yang menghidapnya. Maka, cara untuk pesakit yang mengalami masalah ini, adalah dengan membalut kemaluannya terlebih dahulu dan mengambil wudhuk seperti biasa, sekiranya sewaktu mengambil wudhuk atau solat, air kencing tersebut terkeluar, maka ia dimaafkan. Namun, ia dibolehkan hanya untuk sekali solat fardhu sahaja. Akan tetapi, untuk solat sunat, tidak menjadi masalah untuk melakukan seberapa banyak solat sunat.
Justeru, mereka yang menghidapi masalah ini juga perlulah mengikuti perincian hukum dan panduan yang telah ditetapkan oleh fuqaha’ sebagaimana yang telah kami bahaskan di atas. Ini bagi memastikan kebersihannya berada pada tahap yang terbaik semampunya. Akhir kalam, semoga Allah menyembuhkan penyakit anda dan dapat mendirikan solat dengan tenang dan khusyuk.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahua‘lam.